07 Februari 2011

Kelebihan Mukmin Dan Kekurangan Kafir

Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Sesungguhnya apabila orang-orang kafir mengerjakan kebajikan di dunia dia diberi upah dengan amalnya itu berupa rezeki di dunia. Sedangkan orang-orang mukmin, pahala kebajikannya disimpan Allah Taala untuknya di akhirat kelak serta diberinya rezeki di dunia berhubung dengan taatnya.”

(Muslim)



Huraian
Usaha merupakan asas kepada pembentukan dan kemajuan hidup manusia walau apa pun agama dan bangsa yang dianuti. Dalam kehidupan di dunia ini manusia dikehendaki berusaha untuk mendapatkan sesuatu hajat termasuklah mendapatkan rezeki. Oleh itu di atas nama keadilan, Allah S.W.T Yang Maha Adil akan mengganjari sesiapa sahaja yang berusaha bersungguh-sungguh tidak kira sama ada dia seorang mukmin atau kafir. Ini merupakan suatu bentuk motivasi agar manusia itu tidak merasa kecewa dalam meneruskan kehidupan mereka. Namun begitu, di samping memberikan balasan di dunia, orang-orang mukmin juga diberikan pahala yang akan menolongnya di akhirat kelak iaitu sebagai balasan kebaikan yang telah dilakukannya ketika di dunia.

Menjadikan Harta Jambatan Ibadah

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:”Sesungguhnnya bagi setiap
umat itu mempunyai ujian dan ujian bagi umatku adalah harta kekayaan.”

Riwayat at-Tirmidzi

Huraian
1. Harta kekayaan, kemewahan dan pangkat menyilaukan pandangan serta dapat mengubah pendirian seseorang.
2. Islam melarang umatnya bersikap terlalu mementingkan kehidupan dunia dan mengutamakan kehidupan peribadi lebih daripada kepentingan masyarakat. Sedangkan pemberian atau nikmat-nikmat keduniaan itu sebenarnya adalah suatu bentuk ujian daripada Allah SWT untuk mengukur sama ada manusia menghargainya dengan bersyukur atau tenggelam dalam kelekaan hingga menjadi kufur terhadap Allah SWT.
3. Oleh itu setiap individu perlu berwaspada agar tidak menjadikan harta kekayaan sebagai alasan untuk melupakan perintah dan suruhan Allah SWT sebaliknya menjadikan nikmat-nikmat tersebut sebagai faktor pendorong untuk melakukan kebajikan dan amal soleh yang dituntut dengan ikhlas bersungguh-sungguh kerana golongan seperti ini bukan sahaja akan beruntung di dunia bahkan mendapat ganjaran besar yang di akhirat kelak.

13 Januari 2011

Memiliki Kemampuan Bersyukur

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah SAW bersabda:”Apabila kamu melihat seseorang dikurniakan kelebihan dengan harta melimpah-limpah dan dengan kecantikan, maka lihatlah pula kepada orang yang serba kekurangan.”

(Bukhari)



Huraian
Firman Allah SWT yang maksudnya:”Dan ingatlah tatkala Tuhanmu memaklumkan sesungguhnya jika kamu bersyukur pasti Kami akan menambah nikmat kepadamu dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku) maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih" (Ibrahim:7). Sesungguhnya setiap nikmat itu wajib disyukuri dan antara kunci rahsia dalam bersyukur yang dapat mengundang nikmat Allah yang seterusnya sebagaimana yang disebut dalam firman Allah di atas ialah i.) Tidak merasa memiliki kecuali meyakini bahawa segalanya adalah menjadi milik Allah. Hal demikian dapat mengelak seseorang daripada menjadi angkuh dan sombong dengan nikmat yang ada padanya. ii) Selalu mengucapkan “alhamdulillah”, memuji Allah dalam segala keadaan sama ada ketika susah ataupun senang kerana nikmat yang harus disyukuri itu sebenarnya lebih banyak daripada musibah. iii) Mempercayai bahawa sebarang nikmat yang dikurniakan adalah jalan menuju Allah atau mendekatkan diri kepada Allah dan iv) Tahu membalas budi dan berterima kasih dengan kebaikan yang telah diberikan oleh seseorang.

Hulurkan Tangan, Ringankan Beban

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:”Pada hari kiamat kelak Allah Azza Wajalla berfirman:”Hai anak Adam! Aku sakit. Mengapa tidak engkau kunjungi Aku?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhanku. Bagaimana mungkin aku mengunjungi Engkau padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan sakit, mengapa kamu tidak mengunjunginya? Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu kunjungi dia, kamu akan mendapati-Ku di sisinya?” “Hai anak Adam! Aku minta makan kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku makan?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhan. Bagaimana mungkin aku memberi Engkau makan, padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Apakah kamu tidak tahu bahawa hamba-Ku si fulan minta makan kepadamu tetapi kamu tidak memberinya makan. Apakah kamu tidak tahu, seandainya kamu memberinya makan nescaya engkau mendapatkannya di sisi-Ku?” “Hai anak Adam! Aku minta minum kepadamu, mengapa kamu tidak memberi-Ku minum?” Jawab anak Adam:”Wahai Tuhan, bagaimana mungkin aku memberi Engkau minum padahal Engkau Tuhan semesta alam?” Firman Allah Taala:”Hamba-Ku si fulan minta minum kepadamu, tetapi kamu tidak memberinya minum. Ketahuilah seandainya kamu memberinya minum, nescaya kamu mendapatkannya di sisi-Ku.”

(Muslim)



Huraian
Berikanlah bantuan kepada orang yang berada di dalam kesempitan. Kelak Allah akan melepaskan kita semasa kita berada dalam kesusahan. Keyakinan kepada balasan baik Allah akan merangsang kita untuk melakukan amalan dan kebajikan dengan lebih banyak.

Mencegah Kezaliman/ Keganasan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya::” Janganlah salah seorang daripada kamu berpeluk tubuh dalam keadaan seseorang itu dibelasah secara zalim, kerana laknat akan turun ke atas orang yang menyaksikan ketika mereka tidak mempertahankannya.”

Riwayat at-Tabrani

Huraian
i) Perbuatan zalim adalah perbuatan yang mendatangkan kesusahan atau kemudaratan kepada orang lain atau mungkin dalam bentuk mengambil manfaat dari orang lain dengan cara yang salah ataupun melakukan sesuatu terhadap orang lain yang menimbulkan rasa sakit kerana perlakuan tersebut memberi keseronokan atau kepuasan kepada yang melakukannya. Pemerasan, pemaksaan dan penipuan demi keuntungan peribadi juga termasuk dalam perbuatan yang zalim.
ii) Perbuatan zalim lazimnya dilakukan oleh orang yang mempunyai kelebihan dan kekuatan berbanding dengan orang yang dizalimi. Ini kerana, fenomena kezaliman tidak akan berlaku sekiranya orang yang hendak dizalimi mempunyai kelebihan atau kekuatan yang sama. Kelebihan atau kekuatan ini boleh diukur dari pelbagai aspek, seperti kekuatan fizikal, kekayaan, kebijaksanaan, kuasa ataupun pengaruh.
iii) Realiti masyarakat hari ini mengamalkan gaya hidup individualistik sehingga sanggup membiarkan penganiayaan dan kezaliman berlaku di hadapan mata mereka sendiri. Sikap ‘tidak mengambil endah’ ini tidak wajar berlaku kerana selaku anggota sesebuah masyarakat setiap individu mestilah bersikap saling mengambil berat, sayang-menyayangi dan belas-kasihan di antara satu sama lain.
iv) Doa orang yang dizalimi terhadap orang yang menzaliminya sangat mudah dimakbulkan oleh Allah S.W.T. Oleh itu perbuatan zalim sebenarnya merupakan perbuatan yang sangat merugikan kepada si pelakunya. Allah S.W.T boleh memberi hukuman ke atas si pelaku tersebut ketika di dunia lagi seperti nasib yang menimpa Firaun. Malah di akhirat kelak orang-orang yang berlaku zalim akan menerima nasib yang sangat malang kerana kebaikan yang dimilikinya akan berpindah kepada orang-orang dizaliminya. Sekiranya dia tidak mempunyai kebaikan, maka keburukan orang-orang yang teraniaya akan terlempar kepadanya dan akan ditanggung olehnya.

Penghuni Syurga Ialah Sebaik-baik Muslim

Hadith :
Dari Abdullah, katanya:” Bersabda Rasulullah s.a.w. kepada kami:” Tidakkah kamu gembira bahawa seperempat dari penghuni syurga itu dari kamu?” Kata Abdullah kami pun segera mohon ditambah. Kemudian berkata pula beliau:” Tidakkah kamu gembira bahawa sepertiga penghuni syurga itu dari kamu?” kata Abdullah, kami pun mohon diperbanyakkan lagi. Akhirnya Rasulullah s.a.w. berkata:” Sesungguhnya saya mengharap bahawa seperdua) dari penghuni syurga itu dari kamu. Dan ketahuilah! Bahawa bandingan jumlah kaum Muslimin dengan kaum kafir itu, laksana sehelai bulu putih ditubuh sapi hitam atau sehelai bulu hitam di tubuh sapi putih.”

(Muslim)



Huraian
Umat Islam seharusnya bersyukur kerana dikurniakan hidayah dalam mememuk agama yang benar dan diredhai Allah SWT. Namun fenomena hari ini memperlihatkan kepada kita bahawa tidak semua yang menganut Islam itu benar-benar menghayati ajaran agamanya bahkan ada juga yang memilih agama lain (murtad). Betapa mudahnya iman mereka tergoyah dek kerana godaan dan hasutan duniawi. Oleh itu benarlah seperti sabda Rasulullah SAW bahawa umat Islam itu ramai namun nilaian mereka hanyalah seperti buih-buih di lautan yang tidak mendatangkan apa-apa kesan. Mereka mudah dipermain-mainkan oleh pihak musuh bahkan mereka sendiri bertelagah di antara satu sama lain. Justeru meskipun peluang untuk kita menghuni syurga Allah amat besar namun peluang tersebut tidak direbut oleh semua orang. Ramai yang berebut mengejar nikmat dunia yang sedikit ini berbanding dengan nikmat akhirat yang jauh lebih besar. Kesesatan manusia hari ini tidak mustahil membuatkan iman mereka semakin kurang yang akhirnya cara hidup mereka seolah-olah tiada bezanya lagi dengan orang yang kafir.

Kumpulan Kebaikan

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a, daripada Nabi SAW bersabda maksudnya: ”Sesiapa yang melepaskan sesuatu kesusahan seorang mukmin dari kesusahan-kesusahan dunia Allah akan melepaskan darinya satu kesusahan dari kesusahan hari Akhirat dan sesiapa melapangkan seorang yang berada di dalam kesempitan Allah akan melapangkan untuknya di dunia dan di akhirat dan sesiapa yang menutup keburukan saudaranya maka Allah akan menutup keburukannya di dunia dan akhirat dan Allah pasti menolong hamba-Nya selagi mana hambanya menolong saudaranya. Dan sesiapa mengikuti satu jalan untuk mencari ilmu Allah akan memudahkan untuknya jalan ke syurga. Tidak berkumpul satu kaum di dalam rumah dari rumah-rumah Allah dan saling belajar dan mengajar antara satu sama lain melainkan turunlah ketenangan atas mereka, rahmat meliputi mereka, para malaikat mengerumuni mereka dan Allah akan menyebut (nama-nama) mereka di sisi-Nya. Dan sesiapa yang kurang amalannya maka nasab (keturunannya) tidak akan dapat menyempurnakannya.”

(Muslim)



Huraian
Masyarakat Islam adalah seperti satu jasad yang setiap anggota akan merasai apa yang dirasai oleh orang lain malah mereka juga bersama-sama berkongsi kegembiraan. Maka antara yang menjadi kewajipan penting seorang Muslim ialah agar segera melepaskan kesempitan yang dialami oleh saudaranya. Dengan cara ini masyarakat yang sempurna dan tolong-menolong dapat diwujudkan. Sebaliknya mencari-cari keburukan orang lain dan menyebarkannya pula adalah satu tanda kemunafikan kerana disebabkan perkara tersebut sesuatu kejahatan yang dilakukan itu boleh menjadi pemangkin kepada orang yang sepertinya agar lebih agresif dan liar dengan kejahatan hingga seluruh masyarakat menjadi rosak. Sesungguhnya balasan Allah SWT kepada makhluk-Nya adalah dalam bentuk yang menyerupai amalan yang dilakukan itu.

12 Januari 2011

Sifat Manusia

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”

Riwayat Ahmad


Huraian
i) Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.
ii) Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.
iii) Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).
iv) Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

Roh Harum Dan Ruh Busuk

Hadith :
Dari Abu Hurairah r.a katanya:”Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit.” Kata Hammad :”Kerana baunya harum seperti kasturi.” Kata penduduk langit “ Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ‘alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam.” Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:”Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat.” Kata Abu Hurairah selanjutnya:” Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya – kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,”Roh jahat datang dari bumi.” Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.”

(Muslim)

Huraian
Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

Penghormatan Kepada Masjid

Hadith :
Dari Abi Qatadah as-Salmi r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda “Apabila seseorang daripada kamu masuk ke masjid, hendaklah ia mengerjakan sembahyang (tahyatul masjid) dua rakaat sebelum ia duduk.”

(Bukhari)



Huraian
1. Masjid dan surau adalah tempat yang suci dan mulia yang diberi penghormatan dengan menamakannya “Baitullah” (rumah Allah).
2. Baitullah yang paling besar dan agung adalah Baitullah al-Haram yang terletak di Makkah al-Mukarramah. Ia merupakan kiblat umat Islam di seluruh dunia.
3. Apabila kita memasuki mana-mana masjid hendaklah kita menunaikan hak masjid terlebih dahulu iaitu dengan mengerjakan sembahyang dua rakaat sebelum duduk.
4. Sembahyang tersebut dinamakan sembahyang “Tahyatul masjid”. ‘Tahyat’ di sini bererti penghormatan iaitu sembahyang yang dikerjakan secara khusus semasa tiba di masjid. Hukumnya adalah sunat.

Menghormati bapa

Hadith :
DaripadaAbu Hurairah r.a, sabda Rasulullah s.a.w, maksudnya:“Janganlah kamu membenci bapa-bapa kalian. Sesiapa yang membenci bapanya bererti ia kafir.”


Riwayat Muslim

Huraian
1. Seorang ibu mahupun bapa tidak akan menjadi ibu dan bapa tanpa anak-anak dan begitulah sebaliknya. Oleh itu ibu bapa berhak mendapat penghormatan daripada anak-anak mereka sama sebagaimana anak-anak mereka berhak mendapat kasih sayang daripada ibu bapa.
2. Islam melarang keras anak-anak mencela atau memarahi ibu bapa dengan bahasa yang kasar. Anak yang mengasari ibu bapa dianggap sebagai anak derhaka yang diharamkan syurga ke atasnya oleh Allah S.W.T di akhirat kelak.
3. Oleh itu bagi mendapatkan anak-anak yang baik, ibu bapa hendaklah terlebih dahulu menunjukkan pergaulan yang baik dengan anak-anak. Apabila anak-anak yang soleh ini dapat dibentuk, tiadalah permusuhan dan perbalahan dalam keluarga. Masing-masing akan saling sayang menyayangi antara satu dengan lain.

Tetap Pendirian

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Tidak lurus (istiqomah) iman seseorang hamba itu sehingga hatinya lurus dan hatinya tidak akan lurus sehingga lurus lidahnya.”


Riwayat Ahmad



Huraian
1. Maksud istiqomah ialah tetap teguh di atas jalan yang betul lurus yang membawa keredhaan Allah S.W.T.
2. Dasar istiqomah adalah istiqomah hati iaitu lurusnya hati di atas tauhid. Apabila hati telah beristiqomah kepada Allah dalam erti kata takut, cinta, tawakkal dan mengagungkan Allah maka seluruh anggota tubuh akan taat kepadanya. Ini ialah kerana hati adalah raja kepada badan manakala anggota badan adalah rakyatnya.
3. Anggota terpenting selepas hati yang mesti diberi perhatian serius agar beristiqomah ialah lidah kerana lidah adalah terjemahan hati yang menggambarkan pemikiran seseorang.

Petanda-petanda Hampirnya Kiamat

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"

Huzaifah bin Asid al-Ghifari r.a



Huraian
Rasulullah s.a.w telah menjenguk kepada kami semasa kami sedang ingat meningati satu sama lain, lalu Baginda s.a.w bertanya: "Apa yang kamu ingat mengingatkan itu?" Kami menjawab:"Kami mengingati perihal hari kiamat dan saat berlakunya"; Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya saat kiamat tidak akan berlaku melainkan setelah kamu melihat sebelumnya sepuluh alamat." Lalu Baginda s.a.w menyebut alamat atau tanda-tanda itu iaitu: Asap, Dajal (orang yang menyembunyi dan mengubah keadaan perkara-perkara yang benar dengan perkataan dustanya atau perbuatan sihirnya) Dabbatul-Ardh, terbit matahari dari pihak masuknya (dari pihak barat), turunnya Nabi Isa anak Mariam, dan Ya'juj wa Ma'juj…"

Kemulian Diri Dengan Berakhlak Baik

Hadith :
Rasulullah saw. Bersabda bermaksud:
“Sebesar-besar kebajikan itu ialah berakhlak dengan akhlak yang baik, dan dosa itu ialah perasaan bimbang dalam jiwa dan engkau tidak suka keadaan itu diketahui oleh orang lain”.


Riwayat Muslim



Huraian
1. Seseorang yang berakhlak mulia akan mendapat pahala dan boleh mendatangkan kebaikan untuk diri sendiri dan kebajikan kepada orang lain.
2. Orang yang melakukan dosa tidak akan mendapat ketenangan jiwa didalam hidupnya.
3. Berakhlaklah dengan akhlak yang mulia kerana ia sebesar besar kebajikan dan janganlah melakukan dosa kerana dosa itu ialah azab seksa, yang dirasai baik didunia mahupun diakhirat.

Sifat Malu Mendatangkan Kebaikan

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Sifat malu itu akan menghasilkan kebaikan”.

Riwayat Al-Bukhari dan Muslim

Huraian
1. Sifat malu adalah suatu sifat yang terpuji. Sesiapa yang memilikinya akan terlepas daripada segala kejahatan kerana dengan adanya sifat malu kita tidak akan melakukan segala keburukan.
2. Sifat malu juga akan meninggikan darjat keimanan orang yang memilikinya

11 Januari 2011

Hanya Yang Suci

Hadith :
Dari Ibnu ‘Umar r.a., katanya:” Kudengar Rasulullah s.a.w. bersabda katanya:” Tidak diterima sembahyang tanpa bersuci, begitu pula derma yang didapat dari korupsi (pecah amanah).”

(Muslim)



Huraian
Islam menilai yang terbaik hanyalah yang suci sebagaimana solat hanya akan diterima apabila sesorang itu telah bersuci. Allah SWT tidak menilai sesuatu kebaikan itu hanya daripada luaran semata-mata tetapi dinilai dari dalaman juga yang datangnya daripada hati. Sesungguhnya apa jua kebajikan yang dilakukan walaupun dengan niat kerana Allah perlu diambil kira dari mana punca ia diperolehi sama ada halal atau pun haram. Samalah keadaannya dengan sepohon pokok yang tumbuh subur tetapi sebenarnya ia beracun yang jika dimakan akan membawa maut.

Menjalankan Pemerintahan Mengenai Urusan Umat Islam

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Sesiapa yang menjalankan pemerintahan mengenai urusan umat Islam tanpa menghiraukan kemiskinan,keperluan,kefakiran dan hajat mereka, nescaya Allah akan membiarkannya pada hari kiamat tanpa menghiraukan kemiskinannya, keperluannya, hajatnya dan kefakirannya.”

Riwayat Abu Daud



Huraian
i) Berdisiplin ketika bekerja merupakan kekuatan yang menggerak kepada kejayaan dan kemenangan.
Ii) Dalam melakukan urusan dengan orang ramai (masyarakat) perlulah dilakukan dengan adil dan menyesuaikan keutamaan tanpa ada perasaan pilih kasih dan sebagainya. Jika tidak akan berlakulah kezaliman dan penganiayaan terhadap orang lain.
iii) Oleh itu untuk mendapatkan ganjaran ibadah dalam setiap kerja yang dilakukan patuhilah peraturan dan arahan dengan baik serta melaksanakan sesuatu tugas dengan tertib dan beradab dengan menjaga tentang aspek pengurusan waktu yang telah ditetapkan. Dengan itu kita akan mendapat keredhaan Allah S.W.T dan mendapat ganjaran yang selayaknya di akhirat nanti.

Besar Dan Yang Lebih Besar Ganjarannya

Hadith :
Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Satu dinar yang engkau belanjakan pada jalan Allah, satu dinar yang engkau gunakan untuk memerdekakan hamba, satu dinar yang engkau sedekahkan kepada fakir miskin, satu dinar yang engkau nafkahkan untuk keluargamu, yang paling besar pahala ganjarannya ialah yang kamu nafkahkan kepada keluargamu”

(Muslim)



Huraian
1. Bersusah payah memberi kesenangan kepada isteri dan berkorban mencari nafkah untuk anak-anak akan diberi ganjaran pahala yang besar oleh Allah S.W.T. Bahkan dikira suatu dosa besar sekiranya seorang suami atau ketua keluarga itu enggan memberi nafkah dan bakhil terhadap isteri dan anak-anaknya sedangkan ia mampu berbuat demikian.
2. Nafkah adalah lebih daripada hanya peruntukan makanan bahkan yang dimaksudkan dengan nafkah adalah memberikan tempat tinggal, pakaian, makanan, perubatan, pendidikan dan perkara-perkara yang munasabah bagi kehidupan seseorang anggota keluarga.
3. Keluarga yang bahagia akan terbentuk sekiranya setiap ahli keluarga memainkan peranan masing-masing. Keberkatan jua akan melimpah sekiranya setiap tanggungjawab itu dilakukan dengan mengambilkira kedudukan halal dan haramnya. Tidak semata-mata ingin mengecap kesenangan dengan jalan yang mudah sehingga akhirnya membawa padah kepada keluarga dan merosakkan rumahtangga.

Berbuat Baik Dan Bersabar Di Atas Perilaku Manusia

Hadith :
Seorang lelaki bertanya:“ Wahai Rasulullah sesungguhnya aku mempunyai beberapa orang kerabat, yang hubungan aku erat dengan mereka tetapi mereka memutuskannya. Aku berbuat baik kepada mereka tetapi mereka berperangai buruk kepadaku, aku bersabar mengahadapi sikap mereka itu tetapi mereka menganggap sikapku itu adalah bodoh.” Kemudian baginda menjawab,” Sekiranya benar sepertimana yang engkau katakan itu maka seolah-olah engkau menyuap mereka dengan abu yang panas, sedangkan engkau sentiasa mendapat pertolongan daripada Allah Taala selama mana engkau berada di dalam kebenaran atas perkara yang demikian itu”.

Riwayat Muslim



Huraian
1.Islam mengajar umatnya supaya banyak bersabar di dalam semua keadaan sama ada ketika senang atau pun susah kerana ia merupakan pengukur darjat keimanan seseorang.
2.Islam mengajar umatnya supaya jangan membalas keburukan orang sebaliknya menambahkan lagi kebaikan terhadap mereka mudah-mudahan dengan itu hati mereka menjadi lembut dan baik.
3.Allah sentiasa memberi pertolongan kepada orang yang sentiasa sabar dan benar dalam bertindak.
4.Setiap umat Islam wajib menghubungkan silaturrahim dan haram memutuskannya.

Kesabaran Rasulullah Saw Dalam Berdakwah

Hadith :
Jundub Ibn Sufyan r.a menerangkan:”Bahawasanya Rasulullah SAW pada suatu hari berada di dalam sebuah peperangan sedangkan anak jari baginda sudah berdarah. Maka berkatalah Rasulullah SAW :”Engkau hai anak jari tiada lain melainkan anak jari yang telah berdarah dan di jalan Allah apa yang telah engkau deritai.”

(Bukhari dan Muslim)

Huraian
Nabi pernah menyatakan bahawa tekanan paling berat yang pernah dirasakan baginda sewaktu berhadapan dengan orang Quraisy ialah apa yang pernah baginda deritai pada Hari Aqabah di Mina iaitu ketika baginda pergi ke Taif untuk berdakwah. Di sana baginda berharap agar penduduk Taif akan menerima dakwah baginda dan melindungi baginda daripada keganasan puak Quraisy. Namun yang sebaliknya pula berlaku apabila baginda diusir dan dikasari hingga luka berdarah. Dalam peristiwa ini Allah SWT telah mengutuskan malaikat untuk membantu baginda membinasakan puak yang menentang itu dengan cara membinasakan mereka sebagaimana yang berlaku pada kaum-kaum sebelumnya. Namun sebagai seorang Nabi baginda tidak terburu-buru. Baginda menolak bantuan tersebut dan masih mengharap supaya kaum yang melampau itu diberikan kesedaran dan mereka tidak dibinasakan kerana perlakuan mereka itu sebenarnya adalah disebabkan kejahilan mereka.

07 Januari 2011

Islam Dan Pekerjaan

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berikanlah upah kepada pengambil upah (orang yang bekerja) sebelum kering peluhnya”


Riwayat Ibn Majah



Huraian
i) Bekerja merupakan keharusan mutlak yang harus dilakukan oleh seorang muslim untuk mendapat rezeki yang telah disediakan oleh Allah S.W.T, bahkan kalau perlu, seseorang itu digalakkan merantau ke pelbagai pelusuk dunia untuk meraih rezeki yang halal. Hal ini juga termasuk dalam kontek jihad.
ii) Bekerja adalah senjata utama untuk memerangi kemiskinan, modal dalam mencapai kekayaan dan faktor dominan dalam mencipta kemakmuran hidup.
iii) Seseorang itu dituntut supaya redha dengan pekerjaannya dan menjalankan kerja-kerja yang telah diamanahkan dengan tekun untuk menjamin kebersihan upah yang diterima daripada pekerjaan tersebut. Oleh itu, sesuatu pekerjaan yang dibuat hendaklah diniatkan kerana Allah.
iv) Terdapat sekurang-kurangnya 3 jenis balasan bagi mereka yang kerjanya menjadi ibadah iaitu:
i) mendapat balasan dalam bentuk material (gaji)
ii) mendapat balasan dalam bentuk kepuasan kerana dapat menyiapkan atau menyelesaikan kerjanya
iii) mendapat pahala untuk bekalan di hari akhirat.
v) Dalam konteks hubungan majikan-pekerja pula Islam melihat bahawa pekerja itu bukanlah sebagai hamba kepada manusia lain untuk menghasilkan sesuatu pengeluaran kerana penghambaan hanya dikhususkan untuk Allah S.W.T. Oleh itu hendaklah ada keadilan antara majikan dan pekerja di mana gaji yang diberi hendaklah setimpal dengan kerja serta tanggungjawab yang dipikul oleh pekerja tersebut bahkan kalau perlu sebelum keringatnya kering kerana Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: Alangkah besar dosanya orang yang menahan-nahan makan (upah dan sebagainya) orang yang menjadi tanggungjawabnya.” .

Jangan Salah Asuhan

Hadith :
Dari Abdullah bin ‘Amr bin ‘Ash, katanya: “Bahawa Rasulullah s.a.w. berkata: “Dari pada dosa-dosa yang berat; seseorang memaki ibu bapanya.” Bertanya orang yang hadir kepada beliau; Ya Rasulullah s.a.w. adakah orang yang memaki ibu bapanya? Jawab beliau: Ya, dia memaki-maki bapa orang lain, orang itu memaki bapanya pula, dan dia memaki ibu orang lain, orang itu memaki ibunya pula.”

(Muslim)



Huraian
Elemen akhlak dan pekerti mulia tetap diberi perhatian dalam Islam. Keluhuran peribadi seperti bersopan-santun, berbudi bahasa dan suka membantu perlu dipraktikkan sentiasa. Dalam hal ini sememangnya keluarga memainkan peranan yang besar dalam mendidik, membimbing dan mencorakkan keperibadian seseorang individu semenjak dilahirkan. Ia mampu mempengaruhi persekitaran dan mewujudkan suasana aman tanpa sebarang pergaduhan. Hadis di atas mempamerkan betapa dari aspek budi bahasa mencerminkan budi pekerti seseorang. Mencaci maki, menyumpah seranah dan yang seumpama dengannya tidak membawa kebaikan kepada sesiapapun malah ia memalukan sesiapa yang menuturkan, begitu juga ia akan memalukan ibu bapa yang berkenaan. Justeru dalam membentuk masyarakat yang baik dan beradab semuanya bermula daripada didikan akhlak yang betul. Salah asuhan menjadikan masyarakat kacau bilau dan di antara satu sama lain tidak terjalin persefahaman dan kasih sayang.

Idola Teladan

Hadith :
Dari Anas bin Malik r.a katanya:”Rasulullah s.a.w bertemu dengan beberapa orang anak lalu baginda memberi salam kepada mereka.”

(Muslim)



Huraian
Rasulullah s.a.w adalah manusia sempurna yang kaya dengan sifat-sifat yang terpuji. Justeru, baginda adalah orang yang wajib dicintai dan diteladani melebihi manusia yang lain. Bagindalah idola yang sepatutnya dipuja-puja oleh kita selaku umat Islam, dulu, kini dan selamanya sama ada oleh sesiapa sahaja, golongan remaja, kanak-kanak mahu pun dewasa. Jika kita hidup di zaman baginda, nescaya bagindalah orang terbaik yang sentiasa ingin kita tiru gaya hidupnya, penampilannya sepertimana para remaja kita sekarang yang memuja dan meniru apa sahaja yang dipakai, dibuat, dilakukan atau apa jua yang berkaitan dengan diri orang yang diminatinya. Semuanya baik belaka. Rasulullah contohnya pandai memikat hati sesiapa sahaja yang melihat atau merasa kehadiran baginda. Manakan tidak, baginda tidak pernah menyakiti hati sesiapa. Ketika bersalaman, baginda tidak melepaskan tangan sehingga yang dijabatnya itu melepaskannya. Rasulullah mengangkat tangan dan memberikan salam apabila melepasi kumpulan kanak-kanak sebagai tanda hormat dan kasih baginda kepada mereka, tidak kurang juga baginda menghormati orang-orang tua, kawan mahupun lawan. Inilah sifat sejati seorang yang pandai menjaga hati peminatnya. Baginda melakukan semua itu bukan untuk menjaga hati orang lain atau pun demi populariti dirinya sendiri sebagai seorang rasul tetapi dilakukan semua itu kerana ingin menjaga maruah Islam yang amat mulia. Baginda bukan menjadi fitnah kepada agama apalagi hingga membawa kesesatan kepada orang yang menyukainya.

06 Januari 2011

Islam Bersifat Terbuka

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “ Kamu lebih mengetahui tentang urusan keduniaan kamu sendiri.”


Riwayat Bukhari & Muslim

Huraian
1. Islam adalah agama yang mudah dan ia memberikan kebebasan kepada umatnya untuk mengeluarkan pendapat terutama dalam urusan yang menyentuh hal keduniaan seperti dasar peperangan, urusan pentadbiran, pertanian, perekonomian dan sebagainya.
2. Berfikiran terbuka akan membolehkan kita mudah diterima oleh orang lain dan ini akan merapatkan lagi hubungan di antara satu sama lain apalagi jika sikap ini dimilki oleh seorang pemimpin dengan rakyatnya.
3. Dalam mengekalkan keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat, setiap individu hendaklah mengamalkan sikap berani kerana benar iaitu sesiapa yang melihat berlakunya penyimpangan dari perkara yang sebenarnya maka hendaklah ditegur dan dinasihati dengan cara yang baik. Manakala orang yang ditegur itu pula mestilah bersikap terbuka untuk menerima kenyataan dan memperbaikinya demi untuk kebaikan semua pihak.

Sempadan Ketaatan

Hadith :
Dari Ali (bin Abi Talib) r.a, katanya: “Pada suatu ketika, Rasulullah SAW mengirim sepasukan tentera (ke medan perang) dan melantik seorang lelaki menjadi komandan mereka. Satibanya di suatu tempat, komandan tersebut menyalakan api (unggun) dan memerintahkan anak buahnya melompat ke dalam unggun api tersebut. Sebahagian anak buahnya telah bersedia untuk melompat ke dalam unggun api tersebut tetapi yang lain berkata:”Kita harus lari dari api itu.” Peristiwa itu mereka laporkan kepada Rasulullah SAW. Maka beliau bersabda:”Seandainya kamu melompat ke dalam api itu kamu akan sentiasa berada di dalamnya hingga hari kiamat nanti.” Kemudian baginda bersabda pula kepada yang lain dengan lemah lembut:”Tidak wajib taat kepada perintah untuk menderhakai Allah. Taat itu hanya wajib dalam rangka menegakkan kebajikan.”

(Muslim)

Huraian
Kepatuhan dan ketaatan kepada manusia dan peraturan ada batasnya. Manakala kepatuhan dan ketaatan kepada Allah adalah telus kepada-Nya dan seharusnya tidak ada hijab yang menghalangnya. Faham tentang batas dosa dan pahala, tahu tentang batas halal dan haram, mengerti tentang situasi fasad dan mungkar, maklum tentang wajib dan harus akan memberikan kita gambaran sejauh manakah sesuatu perintah seseorang ketua itu wajib ditaati. Sekadar pertimbangan akal semata tidak ada jaminan yang sesuatu perintah itu wajib dipatuhi. Sekadar ukuran logik dan rasional juga tidak memadai. Sekadar berpandukan orang ramai yang juga melakukannya juga belum ada jaminan ia selari dengan syarak. Justeru hanya sifat manusia yang memiliki jiwa hamba yang tinggi yang akan patuh dan taat kepada perintah Allah. Keimanan manusia kepada Allah menyebabkan manusia ada benteng. Ketakutan manusia sesama manusia boleh dielakkan dan boleh dicari jalan keluar. Benteng syarak inilah yang memandu manusia memilih jalan yang baik dan jalan yang sebaliknya.

Islam Yang Sebenar

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Apabila salah seorang dari kamu mengerjakan amal-amal yang membuktikan keislamannya dengan sebaik-baiknya (serta dengan ikhlas) maka tiap-tiap kebaikan yang dikerjakannya akan ditulis baginya sepuluh kebajikan yang menyamainya hingga kepada tujuh ratus kali ganda dan tiap-tiap satu kejahatan yang dilakukannya akan ditulis baginya (satu kejahatan) yang menyamainya.”

Riwayat Bukhari



Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Islam adalah suatu agama yang mulia dan ia memuliakan penganutnya.
ii) Buktinya Islam memberikan ganjaran yang sangat besar bagi setiap kebaikan yang dilakukan di mana kelebihan atau ganjaran ini tidak akan diperolehi dengan pengakuan mulut sahaja (mengaku Islam sahaja) tetapi hanya akan dicapai dengan mengerjakan amalan-amalan yang baik secara ikhlas dan ihsan kerana Allah S.W.T.
iii) Ihsan bererti mengerjakan sesuatu ibadat dan kebaikan dengan sebaik-baiknya, lengkap dengan segala peraturan serta ikhlas kepada Allah iaitu bersih dari perbuatan syirik dan sifat munafiq serta bersih daripada perasaan riya’, ujub dan sebagainya. Dengan lain perkataan ihsan itu adalah mengerjakan sesuatu ibadat seolah-olah seseorang itu melihat Allah serta meyakini bahawa Allah sedang memerhatikannya.

05 Januari 2011

Beriman Kepada Malaikat

Hadith :
Nabi s.a.w bersabda: "Sesungguhnya ada bagi Allah beberapa Malaikat yang berjalan di merata-rata bumi untuk menyampaikan salam kepadaku dari sesiapa di antara umatku yang memberi salam kepadaku, sekalipun jauh negeri orang itu dan tempat tinggalnya.

Abdillah bin Masud r.a

Mensyukuri Rezeki Menambahkan Berkat

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:”Makanan untuk seorang mencukupi untuk dua orang dan makanan untuk dua orang mencukupi untuk empat orang dan makanan untuk empat orang mencukupi untuk lapan orang.”

Riwayat Bukhari dan Muslim



Huraian
i) Setiap Muslim hendaklah mempunyai sifat qanaah iaitu redha dan menerima apa yang ada tanpa banyak menuntut perkara yang bukan keperluannya.
ii) Lawan bagi sifat qanaah ialah tamak yang menjadikan seseorang itu sentiasa cemburu dan dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
iii) Kekayaan yang sejati adalah kekayaan iman yang tercermin dari kesederhanaan hidupnya dan kesederhanaan itu tercermin dari sifatnya yang qanaah.
iv) Salah satu cara untuk menanamkan sifat qanaah kepada diri dan keluarga ialah dengan sentiasa mengucapkan "alhamdulillah" di atas setiap perbuatan atau perkara baik yang diterima.
v) Rezeki adalah ketentuan Allah S.W.T. Untuk menambah keberkatannya hendaklah membiasakan diri dengan sifat pemurah dan tidak bakhil untuk bersedekah kepada orang lain kerana hal ini akan memberikan ketenangan kepada diri malah akan lebih disayangi oleh masyarakat kerana sesungguhnya, harta yang kita miliki terdapat hak-hak orang lain di dalamnya yang wajib kita tunaikan.

Insan Dan Hubungannya Dengan Masyarakat

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia berkata-kata dengan kebaikan atau jika tidak, hendaklah dia diam sahaja. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan jirannya. Dan sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat hendaklah dia memuliakan tetamunya.”

(al-Bukhari dan Muslim)

Huraian
Setiap insan yang mendiami bumi ini seharusnya menjalinkan hubungan sesama mereka dengan adab-adab muamalah dan pergaulan sosial yang baik sama ada berbentuk perkataan yang baik dan enak didengar, kejiranan yang mendamaikan dan layanan terhadap tetamu yang selayaknya. Semua ini adalah unsur-unsur keimanan seseorang kepada Allah SWT yang menyuruh kita agar berakhlak mulia yang akan memberi manfaat di dunia dan akhirat. Beramal dengan apa yang terkandung di dalam hadis di atas akan mewujudkan kesatuan ummah dan menjinakkan hati manusia serta menghapuskan sifat hasad dengki di antara satu sama lain sebaliknya akan meluaskan perasaan kasih sayang yang berpanjangan.

Mentaati Kedua Ibu Bapa

Hadith :
Sabda rasulullah s.a.w yang maksudnya: “ Redha Allah bergantung pada redha dua ibu bapa, dan murka Allah bergantung pada murka kedua-dua ibu bapa.”

Riwayat al-Hakim

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Tanggungjawab anak terhadap kedua-dua ibu bapa terbahagi kepada dua iaitu tanggungjawab semasa mereka masih hidup dan tanggungjawab selepas mereka meninggal dunia.
ii) Semasa kedua-dua ibu bapa masih hidup anak-anak hendaklah berbakti dan berbuat baik kepada mereka kerana ibu bapa adalah orang yang paling banyak berjasa kepada anak. Di antara adab yang mesti dipraktikkan sentiasa ialah berlemah lembut dan berbudi bahasa apabila berkomunikasi dengan mereka, berbelanja untuk keperluan ibu bapa dan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya.
iii) Manakala apabila kedua-dua ibu bapa telah meninggal dunia adalah menjadi tanggungjawab anak-anak untuk mendoakan kesejahteraan ibu bapa mereka, menzirahi pusara mereka, melaksanakan nazar mereka yang belum tertunai, menghubungkan silaturahim dengan sahabat handai ibu bapa, mengqadakan puasa yang terhutang, menunaikan haji sekiranya mampu, membaca al-Quran dan melunaskan hutang ibu bapa yang belum langsai semasa hayat mereka.
iv) Sesungguhnya bagi setiap anak, meskipun telah mempunyai keluarga sendiri mereka wajib mentaati dan menghormati kedua-dua ibu bapa. Anak yang tidak mentaati kedua-dua ibu bapa dianggap sebagai anak yang derhaka sedangkan kesalahan menderhaka termasuk di kalangan dosa-dosa besar.
v) Setiap anak yang derhaka akan dilaknat oleh Allah S.W.T, amalan dan ibadah mereka tidak diterima dan tidak akan mendapat ganjaran yang memungkinkan perbuatan baik yang dilakukan sepanjang hayatnya akan sia-sia. Oleh itu Islam menitikberatkan keredaan kedua-dua ibu bapa agar hidup sentiasa diberkati Allah.

Jangan Kamu Marah!

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a bahawa seorang lelaki telah berkata kepada nabi SAW yang maksudnya:” Berwasiatlah kepada ku.” Sabda Rasulullah SAW: “Jangan kamu marah.” Maka lelaki itu mengulangi kata-katanya berulang kali. Sabda Rasulullah SAW:” Jangan kamu marah..”

(al-Bukhari)



Huraian
Hasan al-Basri pernah berkata: Empat perkara jika sesiapa memilikinya maka Allah memeliharanya daripada syaitan dan mengharamkan ke atasnya api neraka: (iaitu) Sesiapa yang mampu mengawal dirinya ketika dalam keghairahan, ketakutan, syahwat dan kemarahan.” Sesungguhnya kemarahan akan mengumpulkan segala keburukan. Reaksi seorang yang sedang marah dapat dilihat pada wajah dan anggota badannya seperti warna mukanya bertukar merah, urat-urat lehernya menegang, tubuh badan seakan-akan menggigil kerana geram, suara menjadi nyaring manakala lidah mula mengeluarkan perkataan yang buruk sama ada mengutuk atau mengeji. Ada kemungkinan patah-patah perkataan itu berupa penghinaan atau yang seumpama dengannya yang haram diucapkan termasuklah menuduh orang lain sebagai kafir dan lai-lain. Selain itu, seseorang itu juga akan melakukan perbuatan yang di luar kawalannya sendiri seperti memukul, menumbuk, menampar dan sebagainya. Semua ini berkemungkinan akan mendorong kepada perbuatan yang menyakitkan orang lain yang akhirnya mewujudkan permusuhan dan kebencian di antara satu sama lain. Justeru walaupun sifat marah adalah sifat semula jadi manusia namun sebagai seorang Muslim kita hendaklah berusaha untuk menjauhkan diri daripada segala sebab yang menyebabkan kemarahan.

04 Januari 2011

Ukuran Iman Yang Sempurna

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:” Seseorang yang hendak berzina, tidak akan melakukan zina itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak minum arak, tidak akan minum arak tersebut semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak mencuri, tidak kan melakukan perbuatan itu semasa ia berkeadaan sempurna imannya; dan seorang yang hendak melakukan rompakanyang lazimnya menjadikan orang yang merompak itu memandang sahaja kepadanya, tidak akan merompak semasa ia berkeadaan sempurna imannya.”

Riwayat Bukhari dan Muslim

Huraian
Pengajaran hadis:
i) Orang yang tergamak melakukan perbuatan yang ditegah agama menandakan ketidaksempurnaan iman di jiwanya.
ii) Kebahagiaan hidup adalah bergantung pada pertalian keturunan yang baik, keselamatan akal dan fikiran serta harta benda kerana keturunan yang terpelihara akan menjamin kesejahteraan keluarga dan masyarakat, akal yang sihat membolehkan seseorang itu membezakan antara yang baik dan buruk, hak dan batil serta keselamatan harta benda itu pula membolehkan segala perancangan dilakukan dengan lancar dan sempurna.
iii) Oleh itu Islam melarang keras daripada melakukan perbuatan zina yang boleh mencemarkan keturunan manusia, minum arak atau menagih dadah yang boleh merosakkan akal fikiran serta perbuatan mencuri yang menyebabkan kesusahan orang lain dan sebagainya.
iv) Sesungguhnya kekuatan iman itu dinilai pada sejauh mana seseorang itu dapat membendung hasutan nafsunya serta menjauhi bisikan-bisikan jahat yang menggodanya. Oleh itu amat penting bagi setiap mukmin sentiasa menjaga pergaulannya agar tidak terpengaruh dengan gejala yang tidak sihat yang berlaku di sekitarnya.

03 Januari 2011

Senjakala

Hadith :
Dari Jabir r.a katanya:”Jangan biarkan ternakan dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja kerana syaitan keluar ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja.”

(Muslim)



Huraian
1. Waktu senja adalah waktu matahari hampir terbenam (lebih kurang pukul tujuh malam) iaitu ketika hari hampir akan malam.
2. Waktu begini adalah saat di mana seseorang itu sepatutnya bersedia untuk menguruskan keperluan diri termasuklah bersiap sedia untuk ke masjid dan menunaikan solat maghrib. Maka adalah tidak wajar pada ketika tersebut anak-anak masih dibiarkan bermain-main di luar rumah memandangkan bahawa di saat inilah syaitan keluar untuk mengganggu manusia dan dibimbangi jika berlaku rasukan syaitan dan sebagainya.

Wasilah Menghampirkan diri Kepada Allah Swt Dan Mencapai cinta-nya

Hadith :
Daripada Abu Hurairah r.a katanya : Rasulullah SAW telah bersabda yang maksudnya: “Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman : “Sesiapa yang memusuhi wali-wali-Ku sesungguhnya Aku mengisytiharkan perang ke atasnya. Dan tidaklah seseorang hamba itu menghampirkan diri kepada-Ku dengan sesuatu yang lebih Ku cintai melainkan dengan apa yang telah Aku fardhukan ke atasnya, berterusanlah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada mu dengan mengerjakan (amalan-amalan) nawafil hinggalah Aku mencintainya. Apabila Aku mencintainya Aku akan menjadi pendengarannya yang dengannya ia mendengar, Aku adalah penglihatannya yang dengannya ia melihat dan tangannya yang dengannya ia memegang dan kakinya yang dengannya ia berjalan. Dan jika ia meminta dari-Ku, Aku akan mengurniakannya dan jika ia memohon perlindungan dengan-Ku, Aku akan melindunginya.”

(Al-Bukhari)

Huraian
1) Wali adalah hamba-hamba Allah yang ikhlas dalam melaksanakan perintah Allah SWT semata-mata kerana Allah SWT. Ini tersebut dalam firman Allah SWT yang bermaksud: “Ingatlah sesungguhnya wali-wali Allah itu tidak ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak pula mereka bersedih hati. Iaitu orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertaqwa. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan dalam kehidupan di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar.” (Yunus: 62-64)
2) Apabila hati penuh dengan kebesaran Allah SWT maka dihapuskan apa yang selain darinya. Dia tidak akan berbicara melainkan dengan zikir kepada Allah, tidak mendengar melainkan tentang Allah SWT, tidak melihat melainkan tanda-tanda kebesaran Allah SWT.
3) Setiap orang yang menyakiti wali Allah, contohnya seorang yang fasik memusuhi wali disebabkan sentiasa menegahnya daripada melakukan kejahatan dan maksiat, maka Allah SWT akan memusuhinya. Ini disebabkan seorang wali merupakan mereka yang benar-benar mencintai Allah dan sentiasa menghampirkan diri pada-Nya maka sebagai balasannya Allah akan memeliharanya dan mengawasinya daripada segala ancaman yang tidak baik kerana ia seolah-olah telah menyakiti Allah juga.
4) Amalan-amalan yang paling dicintai oleh Allah SWT ialah mengerjakan perintah-perintahnya dan menjauhi larangannya serta banyak mengerjakan amalan-amalan sunat dan kebajikan. Antara doa yang selalu dibaca oleh untuk menjadikan diri kita dekat kepada Allah ialah sebagaimana doa Rasulullah SAW yang bermaksud:” Ya Allah, jadikanlah cahaya di dalam hati ku, cahaya di dalam penglihatan ku dan cahaya di dalam pendengaran ku.” Sesungguhnya doa seorang wali adalah mustajab.
5) Golongan wali-wali yang paling utama di sisi Allah SWT ialah para Nabi dan Rasul yang maksum disusuli pula oleh para sahabat dan mereka yang datang selepasnya.

01 Januari 2011

Jangan Meremehkan Sedekah Orang

Hadith :
Dari Abu Mas’ud r.a katanya:”kami diperintah rasulullah s.a.w supaya bersedekah sedangkan kami hanya sebagai buruh kasar atau kuli. Namun Abu Uqail bersedekah setengah gantang. Kemudian yang lainnya mengikutinya dengan menyedekahkan apa sahaja namun lebih banyak dari itu. Melihat kenyataan itu, orang-orang munafik berkata:”Sesungguhnya Allah Maha Kaya. Dia tidak memerlukan sedekah itu dan ini. dan mereka melakukan ini semua, hanya kerana riya’ semata-mata.” Kerana ucapan mereka itu maka turunlah ayat :”(orang-orang munafik iaitu) mereka yang mencela orang-orang mukmin yang memberikan sedekah dengan sukarela dan (mencela) orang-orang yang tidak memperoleh (sesuatu untuk disedekahkan) selain hasil jerih payah mereka. Maka orang-orang munafik itu menghina mereka. Allah akan mebalas penghinaan mereka itu dengan siksa yang pedih.”

(at-Taubah:79)

Huraian
Allah SWT Maha Mengetahui siapa diri kita yang sebenarnya. Apa yang nyata keislaman seseorang tidak diukur oleh luasnya ilmu agama yang dimiliki. Tidak juga diukur oleh kekuatan ibadah semata. Tetapi keislaman itu diukur pada orang yang paling ikhlas dalam agamanya termasuk dalam bersedekah kerana sesungguhnya seorang mukmin yang sebenar akan sanggup menawarkan hartanya demi mempertahankan agamanya, sementara orang munafik pula akan sanggup menawarkan agamanya demi mempertahankan hartanya.