29 Mei 2010

Kunci Kemurahan Rezeki

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:”Berilah (belanjalah) dan jangan kamu selalu menutupi kepunyaanmu, kerana dengan itu nanti Allah akan menutupi rezekimu.”


Riwayat Bukhari & Muslim


Huraian
Pengajaran Hadis:

i) Allah yang mewujudkan sifat semulajadi dalam diri manusia iaitu sifat belas kasihan yang menggerakkan seseorang itu untuk bersedekah. Firman Allah S.W.T yang maksudnya "Bandingan (perbelanjaan/derma) orang-orang yang membelanjakan hartanya pada jalan Allah, ialah yang tumbuh menerbitkan tujuh tangkai: tiap-tiap tangkai itu pula mengandungi seratus biji benih. Dan (ingatlah) Allah akan melipatgandakan pahala bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya dan Allah amat luas (rahmat) kurnian-Nya, lagi meliputi ilmu pengetahuan-Nya.”(al-Baqarah:26)
ii) Syarat bersedekah adalah keikhlasan. Tidak kira wang ringgit atau sebagainya asalkan ia dapat memberi kesenangan terhadap orang yang memerlukannya kerana kesenangan (kekayaan) yang diberi oleh Allah kepada hamba-Nya merupakan satu perkongsian dan tanggungjawab terhadap sesama manusia di muka bumi ini.
iii) Sifat suka bersedekah lawannya adalah bakhil. Sifat bakhil dicetuskan oleh Allah kepada hamba-Nya yang lupa akan kewajipannya dan sangat cinta kepada harta kekayaannya.
iv) Oleh itu demi mencari keredhaan Allah kita hendaklah menggunakan waktu yang ada dengan beringat-ingat kepada yang susah dan memberi sedikit bantuan mengikut kemampuan. Sebenarnya di sebalik amalan bersedekah akan dapat mewujudkan perasaan kasih sayang sesama manusia dan sesungguhnya amalan yang baik akan dibalas baik oleh Allah S.W.T.

Perjalanan Dunia Destinasi Akhirat

Kehidupan dunia adalah sementara yang merupakan persinggahan yang pasti dilalui. Dunia ibarat lapangan peperiksaan kita selepas menempuh satu pengajian yang lama ketika berada di alam roh dan rahim. Peperiksaan ini harus ditempuhi sama ada kita bersedia atau sebaliknya. Bagi mereka yang peka dan tahu apa yang harus dilakukan, semestinya telah membuat persediaan rapi dari awalnya lagi, agar setiap jawapan yang dicoret akan menghasilkan nilai yang tinggi, dan seterusnya mendapat tempat di menara gading iaitu Syurga.

Aturlah kehidupan dari sekarang, jangan terlopong kekosongan antara liang-liang usia meninggalkan bekas kekotoran akibat perbuatan tangan sendiri. Degil kekotoran sukar dibasuh, apatah lagi menanggalkan jejaknya. Kadang-kadang terasa lemah, dan rasa tidak bermakna untuk menyampai dan mengajak kepada kebaikan, kerana dirasakan kita tidak mampu mengubah apa-apa, sedangkan perubahan tersebut bukannya sekejap, tapi kadang-kadang memakan masa bertahun-tahun.

Manusia yang bertemu Allah swt dengan membawa hati yang sejahtera adalah manusia yang mempersembahkan pita rakaman kepada segala ketaatan dan kepatuhannya kepada Allah swt semasa menunaikan kewajipan hidup di dunia. Kejayaan di dunia hanya sebuah perjalanan, bukannya destinasi abadi kita. Carilah Dia.

BAGAIMANAKAH CARANYA?

Ilmu Tauhid adalah ilmu mengenal Allah swt. Dengan memahami ilmu sains, kefahaman kita kepada Allah swt akan menjadi lebih berkesan, sebagaimana contoh orang purba pun pandai membuat rumah, tetapi dengan sains dan teknologi, teknik membuat rumah menjadi lebih berkesan dan menghasilkan rumah yang jauh lebih baik. Kalau pemikiran kita terbuka kepada manhaj ilmu sains (akal rational), insha-Allah, kewujudan Allah swt akan menjadi lebih bermakna pada kita sebagai muslim dan mukmin.

Kesubjektifan sesuatu perkara diukur dari pengetahuan asal dan pengalaman yang telah dilalui oleh seseorang. Sebagaimana Allah swt mengajar Nabi Nuh as supaya berdoa memohon daripada meminta sesuatu yang tidak diketahui kesan dan akibatnya, begitu juga kita perlu kembalikan pengharapan bagi proses mencerahkan pemahaman agama kita kepada Allah swt. Sudah terang lagi bersuluh, jika Allah swt mahukan kebaikan ke atas seseorang itu, maka akan Allah swt berikan kefaqihan dan kesahihan dalam beragama.

Analoginya, kita melatih kanak-kanak secara perlahan (gradual proses) untuk memahami sesuatu. Berkembangnya pemikiran kanak-kanak bermakna dia mendapat penambahbaikan dari segi pemahaman pada kehidupan. Kiranya kita boleh berinteraksi dengan situasi itu, maka adalah sama situasinya dengan kemajuan untuk mengenal Allah swt, bagi orang dewasa. Ia bekembang dari satu tahap ke tahap yang lebih tinggi, dengan syarat, ada keterbukaan orang yang beranggapan itu.

Kalau dilihat sebagai 'instruction manual', penulis kira kesemua sistem ini akan menerangkan bagaimana hendak mendapatkan manfaat terbaik dari sesuatu, iaitu dengan mengenalnya dan menggunakannya. Apabila telah mengenalnya barulah timbul rasa hormat dan kemahuan menjaga mengikut panduan yang diberikan. Oleh itu tujuan hidup lebih kepada mengenal-Nya dan kemudian mengabdikan diri kepada-Nya setelah mengenal. Awal agama itu ialah mengenal Tuhan. Islam adalah agama wahyu. Bukan berlandaskan rasional akal dan kajian saintifik semata-mata, namun Islam amat menggalakkan penganutnya menggunakan seluruh anugerah akal demi membangunkan tamadun manusia.

Ilmu dan pengetahuan menjadikan Adam terpilih untuk memimpin bumi ciptaan Allah. Faqih dalam agama adalah asas dan tunjang, juga bertindak sebagai pengawal kepada gelojohnya nafsu dan pemikiran yang tersasar.

MUHASABAH

Sibukkanlah diri dengan amal yang memberi saham kepada kita, usah dikira habuannya di dunia, lebih penting menjadi baucer kita bertemu Tuhan di destinasi terakhir kelak, yaumul akhirah. Tiada pelaburan yang lebih baik berbanding pelaburan akhirat. Allah swt berfirman yang bermaksud:

“Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasul-Nya, serta kamu berjihad di jalan Allah dengan harta dan jiwa kamu; yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu mengetahui” (As-Saff,61:10-11)

Wallahu'alam.

Solat bina ketahanan diri

SOLAT fardu adalah satu ibadat yang wajib dilaksanakan individu Muslim, baik ketika waktu lapang mahupun sibuk dengan urusan, solat tetap kena dikerjakan setiap hari.

Melaksanakan solat ialah melakukannya menurut sebagaimana yang diperintahkan dan ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w, bermula dari takbir, bacaan, perbuatan hingga ke akhir salam dengan hati penuh keikhlasan dan takwa.

Orang beriman mesti mendirikan solat kerana solat itu tuntutan iman, manakala iman adalah sifat jiwa dan nur batinnya. Jadi, orang yang mendirikan solat adalah orang beriman dan golongan ini sudah pasti berhak menjadi hamba Allah yang patuh kepada perintah-Nya menurut erti kata sebenar.

Mendirikan solat menurut tertib sempurna adalah suatu bisikan dan munajat kepada Tuhan yang dapat mendidik fikiran, hati dan jiwa ke arah kesucian dan kemuliaan.

Selain itu, dengan ibadat berkenaan berupaya membimbing akhlak dan gerak geri kehidupan ke jalan yang sejahtera, terpelihara dari segala anasir yang membawa kerosakan serta terhindar daripada melakukan sebarang tindakan di luar batas kesopanan.

Dalam Islam, solat juga adalah alat pendidikan dan dengan sebab itu kejahatan yang merosakkan masyarakat dan menimbulkan kekacauan akan dapat dicegah oleh tenaga jiwa yang terdidik melalui ibadat berkenaan.

Muslim yang taat mengerjakan solat sepanjang hidup, lagi mengerti betapa besar kepentingan solat itu kepadanya dan faham pula segala hikmah dan rahsia bacaannya akan mendapat kekuatan dari dalam dirinya sehingga mampu menghadapi segala macam fitnah dan pancaroba.

“Sesungguhnya manusia itu dijadikan (bersifat) loba mengeluh apabila kesusahan menimpa dia dan kikir apabila keuntungan mengenai dia, kecuali orang-orang yang solat, yang berkekalan atas solat mereka.” (al-Ma’arij:19-23)

Ibadat solat juga adalah pembersih segala bentuk kesalahan Muslim setiap hari. Dengan pembersihan itu akan hati sentiasa suci. Hati yang suci akan memancarkan segala sumber kebaikan dan kehalusan budi pekerti pada setiap individu Muslim.

Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:

“Bagaimana pendapat kamu jika sekiranya ada sebatang sungai di pintu rumah seorang daripada kamu, lalu dia mandi di situ setiap hari sebanyak lima kali. Adakah masih tertinggal sesuatu daripada dakinya? Mereka berkata: Tidak tertinggal lagi sesuatu daripada dakinya. Baginda bersabda: Maka yang demikian itulah bandingan solat lima waktu, Allah menghapuskan dengannya segala kesalahan.”

Pendek kata, solat adalah satu rukun Islam yang besar faedahnya, malah banyak pula hubungkaitnya dengan kesucian hidup di dunia ini.

Justeru, tidak wajar sekiranya ibadat berkenaan diabaikan, malah dilakukan secara sambil lewa, kerana faedahnya cukup besar dalam menjamin kesejahteraan Muslim.

Sekiranya diperhatikan dalam al-Quran banyak ayat perintah supaya mendirikan solat dan dalam masa yang sama melarang keras sikap cuai, lalai dan meninggalkannya.

Tetapi sejauh mana umat Islam mengerti terhadap perintah itu? Janganlah perintah tinggal perintah, kerana jika demikian tidak tersingkaplah kejayaan dan kecemerlangan yang akan menjamin kesejahteraan umat Islam di dunia dan akhirat.

Dalam hadis ada menerangkan mereka yang meninggalkan solat dengan sengaja atau dengan kesedaran bererti menyediakan satu pintu kekufuran dan akan dimasukinya pada bila-bila masa.

Kewajipan melaksanakan solat bukanlah satu tugas yang berat, malah ringan serta mudah disempurnakan dalam beberapa minit saja.

Seorang Muslim yang melaksanakan kewajipan ini akan mudahlah kelak baginya menunaikan kewajipan hidup yang lain. Tetapi ia mudah bagi mereka yang celik mata hatinya, bagaimana pula mereka yang tetap berasa berat, malas, terbeban?

Rasulullah s.a.w sangat mengambil berat mengenai solat. Waktu baginda mengirimkan Muaz ke Yaman baginda berpesan dengan sabdanya (maksud): “Wahai Muaz, sesungguhnya sepenting-penting urusan engkau di sisi aku ialah solat.”

Menurut riwayat, Saidina Umar al-Khattab pernah mengirimkan surat kepada setiap hakim (penguasa) negeri di dalam kekuasaannya, dengan katanya: “Sesungguhnya dari sepenting-penting urusan kamu di sisiku ialah solat. Sesiapa yang memelihara solatnya dia memelihara agamanya dan sesiapa yang mensia-siakannya dan dia lebih lagi mensia-siakan kepada apa yang selainnya. Dan tidak ada bahagian dalam Islam bagi mereka yang meninggalkan solat.”


**Rebutlah peluang semasa hidup untuk mengerjakan kebaikan, hayatilah kata-kata: "Berusahalah untuk duniamu seolah-olah engkau hidup selama-lamanya, dan beramallah untuk akhiratmu seolah-olah engkau akan mati esok hari."

Wallahu'alam.

Sebab-Sebab Wanita Masuk Neraka

Sebab-sebab wanita masuk neraka

Fatimah pun berdiri dan bertanya kepada ayahnya, ‘ Ayahanda yang dikasihi, apakah kesalahan yang dilakukan oleh perempuan-perempuan itu?’

Rasulullah menjawab, ‘Fatimah, adapun perempuan-perenpuan yang digantung rambutnya itu ialah perempuan yang tidak menutup auratnya daripada yang bukan muhrimnya. Perempuan yang tergantung lidahnya ialah perempuan yang menggunakan lidahnya untuk memaki dan menyakiti hati suaminya.’


Keluar rumah tanpa izin suami

‘Perempuan yang digantung tubuh mereka ialah yang menyusukan anak orang lain dengan tidak mendapat keizinan suaminya. Perempuan yang kedua kakinya tergantung ialah perempuan yang keluar dari rumahnya tanpa keizinan suaminya dan perempuan yang tidak mahu bersuci daripada haid dan nifas. Perempuan yang memakan dirinya sendiri itu ialah kerana mereka berhias untuk lelaki yang bukan suaminya dan suka mengumpat orang’.


Ahli pengumpat dan pendusta

‘Perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting api neraka, kerana ia memperkenalkan dirinya kepada orang lain. Perempuan yang diikat kedua kaki dan tangannya ke atas ubun-ubunnya, ialah kerana ia boleh sembahyang tetapi tidak mengerjakannya, dan tidak mahu mandi janabah’

‘Perempuan yang kepalanya seperti babi dan badannya seperti himar ialah ahli pengumpat dan pendusta. Perempuan yang berupa seperti anjing ialah perempuan yang suka buat fitnah dan membenci suaminya.’


Menyakiti hati suami

‘Perempuan yang menyakiti hati suaminya dengan lidahnya, pada hari Qiamat nanti Allah jadikan lidahnya sepanjang tujuh puluh hasta, kemudian diikat ke belakang tengkuknya.’

Sementara itu Saidina Abu Bakar As-Siddiq menyatakan, ‘Aku mendengar Rasulullah bersabda, ‘Perempuan yang menggunakan lidahnya untuk menyakiti hati suaminya, ia akan mendapat laknat dan kemurkaan Allah, laknat para malaikat dan laknat oleh manusia.’


Tidak bersyukur kepada suami

Usamah bin Zaid meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda: ‘Seseorang perempuan itu, apabila ia mengerjakan sembahyang lima waktu, dan berpuasa dalam bulan Ramadhan, dan memelihara kehormatannya dan taat setia kepada suaminya, masuklah ia ke dalam syurga dari mana jua pintu syurga yang ia kehendaki.’

Sabda Rasulullah SAW lagi:

‘Selain dari itu, ahli neraka diperintah masuk kedalam neraka, dan aku telah berdiri menghadap Rasulullah SAW seraya bertanya: ‘Ya Rasulullah, kebanyakkan orang yang masuk ke dalamnya ialah perempuan. ‘Rasulullah SAW menjawab: ‘Kebanyakan penghuni neraka itu adalah perempuan kerana perempuan gemar sekali mengkufurkan suaminya. Seberapa banyakpun nikmat yang telah diperolehinya, dia masih belum rasa puas hati dan cukup sehingga terus merayu suaminya untuk mendapatkan harta yang banyak.’

Wallahualam.

28 Mei 2010

Batasan Aurat Lelaki dan Wanita


Kali ini diriku rasa terpanggil untuk menjelaskan perihal satu masalah yang dipandang biasa oleh kebanyakan remaja. Firasatku mengatakan bahawa semua remaja yang sudah baligh, berakal dan berpendidikan begitu makruf dan memahami situasi ini lebih-lebih lagi jika individu tersebut pernah belajar tentang hukum hakam dalam Islam, pernah mengambil subjek agama Islam dan dan jika beliau memang antara seseorang yang mendalami ilmu Islam.


Yang sedihnya, golongan yang memahami inilah yang telah melakukan perkara tersebut tanpa segan silu dan tak tahu malu dengan membuka aurat di khalayak ramai. Tidak kira remaja lelaki ataupun wanita, semuanya dikira sama jika aurat mereka masih tidak terjaga. Mungkin mereka masih kabur lagi dalam masalah sebegini sehingga permasalahan ini dipandang sebagai perkara biasa. Contohnya, berseluar pendek, berbaju ketat dan sebagainya.


Apa itu aurat?


Aurat adalah suatu kehormatan diri bagi seseorang, yang wajib dijaga dan dipelihara sepanjang masa. Walau di dalam apa jua keadaan, menjadi kewajipan ke atas umat Islam menutup aurat. Definisi lain ialah sesuatu yang tidak dibenarkan wanita mempersembahkannya di hadapan lelaki ajnabi ataupun sebaliknya.


Dalil-dalil berkenaan penjagaan aurat :


Maksud ayat al-Quran,


Wahai anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah dan berhias pada tiap-tiap kali kamu pergi tempat ibadat ( masjid ) dan makan serta minumlah. Dan jangan kamu melampaui batas. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang melampaui batas.

(al-A`raaf 7:31)


Rasulullah saw bersabda:


“Aurat mukmin terhadap mukmin yang lain adalah haram.”

(Hadith Riwayat Aththahawi)


“Jagalah auratmu kecuali terhadap isterimu atau budak(hamba) wanita yang kamu miliki. Aku bertanya, ‘Ya Rasulullah, bagaimana kalau dia sedang bersendirian?’ Nabi saw menjawab, “Allah lebih berhak (patut) kamu berasa malu.”

(Hadith Riwayat Bukhari)


“Jika seorang anak wanita telah mencapai usia baligh, tidak pantas terlihat darinya selain wajah dan kedua telapak tangannya sampai bahagian pergelangannya.”

(Hadith Riwayat Imam Abu Daud daripada Qatadah)


Jadi berdasarkan dali-dalil di atas menjadi kewajipan ke atas kita menjaga aurat,Maka hukum di sini jika kita membukanya adalah haram dan ditegah dalam agama. Kecuali dalam keadaan-keadaan tertentu contohnya untuk perubatan. Orang-orang yang suka mendedah aurat mereka pasti akan di azabkan dengan azab yang pedih di akhirat kelak


Batasan-batasan aurat :


A.Aurat di khalayak awam


1. Aurat lelaki di khalayak ramai ialah antara pusat dan lutut. Namun begitu dia dilarang keluar rumah seperti ke pejabat atau pasar hanya dengan menutup bahagian itu kerana nilai adab turut dihormati oleh Islam dalam pembinaan syarak.


2. Aurat perempuan di khalayak ramai ialah seluruh tubuh badan, kecuali muka dan dua tapak tangan. Namun jika wajah yang dimilikinya sangat cantik, sehinggakan menimbul fitnah, wajib ditutup wajahnya.


B.Aurat dengan ahli keluarga


1. Bagi Lelaki, antara pusat dan lutut

2. Bagi perempuan, antara pusat dan lutut


C.Aurat sesama jantina (dengan syarat tiada fitnah)


1.Aurat Lelaki dengan lelaki, antara pusat dan lutut

2.Aurat perempuan dengan perempuan, antara pusat dan lutut

*Jika menimbulkan fitnah wajib ditutup seluruh tubuh badan.


D.Aurat ketika berkhalwat di dalam bilik (sunyi dari pandangan)


1.Aurat lelaki, antara pusat dan lutut dan setengah ulama berpendapat hanya dua kemaluan yang wajib ditutup.

2. Aurat perempuan, antara pusat dan lutut


Etika menutup aurat


1.Berpakaian mengikut garisan syarak, yang mana mesti menutup aurat. Aurat bagi lelaki ialah antara pusat hingga ke lutut. Bagi perempuan ialah seluruh tubuh badannya, kecuali muka dan kedua tangan hingga ke pergelangannya. Aurat ini wajib ditutupi dari pandangan penglihatan manusia umum. Haram diperlihat dan haram melihatnya


2.Tidak menyerupai dengan kaum yang engkar kepada Allah. Seperti pakaian ahli gereja, ahli ibadat agama lain atau pakaian yang menjadi symbol kepada ahli kemungkaran, seperti ahli muzik, pelacur dan sebagainya.


3. Pakaian yang dipakai mestilah menutup susuk tubuh badan. Iaitu pakaian yang longgar dengan kesesuaian tubuh badan. Pakaian yang ketat atau sendat, tetap haram sekalipun pada zahir ia telah menutup aurat. Ia adalah kerana susuk tubuh badan merupakan aurat yang perlu dijaga.


4. Pakaian yang tidak bercorak atau berwarna-warni, yang ada daya penggamit pandangan.


Hukum melihat aurat


Haram bagi seseorang melihat kepada aurat orang lain sekalipun sesama jenis, seperti melihat seorang lelaki kepada aurat seorang lelaki dan perempuan melihat aurat perempuan. Lebih berat lagi jika memandang kepada aurat yang berlainan jenis seperti seorang lelaki melihat kepada aurat perempuan dan sebaliknya. Apatah lagi melihat kepada artis perempuan masa kini


Dimaafkan jika terlihat sekilas pandangan sahaja, tanpa memakukan pandangan ke tempat haram tersebut atau mengikuti pandangan pertama dengan pandangan kedua


Namun jika melihat kepada aurat sendiri ia dimakruhkan, samada seorang lelaki ataupun perempuan. Makruh juga membuka aurat di tempat yang sunyi dari pandangan manusia seperti di dalam bilik secara bersendirian.


Jika terpaksa, seperti perubatan, harus bagi seorang ahli perubatan sesama jenis dengan pesakit melihat kepada aurat pesakit tersebut, tanpa ada mahram yang menemani. Seperti ahli perubatan perempuan melihat kepada aurat pesakit perempuan dan sebaliknya.


Jika ahli perubatan berlainan jenis dengan pesakit, seperti ahli perubatan lelaki dan pesakit perempuan, diwajibkan ada bersama mahram yang menemani dan dengan syarat tiadanya ahli perubatan perempuan di sana. Ketika ini, haruslah melihat kepada aurat pesakit tersebut.


Akhir sekali.

Telah menjadi kewajipan kita semua untuk menegah segala kemungkaran mengikut kemampuan kita masing-masing. Dan kewajipan ke atas kita juga untuk bersama-sama membendung gejala negatif tersebut dari tersebar lebih meluas tanpa batasannya.


Semoga penulisan kali ini dapat memberi manfaat kepada semua yang membacanya. Semoga kita tergolong dalam orang-orang yang beriman dan orang-orang yang tahu malu.


Wallahua`alam.


Hukum Ulama Membisu Dari Kemungkaran

Hukum Ulama Membisu Dari Kemungkaran

Soalan: Yang saya kasihi Dr Asri, maaf, saya tidak puas hati dengan sebahagian yang bergelar ulama dalam masyarakat kita. Ramai yang mendapat jawatan dan gaji yang besar, tapi membiarkan berbagai kemungkaran berlaku. Mereka tidak berani dengan pihak yang melantik dan bayar gaji mereka. Bagi saya, mereka tidak buat tugas. Mereka memilih-milih isu untuk bercakap. Maaf kalau saya kata jaga periuk nasi. Apakah kerana mereka ulama, mereka tetap tinggi di sisi Allah? Sedangkan Nabi bersabda: “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu”. Harap Dr Asri dapat ulas.

Fauzan, Ipoh Perak.

Jawapan Dr MAZA:

Terima kasih atas soalan dan keprihatinan saudara terhadap barah yang menimpa umat Islam dalam masyarakat. Hakikatnya, bukan sahaja golongan ulama, tetapi setiap individu muslim wajib menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran. Namun, bagi golongan ulama mereka mempunyai amanah yang lebih berat. Ini kerana ilmu yang ada pada mereka sepatutnya menjadikan mereka lebih ke hadapan dalam membela agama Allah. Soalan saudara saya ulas seperti berikut:

1. Ungkapan “Orang yang diam dari bercakap benar adalah syaitan bisu” yang saudara sebut, bukanlah hadis yang sah. Walaupun ia terkenal, namun tiada riwayat yang sahih, ataupun daif dalam mana-mana kitab hadis yang meriwayatkannya. Maka, berhati-hati dalam menyandarkan sesuatu kepada Rasulullah S.A.W.

2. Allah Maha Adil. Islam tidak pernah menyatakan manusia dinilai berdasarkan gelaran mereka. Sebaliknya, berdasarkan tanggungjawab yang ditunaikan. Demikianlah juga para ulama. Bahkan Al-Quran tidak pernah menyamakan sesiapa pun dengan anjing melainkan ulama yang gilakan dunia sehingga membelakangkan ilmu agamanya. Firman Allah: (maksudnya)

“Dan bacakanlah kepada mereka (Wahai Muhammad), khabar berita seorang yang Kami beri kepadanya (pengetahuan mengenai) ayat-ayat Kami. Kemudian dia menjadikan dirinya terkeluar dari mematuhinya, lalu dia diikuti oleh syaitan, maka dia dari kalangan yang sesat. Dan kalau Kami kehendaki nescaya Kami angkat kedudukannya dengan (berpegang) ayat-ayat itu, tetapi dia bermati-mati cenderung kepada dunia dan menurut hawa nafsunya; maka bandingannya adalah seperti anjing, jika engkau menghalaunya, ia menghulurkan lidahnya, dan jika Engkau membiarkannya, ia juga menghulurkan lidahnya. Demikianlah bandingan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka ceritakanlah kisah-kisah itu supaya mereka berfikir (Surah al-’Araf: 175-176).

Maka ulama tiada nilainya jika menyembunyikan kebenaran. Bahkan Allah samakan mereka dengan anjing!

3. Seseorang yang memenuhi poket dengan gaji yang besar tetapi menyembunyikan atau mendiamkan diri dari menegakkan kebenaran sedangkan dia mampu, itu adalah dosa yang amat besar. Allah menyifatkan habuan dunia yang diperolehi itu sekadar memenuhi perut dengan neraka. Firman Allah: (maksudnya)

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa-apa keterangan Kitab yang telah diturunkan oleh Allah, dan membeli dengannya harga yang sedikit, mereka itu tidak mengisi dalam perut mereka selain daripada api neraka, dan Allah tidak akan berkata-kata kepada mereka pada hari kiamat, dan ia tidak membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab yang perit”. (Surah al-Baqarah: ayat 174).

4. Beberapa buku sejarah menyebut satu kisah yang menarik untuk direnungi. Pada zaman pemerintahan Khalifah Yazid bin ‘Abd al-Malik (meninggal 105H), gabenor Iraq ketika itu ialah ‘Umar bin Hubairah. Gabenor tersebut telah memanggil dua orang tokoh ilmuwan besar umat ketika itu; ‘Amir al-Sya’bi dan al-Hasan al-Basri. Beliau bertanya mereka berdua mengenali arahan-arahan Khalifah Yazid bin ‘Abdul Malik yang datang kepadanya. Ada antaranya ada yang menyanggahi kebenaran.

Kata ‘Umar bin Hubairah: “Jika aku taatkan Khalifah, aku menderhakai Allah, jika aku mentaati Allah aku akan menderhakai Khalifah”. Apa pendapat kamu?”.

Jawab al-Sya’bi: “Engkau hanya menjalankan tugas, dosa ditanggung oleh Khalifah”.

Tanya ‘Umar bin Hubairah kepada al-Hasan al-Basri: “Apa pendapatmu pula?”.

Jawab al-Hasan: “Wahai Gabenor! Engkau telah pun mendengar pendapat al-Sya’bi tadi”.

Kata gabenor: “Aku mahu pendapatmu”.

Kata al-Hasan al-Basri:

“Wahai ‘Umar bin Hubairah, akan datang kepadamu malaikat Allah yang bengis lagi tidak menderhakai perintah Allah, dia akan mengeluarkan engkau dari istanamu yang luas ke kuburmu yang sempit. Jika engkau bertakwa kepada Allah, Dia boleh melindungimu daripada tindakan (Khalifah) Yazid bin ‘Abdul Malik, adapun Yazid bin ‘Abdul Malik tidak dapat melindungimu dari pada tindakan Allah. Tidak ada ketaatan kepada makhluk dalam menderhakai Pencipta (Allah). Wahai ‘Umar bin Hubairah! Engkau jika bersama Allah dalam ketaatan kepadaNya, Dia memeliharamu daripada bahaya Yazid bin ‘Abdul Malik. Namun jika engkau bersama Yazid dalam menderhakai Allah maka Dia serahkan engkau kepada Yazid “. Lalu menangislah ‘Umar bin Hubairah. Ditanya al-Hasan mengapakah beliau melakukan demikian? Jawabnya: “Kerana perjanjian yang Allah meterai untuk para ulama berkaitan ilmu mereka –seperti firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran 187-: (maksudnya): Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian dari mereka yang telah diberikan Kitab (iaitu): “Demi sesungguhnya! hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya”. (lihat: al-Mizzi, Tahzib al-Kamal, 6/113, Al-Zahabi, Tarikh al-Islam, 2/333, Ibn Manzur, Mukhtasar Tarikh Dimasyq, 6/97).

5. Masyarakat Islam hendaklah diberikan kesedaran bahawa tujuan pengajian agama bukan untuk mendapat habuan dunia tetapi untuk menegakkan ajaran Allah dan rasulNya. Jika pelajar agama atau ibubapa yang menghantar anak mempelajari agama meletakkan dunia sebagai matlamat, maka ramailah ulama berkepentingan akan terus muncul dan rosaklah masyarakat. Justeru, Nabi s.a.w bersabda:

“Sesiapa yang mempelajari sesuatu ilmu yang sepatutnya dicari keredhaan Allah Azza wa Jalla dengannya, tetapi dia tidak mempelarinya kecuali untuk mendapatkan habuan dunia, maka dia tidak akan mendapat bau syurga pada hari kiamat. (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah. Al-Nawawi mensahihkannya dalam Riyadh al-Salihin).

6. Seorang tabi’in yang terkenal dengan soleh dan warak Salamah bin Dinar pernah berkata di hadapan Khalifah Sulaiman bin ‘Abdul Malik:

“Telah berlaku di mana para umarak (pemerintah) mencari ulama, lalu mengambil manfaat daripada mereka. Maka yang sedemikian kebaikan untuk kedua-dua pihak. Namun hari ini, ulama pula yang mencari umarak, lalu cenderung dan inginkan apa yang dimiliki oleh mereka. Lalu umarak menganggap: tentu apa yang ulama cari yang ada di tangan kita ini lebih baik daripada apa yang ada di tangan mereka”. (Ibn, ‘Asakir, Tarikh Dimasyq, 22/29).

Demikianlah, kita dapati sesetengah golongan agama boleh dijadikan dagangan politik. Puncanya, kerana menghina diri di hadapan orang berkuasa.

7. Dosa ulama yang menyembunyikan kebenaran, atau menyelewengkannya tidak dapat ditebus melainkan dengan menerangkan semula hakikat yang sebenar. Firman Allah: (maksudnya):

“Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan-keterangan dan petunjuk hidayah, sesudah Kami menerangkannya kepada manusia dalam Kitab (yang diturunkan), mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekalian makhluk. Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (penyelewengan mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani. (Surah al-Baqarah: ayat 159-160).

Marilah kita pohon perlindungan dengan Allah dari membelakangi agamaNya.


27 Mei 2010

Gugur iman jika sengaja tinggalkan solat

NABI Muhammad SAW pernah ditanya apakah Islam, lantas Baginda menjawab:

Islam itu dibangunkan atas lima perkara, syahadah bahawa tiada Tuhan kecuali Allah dan bahawa Muhammad adalah Rasulullah, mendirikan solat, menunaikan zakat, puasa pada bulan Ramadan dan haji ke rumah Allah (Baitullah).(Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Tidak seperti ibadat lain, kewajipan solat diwahyukan terus kepada Nabi Muhammad SAW pada malam berlakunya peristiwa Israk Mikraj tanpa melalui perantaraan malaikat Jibril sebagaimana dijelaskan oleh Malik bin Anas: Pada malam Israk difardukan kepada Nabi SAW solat sebanyak 50 kali, kemudian dikurangkan hingga lima kali (sehari) kemudian diseru (oleh Allah),

Wahai Muhammad! Sesungguhnya ketetapan-Ku tidak akan diubah. Dan bagimu dengan solat lima kali (sehari) akan mendapatkan pahala sebanyak solat lima puluh kali.â€(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)


Ini menunjukkan keagungan dan keistimewaan ibadat solat melebihi ibadat lain. Solat juga adalah tiang asas bagi agama Islam dan jika tiang itu runtuh maka runtuhlah segala-galanya berkaitan agama.

Begitulah tingginya martabat ibadat solat di sisi Islam. Tidak menghairankan jika perkara yang mula dihisab pada hari akhirat nanti adalah solat. Jika seseorang itu tidak bersolat, maka sia-sialah segala amal ibadatnya yang lain.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Sesungguhnya yang pertama kali dihisab bagi seseorang hamba di hari kiamat daripada amalnya ialah solatnya, jika solatnya itu adalah baik maka dia termasuk dalam orang yang bahagia lagi beruntung dan jika amal solatnya rosak maka dia termasuk orang yang rugi dan tidak beruntung.Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Oleh itu, umat Islam perlu memberi perhatian tinggi terhadap kesempurnaan ibadat solat kerana implikasinya terhadap diri kita begitu besar. Namun, sayang seribu kali sayang, masih ramai kalangan umat Islam melalaikan solat.

Ulama berbeza pendapat mengenai hukum mereka yang meninggalkan solat secara sengaja. Golongan pertama berpendapat meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai tanpa mengingkari akan kewajipannya, maka mereka tergolong dalam golongan yang fasik (melakukan dosa besar) tetapi tidak kafir.

Bagi mereka yang meninggalkan solat secara sengaja dan menolak akan kewajipannya, maka mereka adalah kafir. Golongan ini berpendapat semua bentuk kesalahan di atas muka bumi ini masih boleh diampunkan oleh Allah kecuali dosa syirik.

Ini seperti firman-Nya yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa orang yang menyekutukan-Nya dengan sesuatu, dan akan mengampunkan yang lain daripada kesalahan (syirik) itu bagi sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut peraturan hukum-Nya); dan sesiapa yang mempersekutukan Allah dengan sesuatu (apa juga), maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang amat jauh.(Surah al-Nisaaâayat 116)

Golongan kedua berpendapat mereka yang meninggalkan solat secara sengaja kerana malas atau lalai, baik dia mengakui kewajipan solat atau tidak, semua mereka ini termasuk dalam golongan kafir dan terkeluar daripada Islam. Mereka ini hendaklah bertaubat serta mengucapkan dua kalimah syahadah semula.

Ayat al-Quran dan hadis Nabi SAW yang sahih secara jelas menunjukkan ibadat solat adalah penentu keimanan seseorang. Meninggalkan solat dengan sengaja boleh menyebabkan pelaku gugur keimanannya.

Firman Allah yang bermaksud:

Patutkah Kami (berlaku tidak adil, dengan) menjadikan orang Islam (yang taat), sama seperti orang yang berdosa (yang kufur ingkar)? Apa sudah jadi kepada akal kamu? Bagaimana kamu menetapkan hukum (yang terang salahnya itu)? Adakah kamu mempunyai sesebuah Kitab (dari Allah) yang kamu baca dan pelajari? Bahawa di dalam Kitab itu membolehkan kamu mendapat apa saja yang kamu pilih? Atau adakah kamu mendapat akuan yang ditegaskan dengan sumpah daripada Kami, yang tetap hingga hari kiamat, menentukan bahawa kamu dapat mencapai apa yang kamu putuskan? Bertanyalah kepada mereka: Siapakah orangnya di antara mereka yang menjamin benarnya hukum: bahawa mereka akan mendapat di akhirat apa yang didapati oleh orang Islam? Atau adakah mereka mempunyai sekutu-sekutu (yang sefaham dengan mereka? (Jika ada) maka hendaklah mereka membawanya, jika betul mereka orang yang benar. (Ingatkan orang yang tidak beriman) akan masa didedahkan kedahsyatan huru-hara (hari kiamat), dan mereka diseru supaya sujud maka mereka tidak dapat melakukannya, Sambil pandangan mereka tunduk malu, serta mereka diliputi kehinaan; dan sesungguhnya mereka (di dunia) dulu telahpun diseru supaya sujud (tetapi mereka enggan) sedang mereka dalam keadaan sihat.(Surah al-Qalam, ayat 35-43)

Allah memulakan ayat itu dengan menyanggah mereka yang menyamakan taraf hamba-Nya yang taat kepada perintah-Nya dengan mereka yang ingkar atau kafir. Kemudian Allah menggambarkan keadaan huru-hara di alam akhirat dan Allah memerintahkan hamba-Nya sujud menyembah-Nya.

Namun, bagi mereka yang dulunya di dunia tidak bersujud (bersolat) kepada Allah secara sengaja tanpa uzur, mereka tidak mampu untuk bersujud kepada-Nya berserta orang Islam lain. Ini menunjukkan mereka itu termasuk golongan orang kafir dan munafik yang mana ketika semua umat Islam bersujud kepada Allah, mereka enggan kerana tidak mampu.

Andai kata mereka termasuk di kalangan orang Islam, tentu mereka mampu bersujud kepada-Nya di alam akhirat kelak. Beginilah hinanya mereka yang tidak mengerjakan solat ketika kehidupan di dunia ini.

Ancaman mengenai kafirnya mereka yang meninggalkan solat secara sengaja pernah disuarakan Nabi SAW seperti sabdanya yang bermaksud:

Perjanjian di antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, dan barang siapa meninggalkan solat sesungguhnya dia telah menjadi seorang kafir.(Hadis riwayat Imam al-Tirmidzi)

Sabda Baginda SAW lagi:

Sesungguhnya yang memisahkan antara seseorang dengan kesyirikan dan kekufuran dengan meninggalkan solat.(Hadis riwayat Imam Muslim)

Jelas kedua hadis itu menunjukkan bahawa mereka yang meninggalkan solat kafir atau gugur keimanannya. Pada akhirat kelak mereka akan diletakkan bersama Qarun, Haman, Firaun dan Ubai bin Khalf .

Daripada Nabi SAW bahawa pada suatu hari Baginda memperingatkan mengenai solat maka Baginda bersabda yang bermaksud:

Barang siapa yang memeliharanya (yakni solat), maka dia akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan di hari kiamat. Dan bagi mereka yang tidak mengendahkannya (yakni solat), maka dia tidak akan memperoleh cahaya, bukti keterangan dan kebebasan, sedang di hari kiamat dia akan bersama Qarun, Firaun, Haman dan Ubai bin Khalf.(Hadis riwayat Imam Ahmad)

Apa kaitannya Qarun, Haman, Fir’aun dan Ubai bin Khalf dengan mereka yang meninggalkan solat? Kebiasaannya mereka yang meninggalkan solat terdiri daripada mereka yang terlalu sibuk menguruskan harta, kerajaan, kekuasaan dan perniagaannya.

Menurut Syaikh Sayyid Sabiq:

Maka orang yang bimbang dengan harta, dia akan senasib dengan Qarun, dan yang sibuk menguruskan kerajaan, dia akan bersama Haman dan sesiapa yang terpedaya oleh kebesaran dan urusan pemerintahan dia akan ditemankan oleh Firaun, sedangkan orang yang bimbang menguruskan perniagaan maka dia akan berada bersama Ubai bin Khalf.(Syaikh Sayyid Sabiq Fikih Sunnah)

Menurut Imam al-Syafie, Barang siapa yang meninggalkan solat wajib sementara dia Muslim, maka dia harus ditanya: Mengapa kamu tidak bersolat? Jika dia menjawab: Saya terlupa. Maka katakanlah: Solatlah engkau ketika sudah ingat. Jika dia menjawab: Kerana saya sakit. Maka katakanlah kepadanya: Solatlah semampumu; berdiri, duduk atau berbaring atau dengan isyarat. Apabila dia menjawab: Saya mampu untuk bersolat, tetapi saya tidak solat dan saya akui solat itu wajib hukumnya. Maka katakanlah kepadanya: Solat itu adalah amal yang tidak boleh diwakilkan kepada yang lain. Ia wajib dikerjakan oleh kamu oleh itu bertaubatlah. Jika tidak kami akan membunuhmu.†(Manhaj Aqidah Imam Asy-Syafi’i karya Dr Muhammad A W al-Aqil)

Namun begitu, hukuman bunuh hanya boleh dilaksanakan oleh penguasa Muslim yang sah di sesebuah negara melalui proses kehakiman. Beginilah seriusnya hukum terhadap mereka yang meninggalkan solat secara sengaja.

Ketahuilah bahawa solat itu wajib dan tiada yang terkecuali darinya walaupun sebesar mana kedudukannya di dunia ini dan pada mata masyarakat.

Wallahualam

JAGA 7 SUNNAH RASULULLAH S.A.W

Cerdasnya orang yang beriman adalah, dia yang mampu mengolah hidupnya yang sesaat, yang sekejap untuk hidup yang panjang. Hidup bukan untuk hidup, tetapi hidup untuk Yang Maha Hidup. Hidup bukan untuk mati, tapi mati itulah untuk hidup.

Kita jangan takut mati, jangan mencari mati, jangan lupakan mati, tapi rindukan mati. Kerana, mati adalah pintu berjumpa dengan Allah SWT. Mati bukanlah cerita dalam akhir hidup, tapi mati adalah awal cerita sebenarnya, maka sambutlah kematian dengan penuh ketakwaan.

Hendaknya kita selalu menjaga tujuh sunnah Nabi setiap hari. Ketujuh sunnah Nabi SAW itu adalah:

Pertama: tahajjud, kerana kemuliaan seorang mukmin terletak pada tahajjudnya.

Kedua: membaca Al-Qur'an sebelum terbit matahari Alangkah baiknya sebelum mata melihat dunia, sebaiknya mata membaca Al-Qur'an terlebih dahulu dengan penuh pemahaman.

Ketiga: jangan tinggalkan masjid terutama di waktu shubuh. Sebelum melangkah kemana pun langkahkan kaki ke masjid, kerana masjid merupakan pusat keberkahan, bukan kerana panggilan muadzin tetapi panggilan Allah yang mencari orang beriman untuk memakmurkan masjid Allah.

Keempat: jaga solat dhuha, kerana kunci rezeki terletak pada solat dhuha.

Kelima: jaga sedekah setiap hari. Allah menyukai orang yang suka bersedekah, dan malaikat Allah selalu mendoakan kepada orang yang bersedekah setiap hari.

Keenam: jaga wudhu terus menerus kerana Allah menyayangi hamba yang berwudhu. Kata khalifah Ali bin Abu Thalib, "Orang yang selalu berwudhu senantiasa ia akan merasa selalu solat walau ia sedang tidak solat, dan dijaga oleh malaikat dengan dua doa, ampuni dosa dan sayangi dia ya Allah".

Ketujuh: amalkan istighfar setiap saat. Dengan istighfar masalah yang terjadi kerana dosa kita akan dijauhkan oleh Allah.

Zikir adalah bukti syukur kita kepada Allah. Bila kita kurang bersyukur, maka kita kurang berzikir pula, oleh kerana itu setiap waktu harus selalu ada penghayatan dalam melaksanakan ibadah ritual dan ibadah ajaran Islam lainnya. Zikir juga merupakan makanan rohani yang paling bergizi, dan dengan zikir berbagai kejahatan dapat ditangkal sehingga jauhlah umat manusia dari sifat-sifat yang berpangkal pada materialisme dan hedonisme.


Wallahua'lam.

Dua Nikmat Tidak Terasa.. Buat Tatapan Kita!

Allah memberikan kita nikmat yang tidak terbilang banyaknya. Bagaimanapun ada dua nikmat yang besar yang banyak orang tidak terasa.
Sabda Rasulullah: "Dua nikmat yang ramai orang yang tertipu di dalamnya iaitu kesihatan dan kelapangan waktu." Riwayat Bukhari.

"Sesungguhnya di antara nikmat yang pertama kali ditanyakan kepada hamba pada hari kiamat ialah dengan mengatakan kepadanya, "Bukankah Kami membuat badanmu sihat dan Kami menjirus dengan air yang dingin?" Riwayat Tirmizi, Ibn Hibban dan Hakim.

Sihat dan kelapangan waktu adalah nikmat yang besar. Bila tidak sihat iaitu sakit, barulah manusia akan terasa betapa besarnya nilai sihat. Apabila manusia tidak sedar nikmat sihat, maka banyak orang tidak mengingat Allah,tidak takut pada Allah bila mereka sihat. Dan sebaliknya mereka melakukan maksiat kerana mereka sihat. Inilah yang dikatakan orang yang telah kufur nikmat iaitu orang yang telah mempergunakan nikmat Allah untuk kembali menentang Allah.

Satu lagi nikmat ialah kelapangan. Banyak orang tidak sedar mengenainya. Bila lapang, sihat, rezeki melimpah,harta telah mencukupi, banyak kemudahan ada, mereka lupa pada Allah. Mereka gunakan kelapangan ini untuk kepentingan diri
mereka sahaja, tidur, keluar bersuka-suka, melancong ke tempat maksiat, melepak di kedai kopi, bersembang-sembang dan sebagainya.

Sedangkan masa lapang yang Allah bagi hendaklah diguna untuk mengingati Allah, bekerja ke jalan Allah, melakukan kerja kebajikan masyarakat dan sebagainya. Bila waktu sibuk datang semula kepada mereka, mereka akan terus melupakan tuhan! Apa tidaknya, jika masa lapang pun mereka tidak mengingat Allah, apalagi bila sibuk, khususnya sibuk mengejar dunia.

Sabda Rasulullah: "Pergunakan lima perkara sebelum datang lima perkara yang lain, iaitu masa mudamu sebelum masa tuamu, masa sihatmu sebelum sakitmu, masa kayamu sebelum masa miskinmu, masa luangmu sebelum masa sibuk dan masa hidupmu sebelum matimu"
(Ditakhrij Al Hakim)

Hiduplah seperti lilin menerangi orang lain..janganlah hidup seperti duri mencucuk diri dan menyakiti orang lain..

Wallahu'alam.

Tazkirah Subuh - Apa itu kebaikan didunia?

RABBANA ATINA FIDDUNYA HASANAH..... .
"Wahai Tuhan Kami... Kurniakanlah kepada kami kebaikan didunia dan di akhirat, dan jauhkanlah kami dari azab api neraka"... .

Adalah antara doa yang sering kita ulang-ulangkan saban hari selepas solat fardhu.. Tapi apakah sebenarnya Kebaikan didunia yang dimaksudkan itu?

1. Mendapat taufik dan hidayah Allah
Orang yang mendapat taufik dan hidayah ertinya dia seorang yang
dibantu oleh Allah untuk mengamalkan islam. Islam beerti selamat. Orang islam kalau kekal mendapat taufik dan hidayah dari Allah, akan selamat didunia dan akhirat.

Sabda nabi s.a.w.:"Sungguh beruntung orang yang beragama Islam"(Riwayat Muslim).

2. Diberi kefahaman agama.
Untuk amalkan Islam kefahaman tentang Islam juga dikira telah mendapat kebaikan didunia. Orang islam yang tidak diberi kefahaman tentang Islam oleh Allah akan mengamalkan apa yang disangkanya dari ajaran Islam tetapi sebenarnya menyeleweng dari Islam. Hidup tak akan benar-benar selamat dan tak mampu menyelamatkan orang lain.

Sabda nabi: "Sesiapa yang Allah mengkehendaki kebaikan kepadanya, Dia akan menjadikannya faham dalam agama." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

3. Dapat berbuat amalan soleh.
Dengan kefahaman agama yang Allah beri, seseorang itu dapat berbuat amal soleh. Ini juga merupakan kebaikan di dunia kerana hidup akan terisi perkara baik dan tidak terumbang-ambing.

Firman Allah:"Orang- orang yang berbuat baik didunia ini memperolehi 'hasanah' (kebaikan). Dan bumi Allah itu adalah luas"(Az-Zumar: 10).

4. Mendapat Ilmu yang bermanfaat.
Ilmu yang bermanfaat adalah panduan untuk mengisi hidup dengan perkara-perkara yang baik dan selamat.

Sebab itu Nabi s.a.w: "Ya Allah ya Tuhanku, berilah manfaat kepadaku dari apa-apa yang engkau ajarkan kepadaku dan ajarkanlah daku apa-apa yang bermanfaat buat diriku."
(Riwayat at-Tabrani)

5. Mendapat pasangan hidup yang soleh/solehah, zuriat penyejuk hati,sahabat yang solihin.
Kebahagiaan hidup adalah perkara yang semua orang impikan.

Sabda Nabi: "Empat dari tanda-tanda kebahagiaan seseorang: Isterinya solehah, anak-anaknya abrar (soleh), teman-temannya orang soleh dan sumber rezekinya di negeri sendiri."
(Riwayat ad-Dailami dari Ali .a).

Isteri atau suami yang baik membantu seseorang mendekatkan diri kepada Allah. Anak-anak yang baik akan terus memberi manfaat setelah kematian kita. Pahala amalan baiknya hasil didikan kita dan doa mereka akan terus mengalir kepada kita. Sahabat yang baik akan membawa kita kepada jalan hidup yang selamat. Mereka tempat kita berkongsi masalah dan kegagalan, bukan hanya berkongsi senang dan kejayaan.

6. Kesihatan dan kesejahteraan.
Dengan mempunyai kesihatan yang baik, banyak perkara yang dapat dilakukan dalam hidup ini. Kesihatan juga sering dikaitkan dengan kesejahteraan hidup.

Nabi s.a.w memohon:"Ya Allah, afiatkanlah tubuhku dan afiatkanlah pendengaranku. " (Riwayat Ibnu Syaibah)

7. Panjang Umur dalam ketaatan.
Hampir setiap orang mahu hidup lama kecuali orang yang putus asa dengan hidup (na'uzubillah) .

Sabda nabi s.a.w: "Sesungguhnya sehabis-habis kebahagiaan itu ialah panjang umur dalam mentaati Allah."
(Riwayat Khotib daripada Abdullah dari bapanya).

8. Mendapat rezeki yang halal.
Nabi s.a.w menekankan agar umatnya berusaha mendapatkan rezeki halal kerana ia memberkatkan hidup. Dalam satu hadis, baginda mengatakan bahawa mencari rezeki yang halal itu satu jihad.

Malah sabdanya: "Amalan yang paling utama itu ialah mencari rezeki dari sumber yang halal." (Riwayat al-Hakim).

9. Beroleh keimanan dan ketaqwaan.
Dengan iman dan taqwa, seseorang itu mulia disisi Allah dan manusia.

Sabda nabi: "Semulia-mulia manusia adalah orang yang paling bertaqwa diantara kamu." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

10. Banyak mengingati Allah s.w.t.
Nikmat paling besar yang manusia cari-cari dalam hidup ialah nikmat ketenangan.

Firman Allah: "Sesungguhnya dengan mengingati Allah itu hati akan menjadi tenang." (Ar-ra'ad:28) .
Sabda Nabi s.a.w:"Aku berpesan kepada kamu semua supaya mengingati Allah, kerana hal itu dapat menghiburkan hati kamu dari segala kesulitan duniawi." (Riwayat ad-Dailami).

11. Berjaya menyucikan jiwa dari mazmumah.
Hidup tak akan tenang jika hati penuh hasad dengki, tamak, takut, benci dan pelbagai sifat mazmumah lain. Tidak hairanlah dikatakan orang yang bersih hatinya daripada sifat mazmumah ini adalah orang yang mendapat kebaikan didunia. Bila menghadapi musibah, dia sabar dan bersangka baik dengan Allah. Bila dapat nikmat, dia bersyukur. Hatinya tak pernah keluh-kesah.

Firman Allah:"Sesungguhnya berjaya dan beruntunglah orang yang menyucikan jiwanya." (Al-A'lah:14)

12. Mati dalam kebaikan (Husnul Khotimah).
Ini merupakan penutup segala kebaikan di dunia.

Firman Allah s.w.t:
"…demikian Allah memberi balasan kepada orang-orang yang bertaqwa, iaitu orang-orang yang diwafatkan dalam keadaan baik oleh para malaikat dengan mengatakan (kepada mereka) Salamun 'Alaik." (Riwayat Abu Na'im).

Kebaikan di dunia itu sebenarnya milik hamba-hambaNya yang taat, hamba yang lebih utamakan akhirat dari dunia. Dalam surah an-Nahl:22, dinyatakan bahawa Allah mengurniakan kepada Nabi Ibrahim a.s hasanah di atas kehidupan dunia. Ayat ini menjadi dalil bahawa ada kebaikan duniawi yang Allah beri kepada hamba-hambaNya yang dikehendaki.

Wallahua'lam.

Mudahnya Mengeluh, Sukarnya Bersyukur

Begitu mudah sekali melontarkan keluhan. Keluhan demi keluhan keluar dari bibir tanpa disedari. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang remeh. Kita mengeluh atas perkara-perkara yang tidak mendatangkan faedah. Kita mengeluh dan asyik mengeluh. Andai dapat ditukar setiap bait keluhan itu kepada wang ringgit, pasti terbasmi kemiskinan di muka bumi. Namun hairan, Kita mengeluh tatkala kita ditimbuni dengan pelbagai kesenangan.


Kita mengeluh kerana makanan kegemaran tidak disediakan, sedangkan perut semakin memboyot kekenyangan. Kita mengeluh kerana kepanasan, sedangkan angin semula jadi disediakan tanpa bayaran. Kita mengeluh atas sekelumit kekurangan, sedangkan kelebihan sebanyak buih dilautan dibiarkan.


Allah s.w.t berfirman "Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya" (An-Nahl: 18). Di saat kita tenggelam dalam keluhan diri sendiri, pancaindera kita tidak lagi mampu memainkan peranannya untuk melihat, mendengar, merasai dan menghayati pemberian Allah yang tiada henti-hentinya. Lantaran itu, begitu sukar sekali untuk menyebutkan kalimat Alhamdulillah sebagai tanda kesyukuran seorang hamba kepada khaliqnya. Itulah hakikitnya. Memang manusia sentiasa leka dan lupa. Manusia mempunyai keinginan yang tiada batasan. Manusia tidak pernah puas dengan apa yang dimiliki..Kecuali orang-orang yang bersyukur.


Pada zaman Sayyidina Umar al-Khattab, ada seorang pemuda yang sering berdoa di sisi Baitullah yang maksudnya: "Ya Allah! Masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit" Doa beliau didengar oleh Sayyidina Umar ketika beliau (Umar) sedang melakukan tawaf di Kaabah. Umar berasa hairan dengan permintaan pemuda tersebut. Selepas selesai melakukan tawaf, Sayyidina Umar memanggil pemuda berkenaan lalu bertanya: "Kenapakah engkau berdoa sedemikian rupa (Ya Allah! masukkanlah aku dalam golongan yang sedikit), apakah tiada permintaan lain yang boleh engkau mohon kepada Allah?" Pemuda berkenaan menjawab: "Ya Amirul Mukminin! Aku membaca doa berkenaan kerana aku (berasa) takut dengan penjelasan Allah seperti firman-Nya dalam surah al-A'raaf ayat 10 yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami (Allah) telah menempatkan kamu sekelian di muka bumi dan Kami adakan bagimu di muka bumi (sumber/jalan) penghidupan. (Tetapi) amat sedikitlah kamu bersyukur" Aku memohon agar Allah memasukkan aku dalam golongan yang sedikit, iaitu (lantaran) terlalu sedikit orang yang tahu bersyukur kepada Allah" jelas pemuda berkenaan. Mendengar jawapan itu, Umar al-Khattab menepuk kepalanya sambil berkata kepada dirinya sendiri: "Wahai Umar, alangkah jahilnya engkau, orang ramai lebih alim daripadamu"


SubhanaLlah. Semoga kita semua termasuk ke dalam golongan yang sedikit ini, Amin...


Jadi, sama-samalah kita membina tekad untuk membanteras keluhan dan meningkatkan kesyukuran kerana Dia telah berjanji "Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih." (Ibrahim: 7)

Wallahua'lam.