31 Disember 2010

Sifat Manusia

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”

Riwayat Ahmad



Huraian
i) Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.
ii) Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.
iii) Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).
iv) Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

13 Disember 2010

Tanggungjawab Suami Terhadap Keluarga

Hadith :
Al-Aswad bin Yazid berkata, aku bertanya kepada Aishah r.a, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. di rumahnya? Aishah menjawab” Beliau membuat tugas keluarganya, iaitu membantu kerja keluarganya, maka apabila masuk waktu sembahyang beliau pun keluar untuk bersembahyang”.

Riwayat Al-Bukhari


Huraian
1. Kaum lelaki digalakkan membantu dalam kerja-kerja rumah tangga di samping tidak mengabaikan ibadat dan peranannya di dalam masyarakat.
2. Contoh pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga (rumah tangga) dan negara dengan baik dan sempurna.
3. Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa

Hadith :

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Ali r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.
ii) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.

17 November 2010

Dagang Di Dunia

Hadith :
Daripada Ibnu Umar r.a katanya: “Rasulullah SAW telah memegang kedua-dua bahu ku lantas bersabda : “Hendaklah kamu menjadi seperti seorang dagang di dunia ini atau seorang pengembara..” Ibnu Umar r.a berkata : “Apabila kamu berpetang-petang janganlah kamu menunggu waktu pagi, dan apabila kamu berpagi-pagi maka janganlah tunggu waktu petang dan pergunakan masa sihat mu sebelum sakit mu dan masa hidup mu sebelum mati mu...”

(Al-Bukhari)

Huraian
Seorang Muslim Hendaklah bersegera melakukan kebaikan dan memperbanyakkan amalan-amalan ketaatan dan kebajikan. Janganlah melengah-lengahkan masa dan jangan pula mengabaikan masa dengan harapan untuk melakukannya kemudian sedangkan seseorang itu tidak dapat memastikan bilakah ajalnya akan tiba.

16 November 2010

Larangan Menyombong Diri

Hadith :
Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud:
“Tidak akan masuk syurga seseorang yang ada di dalam hatinya perasaan sombong walaupun sebesar zarah”. Seseorang lelaki berkata, Sesungguhnya seseorang itu suka pakaian dan kasutnya cantik. Baginda s.a.w. bersabda,”Sesungguhnya Allah itu Maha Indah dan Allah suka kepada keindahan”.

Riwayat Muslim

Huraian
1. Sifat sombong dan takbur adalah ditegah oleh Islam. Oleh itu umat Islam hendaklah menjauhinya demi menjaga kesejahteraan hidup.
2. Kita harus melakukan apa sahaja yang disukai demi keselesahan dirinya sendiri mahupun keluarga tetapi janganlah sampai melanggar batas syariat dan janganlah berniat untuk menunjuk-nunjuk atau bermegah-megah kepada orang lain kerana ia akan menimbulkan perasaan dengki dan benci orang lain yang mengakibatkan permusuhan.
3. Islam tidak melarang umatnya daripada mengutamakan keindahan dalam sesuatu perkara kerana keindahan itu adalah kesempurnaan yang boleh membangkitkan ketenangan.

Kemenangan, Kejayaan Dan Pengorbanan

Hari ini kita sebagai ummat Islam bersama-sama dengan saudara-saudara kita yang sedang menunaikan ibadah haji menyambut Hari Raya Korban, dengan menunaikan syiarnya seperti bertakbir, bersembahyang dan menyembelih korban sebagai bukti melahirkan keimanan dan ketakwaan kita kepada Allah s.w.t, di samping memperingati sunah nabi Ibrahim Khalilul Allah dan keluarganya.

Mereka telah melakukan pengorbanan demi menjunjung tinggi perintah Allah s.w.t, pengorbanan menjadi ujian kepada ummat manusia sejauhmanakah mereka itu beriman dan mengabdikan diri kepada Allah yang menjadikannya, yang memberi rezeki dan segala kurniaan yang tidak terhingga kepadanya. Sebagaimana Firman Allah :

"Mengapa kamu kufur dengan Allah, pada hal kamu dahulunya mati (tiada), lalu Allah menghidupkan kamu, kemudian kamu dimatikan, kemudian dihidupkan kembali, kemudian kamu dikembalikan kepada-Nya." ( Surah al-Baqarah : 28 )

Ummat Islam merayakan Aidil Adha sebagai tanda kesyukuran ke hadrat Ilahi dimana kemenangan yang bukan sahaja terkandung dalam ibadah haji itu sahaja, tetapi lebih dari itu ialah mempunyai hubungan dengan sesuatu peristiwa yang berlaku pada tahun yang kesembilan hijrah.

Pengisytiharan Kota Mekah Sebagai Tanah Haram

Dalam waktu ibadah haji pada tahun tersebut, suatu ketetapan telah diistiharkan kepada masyarakat Arab Mekah ketika itu mengenai perhubungan diplomatik antara orang-orang Islam dengan yang bukan Islam telah dimatrikan dan dikuatkuasakan. Kota Mekah telah diistiharkan dengan rasminya sebagai tanah haram, tidak lagi dibenarkan kepada orang musyirikin kafir Quraisy untuk menziarahi Baitil Allah Al-Haram.

Serentak dengan ketetapan ini Kota Mekkah dan disekelilingnya telah dibersihkan dari perkara-perkara syirik dan kekufuran dan kalimah tauhid telah ditegakkan dengan gagahnya di bawah naungan Kaabah dengan suatu pemerintahan Islam di bawah pimpinan Baginda Nabi Muhammad s.a.w.

Kegelapan kota Mekkah selama ini dengan kebiadaban dan peradaban liar telah diganti dengan sinar yang gemerlapan dengan kesusilaan dan peradaban yang penuh hidayah dan bersopan. Undang-undang dan peraturan yang disukai oleh fikiran dan nafsu manusia telah ditukar ganti dengan undang-undang dan peraturan syariat Allah s.w.t.

Kota Mekkah diberi gelaran kota suci yang telah bersih dari sebarang bentuk syirik dan kufur, yang selama ini membanjiri kota Mekkah dan sekeliling kaabah.

Laungan "Allah Akba " dan talbiah " لَبَّيْكَ اللّهُمَّ لَبَّيْك " berkumandang disegenap penjuru kota itu, dari rumah-rumah besar yang tersegam indah hingga ke rumah-rumah buruk di tepi bukit dan gunung. Kesedaran dan kedaulatan Islam dengan risalah Allah mendapat tempat di hati manusia yang kufur pada mulanya. Mereka diberi hidayah dengan Nur Ilahi .

Maksudnya : "Apabila datang pertolongan Allah dan kemenangan dan engkau melihat manusia beramai-ramai masuk agama Allah. Maka ucapkanlah tasbih dengan memuji Tuhanmu dan mintalah ampun kepada-Nya sesungguhnya ia sangat-sangat menerima taubah." ( Surah al-Nasr : 1-3 )

Darjat Aidil Adha Lebih Tinggi Dari Aidil Fitri

Aidil Adha atau hari raya korban ini sebenarnya lebih besar ertinya dan lebih tinggi nilai darjatnya berbanding dengan Aidil Fitri. Sejajar dengan kedudukan itu masa bertakbir dipanjangkan bermula dari malam hari raya hinggalah ke hari yang keempat raya, iaitu hari ketiga belas Zulhijjah yang dinamakan hari-hari tasyrik. Di samping bertakbir ummat Islam melakukan ibadah korban pada hari-hari tersebut. Demikian pula bagi ummat Islam yang berada di tanah suci menunaikan ibadah haji pada tiga hari tasyrik itu, ialah hari bagi mereka melontar jumrah di Mina. Mereka meneruskan kerja-kerja ibadah haji dengan iringan talbiah :

"Labbaikallahumma labbaik. Labbaikala syarika laka labbaik. Innalhamda wanni'mata laka walmulk. La syarikalak.

"Wahai Tuhan kami, kami datang semata-mata dengan ikrar setia dan taat kepada pemerintah mu, Wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu, kami sahut seruan-mu, sesungguhnya segala puji nikmat dan kekuasaan kesemuanya adalah bagimu, wahai Tuhan kami yang tiada sekutu bagimu."

Pengorbanan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s.

Hari Raya Aidil Adha ini tidak dapat dipisahkan daripada ibadah korban. Ibadah korban ini adalah kemuncak takwa kepada Allah Taala. Hari ini yang sebenarnya kita merayakan ulang tahun pelancaran gerakan tahunan korban. Gerakan ini telah dimulakan sejak ribuan tahun dahulu dan dimulakan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Khalilul Allah.

Ia bermula dengan pergorbanan Nabi Allah Ibrahim a.s. ketika Baginda hendak menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s. Inilah pengorbanan teragung dalam sejarah manusia. Telah diketahui bahawa Nabi Ismail adalah anak kesayangan nabi Ibrahim dan Baginda mendapat anaknya ini dalam usia yang telah lanjut. Tatapi bila diperintahkan oleh Allah s.w.t. supaya mengorbankan anaknya ini, Nabi Ibrahim telah bersedia melaksanakan tugas ini dan Nabi Ismail pula penuh kerelaan dan sabar menurut perintah Allah s.w.t. Hal ini telah dirakamkan dalam Al-Quran :

"Maka takkala anaknya ini sampai (keperingkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata : "Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: "Wahai ayah, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, InsyaAllah, ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang bersabar. Setelah kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), dan Nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah, (kami sifatkan Ibrahim dengan sesungguhnya azamnya itu telah menjalankan perintah kami), serta kami menyerunya : "Wahai Ibrahim, engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu." Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata. Dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang sebenar." ( Surah al –Shaafat ayat : 102 - 107)

Peristiwa kepatuhan Nabi Ibrahim a.s. untuk menyembelih putera Baginda dan kepatuhan Nabi Ismail a.s. terhadap perintah Allah tersebut memaparkan kekuatan iman dan keteguhan mental yang perlu kita contohi. Peliharalah iman d idalam dada kita dengan sebaiknya. Sesungguhnya iman adalah dasar penting yang menjadi paksi kehidupan manusia. ia merupakan asas pemerimaan sesuatu amalan dari Allah s.w.t. hanya amalan yang dilakukan kerana Allah sahaja yang akan mendapat penilaian di sisinya.

Pengorbanan Sepanjang Zaman

Sejarah pengorbanan teragung itu tidak tertinggal dalam lipatan sejarah sejarah sahaja, malah ianya telah dihayati sepanjang zaman demi menegakkan agama Ilahi ini. Pengorbanan nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabatnya dalam menegakkan dan mempertahankan Islam adalah pengorbanan yang amat agong. Baginda dan para sahabat telah mempertahankan Islam bukan sahaja dengan harta benda dan kekayaan mereka tatapi mereka telah mengorbankan nyawa. tiada pergorbanan yang lebih agong dan utama daripada pergorbanan nyawa dan darah.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. para sahabat terus menerus mempertahankan Islam dengan nyawa dan darah mereka. Begitulah sepanjang zaman sehingga kini telah ramai yang mati syahid kerana agama Allah, ini tidak kira sama ada di timur ataa barat. Sebenarnya pergorbanan mereka ini tidak ternilai harganya di sisi manusia hanya Allah s.w.t. sahaja yang mampu membalasnya.

"Wahai orang-orang yang beriman mahukah kamu aku tunjukkan suatu perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya? Iaitu kamu beriman kepada Allah dan Rasul-Nya serta kamu berjuang membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda kamu dan diri kamu, yang demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat yang sebenarnya)." (Surah al- Shaf : 10 - 11)

Sabda Nabi s.a.w. semasa menjawab persoalan yang dikemukakan kepada Baginda :

Ditanya orang akan Rasulullah s.a.w. : "Siapakah manusia yang lebih utama?" Maka jawab Rasulullah s.a.w. orang yang lebih utama ialah orang mukmin yang berjihad di jalan Allah dengan diri dan hartanya sendiri. Mereka berkata : Siapa kemudian? Sabda Rasulullah s.a.w. orang mukmin yang berada di satu lurah bukit ia takut kepada Allah dan menyeru manusia supaya menjauhi daripada angkara kejahatan ". (Hadis Riwayat Bukhari)

Allah mendidik para Rasul dan sahabat-sahabatnya melakukan pergorbanan dengan mengorbankan semua yang berharga. Ulama menyatakan :

"Siapa yang mahukan kebaikan dan membaikan kemuliaan dan ketinggian tanpa jihad dan pergorbanan maka ia bagaikan seorang yang bermimpi kosong."

Pengorbanan - Mengorbankan Apa Sahaja Yang Berharga

Begitulah hakikat yang sebenarnya tentang pergorbanan. Memang tidak dapat digambarkan bagaimana kehebatan manusia sanggup mengorbankan nyawa dan darah mereka demi Allah s.w.t, tatapi inilah hakikat yang berlaku. Sebenarnya dalam apa juga bidang dan lapangan kehidupan pergorbanan adalah satu tuntutan dan kemestian. Dalam Islam bukan sahaja pergorbanan jiwa raga dan darah tatapi juga adalah pergorbanan harta benda dan apa sahaja yang berharga.

Saidina Abu Bakar r.a. mengorbankan semua hartanya untuk Islam dan umatnya sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada beliau :

"Apakah yang engkau tinggalkan untuk keluarga kamu?"

Jawab Abu Bakar : "Aku tinggalkan buat mereka Allah dan Rasul-Nya."

Islam mengajar kita supaya menjadikan pergorbanan sesuatu yang berharga sebagai penyaksian dan pembuktian kepada aqidah kita demi untuk kebahagiaan dan keselamatan hidup di dunia dan akhirat. Firman Allah s.w.t. :

"Dan sesungguhnya telah diwahyukan kepadamu (wahai Muhammad) dan kepada nabi-nabi yang terdahulu, daripadamu, demi sesungguhnya jika engkau (dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain dengan Allah) nescaya akan tetap gugur amalanmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang rugi." (Surah Az-Zumar : 65)

Tiada Kejayaan Tanpa Pengorbanan

Orang yang berjaya sebenarnya ialah orang yang melakukan pergorbanan,sanggup berkorban masa, wang, jiwa raga, kepentingan diri, tenaga, fikiran, perasaan dan sebagainya kerana kejayaan dan kecemerlangan tidak datang menggolek, sebaliknya tanpa pergorbanan seperti pelajar akan gagal, pentadbir akan kecewa, pemimpin akan bermusuhan, ulama akan dicaci, masyarakat dan rumahtangga hancur, kampung halaman purak peranda dan negara akan terus dijajah. Pelajar perlu berkorban lebih masa untuk beribadah, berjaga malam dan mentalaah buku. Begitu jugalah pentadbir, para pemimpin dan sebagainya.

"Dan bersegeralah kamu kepada mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat keampunan dari Tuhan kamu, dan mendapat syurga yang bidangnya luas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertakwa. Iaitu orang-orang yang menderma hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang dan ingatlah Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik." ( Surah ali - Imran : 133-134 )

Jelaslah kepada kita akan falsafah, hikmah dan kepentingan pergorbanan dan juga yang akan kita dapat pada hari raya Aidil Adha ini, mudah-mudahan kita akan dapat mengamalkan dan menghayatinya dalam kehidupan kita demi kebaikan kita di dunia dan di akhirat.

- Khutbah Khas Hari Raya Aidil Adha 1427 Hijrah, JAKIM.

14 November 2010

Batas Umur Dibenarkan

Hadith :
Dari Ibnu Umar r.a, ia meminta kepada Rasulullah saw untuk menjadi tentera pada waktu peperangan Uhud, sedangkan dia ketika itu berusia empat belas tahun. Baginda tidak membenarkan. Kemudian dia kemukakan lagi permohonan untuk menyertai peperangan Khandaq dan dia ketika itu sudah berusia lima belas tahun. Baginda membenarkan.”

(Bukhari)

Huraian
Istilah "kedewasaan" menunjuk kepada keadaan sesudah dewasa. Sedangkan istilah “pendewasaan” merujuk kepada keadaan belum dewasa. Islam membeza hal ini kerana syariat menganggap, dalam kematangan berfikir dan keseimbangan psikologi pada orang belum dewasa adalah masih dalam taraf permulaan dan memerlukan bimbingan khusus. Kerana itulah Rasulullah tidak membenarkan Ibnu Umar menyertai peperangan kerana ketika itu dia masih terlalu mentah (budak) dan belum dapat berfikir atau membuat keputusan yang baik apalagi dalam hal-hal peperangan yang memerlukan pemikiran yang tangkas terutama dalam mengatur strategi peperangan. Jika tersilap langkah kemungkinan tindakan yang diambilnya akan mendatangkan bahaya kepada orang Islam seluruhnya.

14 Oktober 2010

Hukum Kejiranan Dalam Islam

Berikut ialah ringkasan dari buku Ustaz Emran yang bertajuk "Fiqh Kejiranan Menurut Sunnah" yang asalnya dicadangkan untuk dibuat satu perbahasan lengkap membahaskan isu kejiranan dalam Islam secara menyeluruh dan aspek-aspeknya namun memandangkan suasana Malaysia dan kurang motivasi beliau maka tidak diselesaikan dan cukuplah ringkasan ini buat manfaat orang awam).

HAK CIPTA TIDAK TERPELIHARA (NAK AMBIL POST KAT MANA-MANA PUN AMBILLAH sebab BUKAN ISU SENSITIF PUN tak payah MINTA IZIN).


Muqadimah

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَاَنتُم مُّسلِمُونَ (آل عمران: 102)
ياَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم من نَّفسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنهَا زَوجَهَا وَبَثَّ مِنهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَولاً سَدِيداً يُصلِح لَكُم اَعمَالَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنُوبَكُم وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد فَاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:

Kedudukan jiran sangat penting dalam Islam namun dalam kepesatan teknologi dan kemodenan manusia hari ini ramai yang sudah melupakan hak jiran dan tanggungjawab di antara satu sama lain sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

Kita lihat manusia hari ini sibuk membina rumah besar dan memasang pagar tinggi-tinggi dengan dinding tembok yang tebal sehingga memisahkan dirinya dari jiran sebelah dan hidup sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Marilah kita kembali kepada sunnah rasulullah dan ajaran Islam dalam menghidupkan masyarakat Islam dengan mengamalkan sunnah yang sudah semakin dilupakan iaitu menghidupkan semangat kejiranan.

Yang benar

emran ahmad Omar
San’a Yaman
(Jiran anda yang baik)



Jiran dalam Islam


Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.

Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.

Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.

Sekiranya dia seorang yang kaya dan menghuni di perumahan mewah maka jirannya ialah mereka yang mewah dan sekiranya dia miskin dan menetap di kampung maka jirannya terdiri di kalangan mereka yang sepertinya dan ada juga yang bercampur aduk.

Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.


Maksud dan Jenis Jiran Dalam Islam

Allah swt telah berfirman :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.

Allah menyebut (( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى)) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra manakala yang disebut dari riwayat Ikrimah dan Mujahid dan selain mereka yang mengatakan ianya ialah jiran muslim yang satu agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.

Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya.


Dan setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.

(lihat tafsir Tabari m/s 175-180 Jilid 5, tafsir Qurtubi m/s 183 Jilid 5 dan Tafsir Ibn Katsir m/s 495 Jilid 1dan Tafsir Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Kesemua makna yang tersebut di atas menrangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.

Berkata Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Kedudukan jiran itu berbeza-beza martabat dan kedudukan sekalipun masing-masing memiliki hak untuk berlaku baik dan dimuliakan dan hal ini jelas daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “ Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

Berkata Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan ibn Soleh Al-Fauzan dalam kitabnya “Fiqh Ta’amul Ma’an Nas” bahawa kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah, jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah dan jiran yang kafir.

Demikian juga seperti yang disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin m/s 153 Jilid 1 dan Tafsir Al-Qurtubi m/s 183 Jilid 5 serta Fathul Bari m/s 441 Jilid 10 yang menyebut bahawa terbahagi jiran itu kepada 3 jenis seperti yang disebutkan di bawah :

1) Jiran yang muslim dan berhubungan darah – Mereka ini mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan dan hak kejiranan

2) Jiran yang muslim tanpa hubungan darah – Mereka ini mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan.

3) Jiran yang bukan Islam – Mereka ini mempunyai satu hak iaitu hak kejiranan.


Kedudukan Jiran Menurut keutamaan

Dapat disimpulkan dari ayat surah An-Nisa dan pelbagai hadith mengenai keutamaan jiran bahawa jiran itu memiliki kedudukan berbeza mengikut keadaannya antara satu sama lain seperti yang turut disebut oleh Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Berikut ialah susunan kedudukan jiran yang utama dan yang diatur menurut kedudukan yang lebih berhak diberi keutamaan berbanding yang selepasnya :

1) Jiran yang muslim yang paling dekat dengan pintu rumah

Berdasarkan hadith yang banyak menyebut perihal darjat jiran yang antaranya daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

2) Jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan

Allah berfirman :
وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى
“..jiran tetangga yang berhubungan dekat” (An-Nisa: 36).

Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam juga bersabda : “Sedekah ke atas orang yang miskin itu pahalanya sedekah tetapi sedekah ke atas kaum kerabat baginya dua iaitu pahala sedekah dan dapat mengeratkan hubungan” .

(hadith sahih riwayat Nasaie no. 2582 dan Tirmidzi no. 658, Ibn Majah no. 1844 dan Ahmad 16276 serta Darimi dan Baihaqi juga Hakim dengan Isnad yang sahih, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dan dihasankan oleh Tirmidzi).

3) Jiran muslim yang berilmu dan alim serta memiliki fadhilat

Allah berfirman :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُم وَالَّذِينَ أُوتُوْا العِلْمَ دَرَجَاتِ
“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Juga dari riwayat yang dibawa oleh Imam Khatib Al-Baghdadi yang menyebut bahawa telah berkata Muhammad Al-Basri “ Diluaskan majlis (dberi penghormatan dalam majlis) kepada penghafaz Al-quran, ulama’ dan golongan tua dalam agama.”

(Lihat Khatib Al-Baghdadi dalam Jami’ Akhlaq Rawi wa Adab Sima’,m/s 393).

4) Jiran muslim yang soleh dan beribadah

Allah swt berfirman :
أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لاَ يَسْتَوُونَ
“ Apakah keadaan orang yang beriman itu sama halnya seperti orang yang fasiq ? Sungguh mereka tidak sama” (As-Sajadah : 18).

5) Jiran yang fasiq dan ahli maksiat

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Seorang muslim itu ialah saudara kepada muslim yang lain, tidaklah boleh dia menzaliminya dan menyerahkannya kepada musuh (untuk dianiayai)..”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2310 dan Muslim no. 2580)

6) Jiran yang kafir

Allah swt berfirman :
وَالْجَارِ الْجُنُبِ
“Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).


Had Lingkungan Kejiranan

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya seacra zahir kembali kepada uruf (adat setempat).

Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

(sila lihat dalam Fathul Qadir oleh Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan had lingkungan jiran disebabkan dalil yang wujud terlalu umum berdasarkan perkataan Khalifah Ali radiallahuanhu yang menyebut : “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Bermaksud bahawa sesiapa yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan tanpa pembesar suara maka dialah jiran.

Ada juga yang menetapkan bahawa jiran itu ialah yang berada dalam satu lingkungan yang dapat mendengar iqamah solat, sebahagian yang lain mengatakan pula jiran ialah mereka yang dapat besolat berjemaah pada waktu subuh dan Jumaat bersama-sama.

Manakala berdasarkan pendapat yang masyhur dari riwayat Aisyah ra dan para tabien seperti Hasan Al-Basri, Al-Auzaie dan Az-zuhri dan lain-lain ialah dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru.

(lihat dalam Tafsir Al-Qurtubi m/s 185 Jilid 5, Fathul Bari m/s 447 Jilid 10 dan Jami Ulum Wal Hikam 347 Jilid 1).

Kesimpulannya lingkungan kejiranan kembali kepada penakrifan umum dan adat setempat yang terpakai dalam sesuatu masyarakat kerana setiap kawasan berbeza adat dan budaya. Sekurang-kurang lingkungan dan jumlah bilangan jiran ialah 40 buah rumah dari segenap sisi penjuru dan selebih-lebihnya ialah yang terpakai dan diamalkan oleh masyarakat setempat.


Kepentingan Jiran dalam Islam

Allah swt menyebut di dalam Al-Qur’an :


وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah memesan kepada hamba-hamba-Nya supaya menjalankan kewajipan menyembah-Nya dan juga dalam masa yang sama menjalankan kewajipan kepada sesama hamba-hamba yang lain. Bahkan di dalam kitab dan sunnah banyak sekali ayat-ayat dan hadith yang menyebut perintah menjalinkan hubungan sesama makhluk dan manusia dengan baik dan ihsan.

Adapun berkait soal jiran, di dalam Islam jiran menduduki kedudukan yang utama dan mulia disisi syarak dan perlu dipenuhi hak-hak dan kewajipan serta memuliakan mereka supaya tercapai salah satu kebahagiaan yang disebut di dalam hadith yang dinyatakan sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Aisyah ra dan Ibn Umar ra daripada nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “ Selalu Jibril memesan kepadaku (supaya berlaku baik) perihal jiran sehingga aku seolah-olah menyangka mereka dapat mewarisi (harta pusaka)” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5668 dan Muslim no. 2624).

Jelaslah bahawa perintah Jibril di atas menyuruh berlaku ihsan dan baik kepada jiran dan melayani mereka dengan baik tanpa mengira apakah muslim atau kafir dan apakah jahat atau baik.

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Juga baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila rasulullah menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran sekaligus bermakna iman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan amal perbuatan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.

Demikian Al-Imam Baihaqi ra memasukkan dalam kitabnya Syabul Iman (Cabang Keimanan) dan menyebut pada cabang yang ke 67 dari cabang iman itu berdasarkan hadith 70 lebih cabang iman bahawa termasuk menghormati dan memuliakan jiran itu ialah cabang iman.

Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” .

(hadith sahih riwayat Muslim no. 45).

Demikianlah disebut oleh baginda rasulullah bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.

Memenuhi Hak Jiran

Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.

Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :

1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran

Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).


Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.

Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada nabi salallahualaihiwasalam akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 9673 dan Ibn Hibban no. 5763 danBukhari dalam Adabul Mufrad no. 119 dan Hakim no, 7304 dengan sahih Isnad dan disepakati oleh Adz-zahabi).

2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat

Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.

Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.

Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.

3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka

Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.

(hadith sahih riwayat Muslim no. 2625).

Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan

Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.

Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”

(hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 112 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 19452 dan Hakim no, 7307 dengan isnad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi dan berkata Hafidz Al-Munziri bahawa rijalnya siqah).

Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.

5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat

Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.

Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5670 dan Muslim no. 46).

Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.

Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.

Sabda rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 103 dan tibrani dan berkata Hafidz Al-Munziri perawinya siqah).


Kesimpulan

Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman.
لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).

Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.

Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.

Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.

Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban no. 1033 dan Abu ya’la no. 6536 dan Ibn Abi Syaibah no. 25421 dan Hakim no. 1951 denga sanad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi).


*******

p/s :
Semoga Artikel jiran ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah tidak perlu kepada jemaah untuk mengajar tentang rukun ukhuwah sebaliknya cukup sunnah dan kitab Allah.

Saya akan bercuti untuk beberapa waktu jika keadaan mengizinkan untuk pergi berniaga bagi mencari wang untuk belanja pulang ke Malaysia jadi mungkin tidak menulis di web ini dan akan digantikan oleh pelajar atau rakan-rakan saya yang lain yang akan menulis bagi pihak saya..

insyaAllah.

Segala puji hanyalah bagi Allah

10 Oktober 2010

Menjaga Lidah Dari Berbicara Kecuali Dalam Hal Yang Baik

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا {70} يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا {71} [سورة الأحزاب].

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalan kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian, dan barangsiapa yang menta’ati Allah dan rasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang amat besar”.

Dan firman Allah:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ {12} [سورة الحجرات].

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lainnya, sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?, maka tentulah kamu akan merasa jijik terhadapnya, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang”.

Juga firman Allah:

{وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ {16} إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ {17} مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18} [سورة ق ].

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya, (iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lainnya di sebelah kiri, tiada satu perkataan pun yang diucapkannya melainkan di sisinya ada malaikat yang siap mengawasi”.

Dan firman Allah lagi:

{وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا {58} [سورة الأحزاب].

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata”.

Dalam shohih Imam Muslim, hadits no (2589) dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:

((أَتَدْرُوْنَ مَا اْلغِيْبَةُ؟، قَالُوْا: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ، قِيْلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِيْ مَا أَقُوْلُ؟، قَالَ: إِنْ كَانَ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ)).

“Apakah kalian tahu apa itu ghibah (ngumpat)"?, para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu, Rasulullah bersabda: Engkau menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya, lalu beliau ditanya: bagaimana kalau hal yang aku ceritakan tersebut terbukti padanya?, beliau menjawab: jika terbukti padanya apa yang engkau sebut tersebut maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, dan jikalau tidak terdapat padanya maka sesungguhnya engkau telah berbuat kebohongan tentangnya”.

Dan Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

{وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36} [سورة الإسراء].

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak memiliki ilmu tentangnya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, masing-masing itu akan diminta pertanggung jawabannya”.

Dan diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: telah bersabda Rasulullah S.a.w:

((إِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثاً وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلاَثاً؛ يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبدُوْهُ وَلاَ تُشْرِكُوْا بِهِ شَيْئاً، وَأَنْ تَعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعاً وَلاَ تَتَفَرَّقُوْا، وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيْلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ اْلمَالِ)) أخرجه مسلم (1715).

“Sesungguhnya Allah meredhai bagi kalian tiga perkara dan membenci untuk kalian tiga perkara; Ia meredhai bagi kalian bahawa kalian menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan bahawa kalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah, dan jangan kalian berpecah-belah, dan Ia membenci untuk kalian suka membicarakan orang lain, dan banyak bertanya, dan menyia-nyiakan harta”. H.R : muslim, no (1715).

Dan diriwayatkan juga tentang tiga hal yang dibenci tersebut dalam shohih Bukhary, hadits no (2408) dan Imam Muslim.

06 Oktober 2010

Tujuan Menuntut Ilmu

"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al Baqarah 2 : 255

Pengenalan

Ilmu

Di dalam al-Quran ilmu dapat dimaksudkan dengan pelbagai makna, tetapi di sini cukuplah dengan membicarakan pengertian ilmu itu dalam Bahasa Melayu sahaja. Ilmu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti ;

1. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
2. Kajian dalam sesuatu perkara.
3. Hadirnya makna dalam diri seseorang.

Dari segi pemahaman yang mudah, ilmu bermaksud suatu pengetahuan yang merangkumi pengetahuan yang diperolehi melalui belajar atau proses dan aktiviti pembelajaran seperti pemerhatian, kajian, eksperimen dan sebagainya serta boleh juga diperolehi melalui pengalaman.

Ilmu juga merangkumi pengetahuan mengenai perkara yang berasaskan kebenaran, kebatilan, keraguan (bimbang atau bingung) dan syak (was-was).

Selain dari itu, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi pengetahuan mengenai hal-hal keduniaan dan akhirat, iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu Ain: Ilmu yang wajib dipelajari seperti tauhid (mengesakan Allah yang Maha Agung), syariat (solat, mempelajari al-Quran atau mempelajari perintah dan larangan) dan tasauf (ilmu akhlak atau sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang dikeji seperti adab berjiran, adab bergaul, adab selisih faham, adab makan, adab mandi dan lain-lain).

Keingkaran untuk mempelajari fardhu ain ini bagi setiap individu hukumnya adalah berdosa.

Fardhu Kifayah: Ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu bagi mewakili orang Islam, atau untuk mewakili masyarakat.

Andaikata tiada seorang pun di kalangan orang Islam yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya, ahli tafsir, usahawan, saintis, doktor dan lain-lain.

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam." - Sahih - Ibnu Majah [0184]

Isi Perbicangan

Tujuan Menuntut Ilmu

01.Memperbaiki Diri

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." - Surah Al-'Ankabuut 29 : 69

Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri.

Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya.

Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.

Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;

1. Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
2. Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
3. Peningkatan kerjaya.

Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-'Ankabuut [29] : 69) nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?

02.Mensyukuri Nikmat Allah yang Maha Agung

"Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman." - Surah An-Naml 27 : 15

Walaupun ayat berkenaan tentang ilmu yang diberikan kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as, namun lafaznya umum.

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat.

Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya.

Dengan ilmulah kita mengenal cara melaksanakan ibadah dan kategorinya; dan dengan ilmu jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan; dan dengan ilmu juga kita mengetahui tentang dunia dan akhirat. Maka wajiblah kita bersyukur atas nikmat yang tak terhingga ini, iaitu nikmat akal dan ilmu pengetahuan.

"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." - Surah Al-Baqarah [2] : 269

Khalifah Umar bin Abdul Aziz : "Barangsiapa beramal tanpa ilmu, maka yang rosak lebih banyak daripada yang benar."

03.Menegakkan Agama Islam

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." - Surah At-Taubah [9] : 122

Menegakkan agama Islam bermaksud memuliakan, mengamalkan perintah dan larangannya, melaksanakan hukum-hukumnya, dan menyebarkannya dengan cara; melalui umat Islam yang beriman, beramal soleh dan bertamadun; iaitu berpendidikan, mampu memerintah, adil dan mampu memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah yang Maha Tinggi di muka bumi.

Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam tafsir Ibn Katsir, antaranya diterangkan mengenai ayat di atas (Surah At-Taubah [9] : 122) sebagai dua tugas yang terpadu.

Sebahagian pergi berperang, sebahagian lagi menuntut ilmu. Ini menunjukkan tingginya darjat orang yang menuntut ilmu hingga disamakan dengan orang yang pergi berjihad. Walau bagaimanapun, tidaklah bermaksud hendak meremehkan jihad menentang orang-orang yang memerangi Islam.

Persoalannya, bagaimana ilmu itu boleh menegakkan Agama Islam? Di sini, kita melihat dari segi faktor semasa sahaja.

Antaranya, kita perlu ubah persepsi kita mengenai contoh fardhu kifayah.

Rasanya sejak dari kanak-kanak, kemudian dewasa hingga tua kita dihadapkan dengan contoh ini; iaitu mengaitkan contoh fardhu kifayah hanyalah - pengurus jenazah atau orang memandikan, mengafankan dan segala perihal tentang jenazah.

Sebenarnya yang termasuk dalam fardhu kifayah itu antaranya adalah; ahli tafsir, usahawan, saintis, ahli fizik, pakar kimia, doktor, pakar komputer, pakar enjin, arkitek dan lain-lain. Mungkin kita melihat seperti remeh, tetapi inilah yang secara tidak sengaja telah tertanam dalam akal fikiran kira sebelum ini.

Akhirnya kita menganggap fardhu kifayah adalah perkara yang mudah dan memandang ringan padanya, akibatnya umat Islam (Malaysia khususnya) kekurangan tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.

Sekiranya umat Islam ketandusan para ilmuwan ini, maka siapakah yang ingin menghormati orang Islam?

Apalagi Agama Islam. Bukankah Allah yang Maha Agung telah berfirman;

"...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." - Surah Al-Mujaadalah 58 : 11

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata, 'Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.'

Di dalam ayat yang lain Allah yang Maha Tinggi berfirman;

"...Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." - Surah Az- Zumar [39] : 9

Tentulah tidak sama antara orang yang pakar dan tidak pakar. Perkataan orang yang pakar lebih dipercayai.

Contohnya dalam pembinaan sebuah bangunan, kita mahu mempercayai cakap arkitek atau buruh binaan?

Begitu juga dalam menegakkan agama Islam, tentulah orang yang berilmu lebih didengari percakapannya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya.

Maksudnya orang Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi, secara automatik memberi impak kehormatan kepada Islam itu sendiri; iaitu agama Islam dan penganutnya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang bukan Islam, secara tidak langsung Islam dapat ditegakkan.

"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." - Surah As-Saff [61] :14

04.Berfikir Dengan Adil

Berfikir bermaksud menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, manakala adil pula bermaksud meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempatnya.

Ramai yang berpendapat adil bermaksud sama rata, ini adalah pemahaman yang salah. Jadi, berfikir dengan adil bermaksud menggunakan akal dalam mempertimbangkan sesuatu perkara agar bertepatan dan bersesuaian pada tempatnya.

"Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?" - Surah Yunus [10] : 35-36

Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan keputusan, ibadah, pekerjaan dan lain-lain hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak, tepat dan teratur; iaitu mengutamakan yang lebih penting dari yang penting. Antara beberapa contoh;

* Mengutamakan mempelajari fardhu ain dari fardhu kifayah.
* Mengutamakan amal yang bermanfaat dari yang kurang bermanfaat seperti, memilih beramal dengan sedikit tetapi berterusan daripada beramal dengan banyak tetapi setahun sekali.
* Mengutamakan mengajar atau menyuruh anak-anak kecil bersolat dari berpuasa kerana biasanya orang yang tidak meninggalkan solat pasti berpuasa (yang berkemampuan) dan orang yang berpuasa belum tentu penuh solatnya. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Tinggi dalam,

".....Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar...." - Surah Al 'Ankabuut [29] : 45

* Mengutamakan ibadah fardhu dari ibadah sunat dan mengutamakan sunat yang mu'akkad; iaitu sunat yang dituntut seperti mengutamakan solat rawatib mu'akkad, solat tahajjud daripada solat terawih, solat sunat musafir dan lain-lain.
* Mengutamakan mencintai Rasulullah saw daripada orang lain.

"Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya". - Sahih Muslim [0035]

Ini hanya sebahagian contoh sahaja, banyak lagi perkara-perkara yang perlukan pertimbangan akal yang adil dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..." - Surah Al-Baqarah [2] : 219

Ayat di atas sebagai contoh mengapa kita perlu berfikir dengan adil, ini adalah perkara yang sangat-sangat penting.

Antara Kesan atau Kelebihan Menuntut Ilmu

01.Doa cepat dimakbulkan

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." - Surah An-Naml [27] : 40

Umum mengetahui ayat di atas mengenai pemindahan singgahsana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman a.s. Malah jin 'Ifrit juga tidak dapat menandingi kehebatan orang yang berilmu. Perlu diingat, kisah ini hanya berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s.

Bukanlah bermakna kita perlu belajar ilmu yang dapat mengubah 'KLCC' ke tempat lain sekelip mata, ini hanya contoh betapa hebatnya orang berilmu kerana doanya dimakbulkan dengan cepat, insyaAllah yang Maha Berkuasa. Zaman ini, jika ada seseorang berkata dapat mengubah sesuatu bangunan dalam sekelip mata ke tempat lain, itu adalah sihir.

02.Dinaikkan darjat

"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah Al-Mujaadalah [58] : 11

Contoh yang paling mudah antaranya;

* Peniaga yang mempelbagaikan jualannya dan kreatif, lebih banyak keuntungan dari peniaga yang menjual satu jenis barangan sahaja.
* Pekerja yang berilmu (mempunyai ijazah dan sebagainya) lebih tinggi gajinya dari pekerja yang kurang ilmunya.
* Pelajar yang tekun belajar, lebih pandai dari pelajar yang malas belajar.
* Guru dihormati oleh pelajarnya. Mereka yang tidak menghormati gurunya tergolong dalam orang yang jahil.

03.Tidak tersesat

"..dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." - Surah Al-Hajj [22] : 54

04.Dikurniakan nikmat kesabaran

"Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar." - Surah Al-Qasas [28] : 80

05.Dipermudahkan ke syurga

"Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga." - Sahih, At-Tirmidzi [2646]

Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang yang berilmu pengetahuan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Antara Halangan-Halangan Menuntut Ilmu

Diantara halangan yang menyebabkan ramai orang yang ambil remeh dalam hal menuntut ilmu, diringkaskan seperti berikut;

01.Anggap Diri Sudah Cukup

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." - Surah Al-Mu'min [40] : 83

Menganggap segala pengetahuan mereka lebih banyak dari orang lain dan tak perlu menuntut ilmu lagi. Hal ini hanyalah satu kesombongan dari hasutan syaitan.

02. Sibuk

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." - Surah Al-'Asr [103] : 1-3

Kesibukan adalah apabila kita tidak pandai menghargai masa. Semua manusia akan mengalami kerugian kecuali empat sifat di atas, iaitu;

1. Iman - Memahami dan melaksanakan rukun iman.
2. Amal soleh - Mentaati dan melaksanakan hukum-hukum, perintah dan larangan Allah yang Maha Agung.
3. Nasihat kebenaran - Memberi pengajaran, bimbingan atau mengajak kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kemungkaran.
4. Menasihati agar bersifat sabar - Bersabar atau redha pada qada' dan qadar.

Kita tidak ketahui akan perkara-perkara di atas kecuali dengan menuntut ilmu.

03.Lalai

Lalai terbahagi kepada dua, namun berkaitan iaitu;

* Urusan di dunia - Membuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat pada diri dan masyarakat.

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak,...." - Al-Hadiid [57] : 20

* Urusan menghadapi akhirat - Tidak mengingati mati lalu menjadi malas untuk beribadah, apalagi untuk menuntut ilmu.

".....Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." - Surah Ar-Ruum [30] : 8

Antara Akibat Jahil

01.Mengikut hawa nafsu

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui." - Surah Al-Jaatsiyah [45] : 18

Orang yang jahil hanya mengikut hawa nafsu sahaja dalam berfikir dan menganggap akal dan ilmu pengetahuannya lebih hebat dari syariat, lalu melanggar segala macam hukum dari al-Quran dan al-hadis.

02.Menjadi zalim dan tersesat

"Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolongpun." - Surah Ar-Ruum [30] : 29

Setelah mereka (orang-orang yang jahil) ini melanggar segala macam syariat, maka mereka terdedah kepada kesesatan dan seterusnya berbuat kezaliman; iaitu menyesatkan orang lain dan meruntuhkan akhlak masyarakat yang terikut-ikut dengan mereka, akibatnya berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat.

03.Cenderung menjadi pengikut syaitan

"Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,..." - Surah Al-Hajj [22] : 3

Mereka yang tidak berilmu seringkali bercakap perkara yang mereka agak-agak sahaja terutamanya dalam hal agama yang boleh membawa kepada kekufuran tanpa mereka sedari. Perkataan yang mereka keluarkan tidak lain, kecuali mengikuti hawa nafsu yang dibisikkan oleh syaitan sahaja.

Sekiranya kita ragu-ragu tentang sesuatu perkara atau ingat-ingat lupa, janganlah berkata-kata untuk berbangga diri atau berasa malu cakap tidak tahu, tanyalah kepada orang yang berilmu.

"....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui." - Al Anbiyaa' [21] : 7

Kesimpulan

Islam didasari dengan ilmu. Tidak ada satu pun permasalahan kecuali diajar dalam Agama Islam bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan menuntut ilmu.

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." - Ali 'Imran [3] : 18

Hanya dengan ilmulah kita dapat mempertabatkan umat Islam dan menjaga kemuliaan Islam, yang kini dimana-mana pun umat Islam diperbudak-budakkan dan agama Islam diperlekehkan.

"Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." - At Taubah [9] : 128

Marilah kita mencontohi sikap para Nabi 'alaihi salam; iaitu berasa sedih akan penderitaan masyarakat Islam sekarang yang ditendang dan dipermainkan sesuka hati. Moga-moga Allah yang Maha Penyayang memenangkan kita ke atas musuh-musuh Islam.

Namun perlu diingat setinggi mana ilmu kita, tidak dapat kita mengatasi mukjizat para Nabi as dan setiap yang mengetahui, ada lagi yang lebih mengetahui.

Marilah kita merenung ayat di bawah, luasnya ilmu Allah yang Maha Tinggi tidak terhingga. Allah yang Maha Agung berfirman dalam;

"Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).." - Surah Al-Kahfi [18] : 109

"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Luqman [31] : 27

Rujukan:
Al-Quran terjemahan
Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir
Kitab-kitab hadis sahih
Krisis Dalam Pendidikan Islam [Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf ]
Ihya' Ulumuddin [Imam Al-Ghazali]
Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin]
Berfikir [Harun Yahya]
Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi]
Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za'ba]

Mencipta Masa Depan

Memang mudah terlintas maksud turutan perkataan tersebut di dalam minda kita.

Namun adakah ia sama dengan pemikiran orang lain?

Sudah tentu ianya berbeza dan sering bercanggah antara satu sama lain.

Dalam pada itu sebenarnya telah wujud persamaan antara perbezaan pemikiran tadi.

Walau bagaimanapun mungkin anda boleh bersetuju dengan saya sekiranya saya mengatakan maksud yang sebenar bagi perkataan-perkataan tersebut adalah dengan satu perkataan iaitu cita-cita.

Cita-cita membawa maksud harapan dan impian yang cuba direalitikan oleh setiap insan yang bergelar manusia pada masa hadapan.

Ada bermacam cita-cita yang boleh kita impikan.

Doktor, guru, arkitek, usahawan berjaya, kerani, dan banyak lagi pekerjaan yang sering kita impikan.

Namun begitu, ada juga manusia yang bercita-cita sesuatu perkara yang negatif contohnya merompak, melepak, menganggur, menyemak tepi kaki lima, kutu rayau, sekadar berfoya-foya, raja judi, perogol dan sebagainya.

Semua yang disenaraikan ini adalah berkaitan dengan cita-cita makhluk yang bergelar manusia.

Cita-citalah yang mempengaruhi seseorang manusia itu untuk belajar.

Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai keinginan untuk menjadi seorang guru.

Walau bagaimanapun, syarat untuk menjadi seorang guru mesti memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Untuk memiliki ijazah sarjana muda pula kita harus melanjutkan pelajaran ke universiti terlebih dahulu.

Seseorang itu juga perlu menghabiskan pelajarannya di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dahulu sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Begitulah selanjutnya sejak daripada peringkat tadika lagi.

Sememangnya ada turutan tersebut dalam meniti kehidupan.

Namun, adakah turutan itu terasa kelazatannya? Kelazatan di sini bermaksud sejauh mana kita berusaha menempuh hidup yang diimpikan itu.

Sesungguhnya impian tidak semestinya tercapai.

Namun ia tidak mustahil untuk dicapai. Hanya fikiran yang menentukan keberjayaan kita memperoleh apa yang kita inginkan pada masa depan.

Di dalam liku-liku hidup ini, berusahalah mengikut landasan dan keperluan yang betul.

Bukan sahaja kita akan memperoleh impian yang sekian lama kita simpan, kita juga akan memperoleh kenikmatan dan juga kebahagiaan di dalam hidup ini.

Namun, sebagai manusia sudah pasti ada yang membataskannya.

Pastikan ia mengikut landasan syariat yang betul dan tidak menyeleweng supaya hidup bermasyarakat sentiasa dalam keadaan seimbang dan harmoni senantiasa.

InsyaAllah...

29 September 2010

KEUTAMAAN SOLAT JEMAAH

1. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sembahyang berjamaah itu melebihi sembahyang
sendiri dengan 27 darjat. (HR al-jamaah melainkan Bukhari dan al-Tarmizi
dari Ibnu Umar)

2. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sembahyang seseorang dalam berjamaah melebihi
sembahyang bersendirian, samada di rumahnya ataupun di pasar dengan 20
darjat. (HR Bukhari dan Muslim dari Abu Hurairah).

3. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sembahyang berjamaah menyamai 25 sembahyang,
maka apabila seseorang itu bersembahyang di tanah lapang yang luas, lalu
dia menyempurnakan rukuknya dan sujudnya, nescaya ia dapat menyamai
sampai 50 sembahyang. (HR Abu Daud dari Abu Sa'id al-Khudri)

4. Sabda Rasulullah s.a.w.: Seberat-berat sembahyang atas para muniafiqin
ialah sembahyang Isyak dan sembahyang subuh. Sekiranya mereka mengetahui
apa yang terkandung di dalam dua sembahyang berkenaan, tentulah mereka
akan mendatanginya walaupun dalam keadaan merangkak. Demi Allah,
sesungguhnya mahu sahaja aku memerintahkan orang mendirikan sembahyang
berjamaah bersama para hadirin, kemudian aku pergi dengan beberapa yang
membawa kayu api kepada orang yang tidak menghadirinya, lalu aku bakar
rumah-rumah mereka, sedangkan mereka berada di dalamnya. (HR Bukhari
& Muslim dari Abu Hurairah)

5. Sabda Rasulullah s.a.w.: Sekiranya tidak ada di dalam rumah itu wanita
dan anak-anak, sudah tentu aku mendirikan jemaah Isyak di sini dan
memerintahkan para pemudaku pergi membakar semua isi rumah itu dengan
api. (HR Ahmad)

6. Imam Muslim pula meriwayatkan hadith daripada Abu Hurairah r.a:
Ada seorang lelaki buta telah datang mengadu kepada Nabi
s.a.w bahawa dia tidak mempunyai orang yang boleh memimpinnya pergi ke
masjid. Oleh itu dia mengharapkan Baginda memberi kelonggaran kepadanya
untuk bersolat di rumahnya. Pada mulanya Baginda telah membenarkannya,
tetapi kemudiannya Baginda menarik balik kebenaran tadi setelah Baginda
mengetahui bahawa si buta tadi dapat mendengar seruan azan solat yang
dikumandangkan di masjid.

25 September 2010

Sunnah Dan Kesilapan Di Hari Jumaat

Hari Jumaat, Hari Mulia
Sabda Nabi SAW: “Hari terbaik yang memancarkan sinar mataharinya ialah hari Jumaat. Padanya diciptakan Adam AS, padanya dimasukkan dia ke dalam syurga dan padanya dikeluarkan dia darinya. Dan tidak akan berlaku hari Kiamat kecuali pada hari Jumaat.” (Sahih Muslim: 854 )

Sunnah-sunnah di hari Jumaat

1)-Mandi dan berwangi-wangian (lelaki sahaja). Rasulullah SAW berkata: “Mandi pada hari Jumaat itu wajib bagi setiap orang yang sudah baligh. Hendaklah dia menggosok gigi dan memakai wangian jika mempunyainya.” (Sahih, al-Bukhari:880, Muslim:846)

2)-Membanyakkan selawat kepada Rasulullah SAW. Kata Nabi SAW: “Sesungguhnya sebaik-baik hari ialah hari Jumaat, maka perbanyakkanlah selawat keatas ku pada hari tersebut. Sesungguhnya selawat kalian akan diperlihatkan kepadaku.” (Sahih, Abu Daud:1047, disahihkan oleh al-Arnaouth)

3)-Membanyakkan berdoa terutama diakhir waktu asar. “Pada hari Jumaat terdapat dua belas jam, pada waktu itu tidaklah seorang hamba Muslim memohon sesuatu kepada Allah melainkan Dia akan mengabulkannya. Oleh itu, carilah ia diakhir waktu setelas asar.” (Sahih, Abu Daud: 1048, di sahihkan oleh al-Hakim, adz-Dzahabi, an-Nawawi dan al-Albani)

4)-Membaca surah al-Kahfi. Rasulullah SAW berkata: “Sesiapa yang membaca surah al-Kahfi pada hari Jumaat, dia akan disinari cahaya di antara dua Jumaat.” (Sahih, al-Hakim:3392, disahihkan oleh al-Albani)

5)-Berjalan kaki dan bersegera ke masjid. Kata Nabi SAW: “Sesiapa yang memandikan atau mandi pada hari Jumaat, kemudian bersegera dengan berjalan kaki, tidak menaiki kenderaan, dan mendatangi imam lalu mendengar (khutbah) dan tidak bermain-main, maka adalah baginya setiap langkah (bersamaan) amalan puasa dan solat selama setahun.” (Sahih:Sunan Abi Daud: 345, al-Albani mensahihkannya)

Kesilapan-Kesilapan di hari Jumaat.
1)-Datang lewat ke masjid. Kata Rasulullah SAW: “Pada hari Jumaat para malaikat duduk di pintu-pintu masjid, bersama mereka lembaran-lembaran catatan. Mereka mencatat (orang-orang yang datang shalat), apabila imam telah keluar (untuk memberi khutbah), maka lembaran-lembaran itu ditutup.” (Hasan, Ahmad:21756, dinilai Hasan oleh al-Albani)

2)-Membaca al-Quran atau memasang rakaman bacaan al-Quran dengan kuat. Kata Nabi SAW: “Ketahuilah sesungguhnya kalian semua bermunajat kepada Tuhan. Oleh itu, janganlah sebahagian kalian mengganggu sebahagian yang lainnya, dan janganlah sebahagian mengangkat suara atas yang lainnya dalam membaca al-Quran”, atau baginda berkata “di dalam solat.” (Sahih, Abu Daud:1332, disahihkah oleh Ibn Abdil Barr dan al-Albani)

3)-Tidak memenuhkan saf hadapan. Kata Nabi SAW: “Jika kalian atau mereka mengetahui apa yang terdapat dihadapan saf paling hadapan, nescaya akan dilakukan undian. [bagi mendapatkan saf hadapan]” (Sahih, Muslim:439)

4)-Bermain tasbih, bersiwak dan lain-lain ketika mendengar khutbah. “Barangsiapa memegang batu kerikil [ketika khutbah], maka dia telah berbuat hal yang sia-sia.” (Sahih, Muslim:857)

5)-Tidak melakukan solat tahiyatul masjid apabila tiba ketika imam berkhutbah. Kata Nabi SAW: “ Jika salah seorang daripada kalian tiba (di masjid) pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka solatlah dua rakaat dan ringkaskanlah solat tersebut.” (Sahih, Muslim:875)

6)-Masih melakukan urusan keduniaan apabila azan telah berkumandang. Firman Allah: “Wahai orang-orang Yang beriman! apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); Yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui ” (Surah al-Jumuah:9)

7)-Bercakap ketika khutbah. Rasulullah SAW berkata: “Jika engkau berkata kepada teman engkau “Diam” pada hari Jumaat dan imam sedang berkhutbah, maka engkau telah membuat sesuatu yang sia-sia.” (Sahih,al-Bukhari:934, Muslim:851)

8)- Bersandar ke dinding dan tidak menghadap khatib. Kata Ibn Mas’ud r.a: “Jika Rasulullah SAW sudah berdiri tegak di atas mimbar, maka kami menghadapkan wajah kami ke arah beliau.” (Hasan, at-Tirmizi:509, disahihkan oleh al-Albani)

20 September 2010

Mengapa Perlu Berkahwin ?



1. Aku tidak mahu berkahwin!, Aku bosan dengan orang lelaki yang berhidung belang! Lelaki sekarang hanya mahu kepuasan nafsu sahaja tapi tidak reti untuk membimbing! Nak jadi imam pun tak tahu.. Solat jauh sekali!!

2. Buat ape aku perlu berkahwin? aku dah ada kerjaya sendiri. Hidup aku lebih aman damai, tak perlu ribut tentang anak-anak. Aku enjoy dengan kehidupan sekarang nih.

3. Saya takutlah nak berkahwin, tak bersedia, nanti banyak sangat komitmen..

4. Mampukah saya menjadi isteri/suami yang baik?.. Berkahwin bukan untuk bercerai..

*****

Mungkin kita pernah mendengar pernyataan di atas yang berbentuk luahan hati dan perasaan dari sahabat kita atau orang yang pernah merasakan kepahitan hidup akibat dari latarbelakang keluarga yang tidak harmoni. Bahkan juga dari mereka yang takut dan risau memberikan komitmen dalam perkahwinan.

Zaman ini, menunjukkan ramainya mereka yang bekerjaya profesional, hidup mewah tidak mahu berkahwin. Terutamanya apabila yang sudah mempunyai pendapatan tetap sendiri, dirasanya hidup tidak perlu kehadiran orang lelaki/perempuan..


Mengapa Perlu Berkahwin ?

Persoalan di atas adalah soal pokok terutamanya mereka yang akan berkahwin, 'bercouple', dan juga kepada mereka yang tidak mahu berkahwin samada takut, risau, serta alasan yang lain. (Kecuali mereka yang mempunyai penyakit yang boleh mendatangkan bahaya atau kecacatan kepada pasangan seperti HIV, AIDS, sopak dan kusta. Serta mereka yang mempunyai sikap yang jahat, tidak mahu/mampu memberi nafkah kepada isteri, mahu mendera dan membalas dendam ke atas isteri/suami).

Perkahwinan sebenarnya adalah untuk menyahut seruan fitrah manusia yang telah difitrahkan oleh ALlah. Manusia mempunyai keinginan dan kehendak terutamnya di dalam persoalan seksual. Islam telah menetapkan jalan di mana perkahwinan sahajalah yang menjadi penyelesai masalah bagi memenuhi tuntutan tersebut.

Dari Abi Samrah r.a menyatakan :


Nabi melarang daripada hidup membujang.

(Riwayat at Tirmidzi dalam kitab perkahwinan, bab meninggalkan perkahwinan).

Saad bin Abi Waqqas r.a berkata :

"RasuluLLah telah menolak permohonan Osman bin Maz'un untuk hidup membujang. Kalaulah RasuluLlah membenarkannya nescaya kami akan mengembiri.

(Riwayat Muslim dlam Kitab Nikah, bab sunat berkahwinan bagi sesiapa yang berkeinginan, nombor 1402).


Di zaman ini, lihatlah, terdapat antara kita yang mempunyai keinginan tetapi disalurkan di jalan yang dimurkai ALLah. Ada yang menolak perkahwinan tetapi mereka tidak dapat membendung keinginan serta menjauhkan diri dari fitnah terhadap lelaki dan wanita. Ia sendiri tidak dapat menjaga diri dari anasir yang tidak elok. Akhirnya ada yang telah menghampiri kepada zina serta menjerumuskan diri di dalamnya. Anak-anak luar nikah dikandungnya, ada yang dibunuh, dibuang, dan juga dibela.

Ada juga yang mengatakan ingin sahaja membela anak angkat. Sayangnya di dalam Islam, anak angkat tidak pula dibolehkan mewarisi hartanya. Di masa tua pula, ia tetap juga merasa kesepian dan kelainan disebabkan anak yang dibela sejak kecil tetap bukan anak dari darah dagingnya sendiri.

Perkahwinan untuk melahirkan keturunan yang soleh dan berkualiti

Sabda RasuluLLah s.a.w yang bererti :

"Kahwinilah perempuan yang pengasih dan mampu melahirkan ramai anak kerana aku berbangga dengan umatku yang ramai pada hari kiamat.

(Riwayat Abu Daud dalam sunannya : KItab nikah, bab larangan daripada menikahi perempuan yang tidak boleh melahirkan anak, nombor 2050; An Nasai dalam kitab nikah, bab makruh mengahwini perempuan mandul, nombor 65/6)

Dengan jalan yang halal ini, maka ia dapat membentuk institusi kekeluargaan sekaligus institusi masyarakat Islam yang dipenuhi dengan generasi yang berkualiti. Jauh bezanya dengan anak yang lahir dari perbuatan zina. Mereka adalah generasi yang terbuang yang tidak mengenali sama sekali siapakah ibu dan ayah mereka. Mereka lahir dalam keadaan jiwa yang membenci dan dendam kepada kedua orang tuanya, masyarakat sekeliling dan manusia keseluruhannya.

Jiwa tenang dengan jalan pernikahan

Perkahwinan yang halal akan menghasilkan ketenangan dan ketenteraman. Firman ALLah ta'ala yang bererti :


"Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan dan rahmat-Nya bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki,) isteri-isteri dari jenis kamu sendiri supaya kamu bersenang hati dan hidup kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir".

(Ar Rum :21)

Berapa ramai manusia yang menolak perkahwinan fikiran dan hatinya tidak berasa tenang, tiada teman untuk dikongsi masalah? Tidak dapat merasakan hubungan halal antara lelaki dan wanita melalui jalan perkahwinan? Fikiran sentiasa runsing dengan masalah-masalah yang tidak terluah yang mengegarkan jiwa dan fikiran, perasaannya tertekan, kemurungan lalu membawa kepada perasaan malu dan pesimis.

Perkahwinan meluaskan persaudaraaan dan membina prinsip kerjasama.

Sebelum perkahwinan - kita akan fikir untuk hidup buat diri sendiri sahaja. Kurang bertanggungjawab dan kematangan dalam pengurusan hidup. Solat bersendirian, berdoa, tawa dan tangis juga berseorangan.

Sebelum berkahwin - tidak banyak ilmu yang ditimba untuk menjadikan diri sebagai individu Muslim yang dapat menjalankan tugas sebagai khalifah yang lebih sempurna. Kita tidak kenal istilah suami dan isteri, ibu dan bapa serta anak. Tidak juga mengetahui apa itu munakahat yang menyentuh tentang bab kekeluargaan seperti talaq, khuluq, hadonah (hak penjagaan anak), aqiqah dan sebagainya. Maka dengan jalan perkahwinan menjadikan diri bersiap sedia dengan ilmu untuk menguruskan sebuah keluarga. Seorang suami sebagai imam solat dan pemimpin, isteri sebagai teman dan pendokong kepada suaminya di kala susah dan senang.

Isteri akan membantu suami di dalam urusan seharian, makan pakainya, tempat tinggal dan anak-anak. Suami pula akan bersama di dalam mencari rezeki yang halal, mempertahankan, melindungi dan memelihara kehormatan isteri.

Dengan jalan halal yang telah digariskan oleh Islam, daerah persaudaraan akan semakin meluas. Saling kenal mengenali antara sesama dua keluarga yang telah disatukan di atas jalan ini. Ia akan melahirkan suatu ikatan baru dan saling berkasih sayang antara satu dengan yang lain.

Carilah saluran yang halal, dengan jalan perkahwinan dapat menjamin kesejahteraan masyarakat, menyebarkan kebaikan, penjagaan akhlak serta pengekalan keturunan manusia.

"Dan kahwinilah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) di antara kamu, dan orang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, ALLah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana ALlah amat luas (rahmat dan limpah kurnia-Nya), lagi amat mengetahui".

(An Nur : 32)

15 September 2010

AURAT WANITA DARI AL-QURAN DAN HADIS..MARI LIHAT..

1. Bulu kening
-Menurut Bukhari..., “Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening.” Riwayat Abu Daud Fi Fathil Bari.

2. Kaki (tumit kaki)
-”Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan.” (An-Nur: 31)
Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki.

3. Wangian
-”Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina.” (Riwayat Nasaii, Ibn Khuzaimah dan Hibban).

4. Dada
-”Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung hingga menutupi dada-dada mereka. ” (An-Nur : 31)

5. Gigi
-’Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya.’ (Riwayat At-Thabrani)
-”Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang mengubah ciptaan Allah”(Riwayat Bukhari dan Muslim).

6. Muka dan Tangan
-Asma Binti Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: ‘Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja.” (Riwayat Muslim dan Bukhari).

7. Tangan
-”Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya”(Riwayat At Tabrani dan Baihaqi).

8. Mata
-”Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pandangannya.” (An Nur : 31).
-Sabda Nabi SAW, “Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmidzi).

9. Mulut (suara)
-”Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah perkataan-perkataan yang baik.”( Al Ahzab: 32).
-Sabda Rasulullah saw, “Sesungguhnya akan ada umatku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi.” (Riwayat Ibn Majah).

10. Kemaluan
-”Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. “(An Nur : 31).
-”Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya.” (Riwayat Al Bazzar).
-”Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah.” (Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah).

11. Pakaian
-”Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti.” (Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii dan Ibn Majah).
-”Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim). Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat/ membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu.
-”Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Al Ahzab : 59).

12. Rambut
-”Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

tidak sempurna iman kamu jika kamu tidak mengasihi saudara kamu sepertimana kamu mengasihi diri kamu sendiriLihat seterusnya..

13 September 2010

Ciri-ciri Orang Munafik

Hadith :
Sabda Rasulullah s.a.w yang maksudnya:
“Ada empat perkara, sesiapa yang melakukannya maka ia adalah seorang munafik tulen. Sesiapa yang melakukan satu daripada empat perkara itu, maka ia mempunyai salah satu daripada sifat munafik, hingga dia meninggalkannya . (Empat sifat itu ialah) apabila dipercayai ia khianat, apabila bercakap ia berdusta, apabila berjanji ia mungkir dan apabila bertengkar ia mengenepikan kebenaran. (Menegakkan benang basah ) “.

Riwayat Ahmad

Huraian
Pengajaran Hadith:
i) Amanah bermaksud tanggungjawab yang diterima oleh seseorang yang kepadanya diberikan kepercayaan bahawa ia dapat melaksanakannya sebagaimana yang dituntut tanpa mengabaikannya.
Ii) Amanah meliputi berbagai-bagai aspek seperti amanah tehadap Allah dan Rasul-Nya, amanah terhadap diri sendiri dan amanah terhadap masyarakat dan perkhidmatan.
Iii) Monopoli kuasa dan tanggungjawab yang luas di tangan seseorang akan menyebabkan kuasa itu tidak berkesan dan tanggungjawab tidak dapat dijalankan. Oleh itu sesuatu tugas itu hendaklah diamanahkan kepada mereka yang layak dan mampu melaksanakannya di mana ia memiliki ciri-ciri amanah, kepakaran dan ketakwaan.
iv) Tidak amanah adalah satu tanda munafik. Akibatnya seseorang itu tidak lagi dipercayai oleh masyarakat disebabkan sifat khianat yang telah dilakukannya terhadap sesuatu tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

12 September 2010

Keutamaan Puasa Enam di Bulan Syawal

Selain puasa wajib pada bulan Ramadhan, syari`at Islam juga membuka peluang kepada Barangsiapa yang ingin berpuasa di luar bulan Ramadhan. Ia disebut sebagai puasa sunnat dan terbahagi kepada beberapa jenis. Puasa-puasa sunnat adalah satu ibadah yang besar keutamaannya.



Rasulullah s.a.w. bersabda, bahawa Allah s.w.t. berfirman (Hadits Qudsi):



"Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu)." (Rasulullah melanjutkan): "Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, bau mulut orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah dibanding wangian kasturi." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1151 (Kitab al-Siyam, Bab keutamaan berpuasa)]



Selain hadits di atas, terdapat banyak hadits lain yang menerangkan keutamaan puasa sunnat. Para pembaca bisa melihat kitab al-Shahih al-Musnad min Fadhail al-Amal susunan Syaikh Ali bin Muhammad al-Maghribi (Dar Ibn `Affan, Riyadh, 2000). Di antara jenis puasa sunnat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Puasa sunnat inilah yang akan saya kupas dalam risalah ini.



Dalil Puasa Sunnat Enam Syawal



Dalilnya ialah hadits Rasulullah s.a.w.:



مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ (رواه مسلم)



“Barangsiapa yang telah berpuasa Ramadhan dan kemudian dia mengikutkannya dengan puasa enam hari dari bulan Syawwal, maka dia seperti orang yang berpuasa selama satu tahun.” [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1164 (Kitab al-Siyam, Bab disunnatkan berpuasa enam hari dari bulan Syawal)]



Darjat Hadits Puasa Sunnat Enam Syawal



Hadits yang menjadi dalil puasa sunnat enam hari di bulan Syawal adalah sahih sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitab sahihnya. Ada segelintir orang yang meragukan kesahihan hadits ini. Keraguan tersebut adalah sia-sia kerana hadits ini diriwayatkan dari beberapa sahabat dan memiliki banyak jalan periwayatan. Syaikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Bassam menjelaskan:



"Hadits ini nyata kesahihannya, ia datang dengan tiga jalan periwayatan selain jalan di atas (yang dikemukakan oleh Imam Muslim). Ia juga diriwayatkan oleh Ahmad, Abu Daud, al-Tirmizi dengan tiga wajah (yang berlainan) sehingga dikatakan: Sesungguhnya ia adalah hadits mutawatir. Ini kerana al-Dimyathi telah menghimpun semua jalan periwayatan hadits ini dan sanadnya dari dua puluh orang perawi, kebanyakan mereka hafiz dan thiqat." [Taudhih al-Ahkam min Bulugh al-Maram (Maktabah al-Asri, Mekah, 2003), jld. 3, ms. 533]



Hukum Puasa Sunnat Enam Syawal



Hukumnya adalah sunnat sebagaimana jelas Syaikh Abdullah al-Bassam: "Disunnatkan berpuasa enam hari (dibulan Syawal), ini merupakan mazhab al-Salaf dan al-Khalaf serta jumhur ilmuan, termasuklah Imam Abu Hanifah, Imam al-Syafi'e dan Imam Ahmad." [Taudhih al-Ahkam, jld. 3, ms. 533]



Bilakah Dimulakan Puasa Sunnat Enam Syawal?



Puasa sunnat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Aidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Sa`id al-Khudri berkata: "Nabi s.a.w. melarang puasa pada hari (Aidil) Fitri dan (Aidil) Adha." [Sahih: Dikeluarkan oleh al-Bukhari dalam Shahihnya, hadits no: 1991 (Kitab al-Shaum, Bab berpuasa pada hari Aidil Fitri).]



Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunnat Enam Syawal?



Syarat dan adab bagi puasa sunnat enam hari dibulan Syawal sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan. Hanya saja ia boleh dilakukan dengan tidak berurutan atau terus menerus asalkan jumlah enam hari sebelum berakhirnya bulan Syawal. Kerana Rasulullah s.a.w. menganjurkan puasa sunnat enam hari ini secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya sehingga dipahami bahwa puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada hari mana saja asalkan masih dalam bulan Syawal, akan tetapi lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan keumuman firman Allah s.w.t.: "Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa." [Surah Ali Imran 3:133]



Tidak Ada Hari Raya Selepas Puasa Sunnat Enam Syawal





Sebahagian orang ada yang menyambut Hari Raya pada 1 Syawal dengan perasaan hambar dan kekosongan. Bagi mereka, Hari Raya yang memiliki arti sambutan dan kegembiraan sepenuhnya ialah pada hari selepas mereka menggenapkan puasa sunnat enam Syawal.



Ini adalah satu bid`ah yang mungkar. Hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, yaitu Hari Raya Iedul Fitri dan Hari Raya Iedul Adha. Dua hari ini bukanlah sesuatu yang dibuat-buat manusia tetapi disyari`at oleh tuhan yang mencipta manusia, yakni Allah s.w.t.. Rasulullah s.a.w. bersabda: "Sesungguhnya Allah telah mengantikan untuk kalian dua perayaan yang lebih baik dari perayaan (zaman jahiliyah),yaitu Hari Raya Iedul Adha dan Iedul Fitri." [Sahih: Dikeluarkan oleh Abu Daud dan dinilai sahih oleh al-Albani dalam Shahih Sunan Abu Daud, hadits no: 1134 (Kitab al-Shalat, Bab shalat dua hari raya)]



Oleh itu hari perayaan keagamaan dalam Islam hanya dua, Hanya pada dua hari inilah kita menyambut dengan penuh kegembiraan kerana ia disyari`atkan oleh Allah s.w.t.. Tidak ada hari perayaan setelah genapnya puasa sunnat enam hari dibulan Syawal.



Melaksanakan Puasa Sunnat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan



Ada perbedaan pendapat di kalangan para ulama, dibolehkan berpuasa sunnat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya?



Pendapat Pertama:

Membolehkannya berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya'ban yang akan datang. Aisyah berkata: "Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya'ban kerana sibuk (melayani) Rasulullah s.a.w.." [Sahih: Dikeluarkan oleh Muslim dalam Shahihnya, hadits no: 1146 (Kitab al-Siyam, Bab mengqadha puasa Ramadhan padabulan Syawal). Dalam Shahih al-Bukhari, hadits no: 1950, penjelasan "kerana sibuk melayai Rasulullah" ialah penjelasan salah seorang perawi hadits yangbernama Yahya bin Sa`id.]



Para ilmuan yang mengemukakan pendapat pertama mengambil kesimpulan bahwa tidak mungkin isteri Rasulullah, yakni Aisyah, tidak melaksanakan puasa sunnat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya'ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunnat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Juga karena mengqadha puasa merupakan wajib muwassa'yaitu suatu kewajiban yang boleh dilakukan dalam waktu yang luas dan tidak harus segera dikerjakan.



Pendapat Kedua:

Tidak boleh puasa syawal sebelum mengqadha puasa ramadhan. Hal ini berdasarkan hadits yang menganjurkan puasa sunnat enam Syawal setelah melakukan puasa ramadhan. Hadits tersebut berbunyi:"Barangsiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka itu seperti berpuasa sepanjang tahun."



Rasulullah s.a.w. mensyaratkan "berpuasa Ramadhan" terlebih dahulu, kemudian barulah "mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal". Ini menunjukkan puasa sunnat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunnat enam Syawal.

Pendapat yang rajih (kuat) ialah pendapat pertama kerana alas an mereka yang cukup kuat, hanya sajasebaiknya seseorang segera membayar hutangnya sehingga ia segera terbebas dari kewajiban yang dipikulnya.



Sumber: Pedoman Puasa (Thinker's Library, Kuala Lumpur, 1996), ms. 136-137, fiqh-sunnah.blogspot.com