29 Julai 2010

Hadis 40: Haji Dan Umrah Bukan Kerana Allah s.w.t

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Akan datang kepada manusia satu zaman di mana orang kaya mengerjakan ibadah haji untuk makan angin (melancong), orang mempunyai pendapatan sederhana memulakan perniagaan, para ulama kian riak (berlagak) dan sum’ah (bangga diri), manakala orang yang fakir pula mengerjakan haji sambil meminta-minta”. (takhrij Ibnu Jauzi dalam Mutsirul Gharam)

Hadis 39: Menggadai Agama Kerana Dunia

Daripada Abi Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Akan timbul di akhir zaman orang yang mencari keuntungan dunia dengan menjual agama. Mereka menunjukkan kepada orang lain pakaian yang dibuat daripada kulit kambing (berpura-pura zuhud di dunia) untuk mendapat simpati orang ramai dan percakapan mereka lebih manis daripada gula. Padahal hati mereka seperti hati serigala (mempunyai tujuan yang jahat). Allah swt berfirman kepada mereka: “Apakah kamu tertipu dengan kelembutanku?, Atau kamu terlampau berani berbohong kepadaku?. Demi kebesaranKu, Aku bersumpah akan menurunkan suatu fitnah yang akan terjadi di kalangan mereka sendiri sehingga orang yang alim pun akan menjadi bingung (dengan sebab fitnah itu)”. (riwayat Tirmizi)

Hadis 38: Bermegah-megah Dengan Masjid

Daripada Anas bin Malik r.a bahawa Rasulullah saw bersabda: “Tidak berlaku hari kiamat sehingga umatku bermegah-megah dengan (binaan) masjid”. (riwayat Abu Daud)

Hadis 37: Bilakah Akan Terjadi Kehancuran?

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Pada satu ketika semasa Rasulullah saw sedang bercakap-cakap kepada hadirin dalam satu majlis, tiba-tiba datang seorang Arab Badwi dan terus bertanya kepada Rasulullah saw: “Bilakah akan terjadi hari kiamat?”. Namun baginda saw meneruskan percakapannya (tidak peduli pertanyaan Arab itu), sebahagian hadirin berkata: “Nabi saw mendengar apa yang ditanya, tetapi tidak disukainya”. Sementara yang lain pula berkata: “Rasulullah saw tidak mendengar pertanyaan itu”. Setelah sellesai bercakap, baginda saw pun bertanya: “Di manakah orang yang bertanya tentang hari kiamat tadi?”. Lalu Arab Badwi itu menjawab: “Ya, saya di sini Ya Rasulullah”. Maka Nabi pun bersabda: “Apabila amanah telah disia-siakan, maka tunggulah hari kiamat”. Arab Badwi itu bertanya lagi: “Apa yang dimaksudkan dengan mensia-siakan amanah itu?”. Nabi saw menjawab: “Apabila urusan diserahkan kepada yang bukan ahlinya maka tunggulah kedatangan hari kiamat”. (riwayat Bukhari)

Hadis 36: 5 Maksiat Yang Disegerakan Balasannya

Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Pada suatu hari kami mengadap Rasulullah lalu Baginda bersabda: “Wahai orang Muhajirin, apabila kamu telah ditimpa bala dengan 5 perkara ini, maka tiada lagi kebaikan untuk kamu. Aku berlindung kepada Allah swt supaya kamu tidak menemui masa itu, perkara-perkara itu ialah; Mereka berani secara terang-terang melakukan penzinaan sehinggalah ditimpa wabak penyakit Tha’un yang sangat cepat merebak dan penyakit-penyakit lain yang belum pernah menimpa kepada orang-orang dahulu. Mereka ditimpa bala dengan kemarau (panas) yang panjang dan kesusahan mencari rezeki kerena melakukan penipuan di dalam sukatan dan timbangan serta dizalimi oleh para pemimpin mereka sendiri. Mereka tidak diturunkan hujan kerana tidak mengeluarkan zakat, andainya tiada binatang di muka bumi ini nescaya Allah swt tidak menurunkan hujan. Mereka melanggar janji-janji mereka dengan Allah swt dan RasulNya, lalu Allah swt membiarkan musuh menguasai mereka dan merampas sebahagian daripada apa yang mereka miliki. Pemimpin-pemimpin mereka tidak lagi melaksanakan hukum-hukum yang terkandung di dalam al-Quran dan tidak mahu menjadikannya sebagai pilihan, maka di waktu itu Allah swt menjadikan peperangan tercetus di kalangan mereka sendiri”. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis 29: Kelebihan Beribadat Di Saat Huru-Hara

Daripada Ma’qil bin Yasar r.a berkata: “Rasulullah saw bersabd: “Beribadat di saat-saat huru hara (semasa dunia kacau bilau) adalah seperti berhijrah kepadaku”. (riwayat Muslim)

Hadis 28: Ujian Dahsyat Terhadap Iman

Daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah saw bersabda: “Bersegeralah kamu beramal sebelum menemui fitnah (ujian berat terhadap iman) seumpama malam yang sangat gelap. Seseorang yang masih beriman di waktu pagi kemudian di waktu petang dia menjadi kafir atau seseorang yang beriman di waktu petang kemudian pada pagi esoknya dia menjadi kafir. Dia telah menjual agamanya dengan harta dunia yang sedikit”. (riwayat Muslim)

Hadis 27: Tanah Arab Yang Tandus Menjadi Lembah Yang Subur

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Bersabda Rasulullah saw: “Tidak akan terjadi kiamat sehinggalah Tanah Arab yang tandus itu menjadi lembah yang subur dan diairi oleh sungai-sungai”. (riwayat Muslim)

Hadis 26: Munculnya Galian-Galian Dari Perut Bumi

Daripada Ibnu Umar r.a berkata: “Pada suatu masa dibawa kehadapan Rasulullah saw sepotong emas daripada zakat emas yang pertama sekali dikutip. Emas itu telah dibawa oleh Bani Sulaim dari tempat galian mereka. Maka sahabat berkata: “Hai Rasulullah saw! Emas ini adalah hasil daripada galian kita”. Lalu Nabi saw menjawab: “Nanti kamu akan dapati banyak galian-galian yang akan diuruskan oleh orang-orang yang jahat”. (riwayat al-Baihaqi)

Hadis 25: Masa Akan Menjadi Singkat

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah saw berkata: “Tidak akan terjadi kiamat sehingga masa menjadi singkat, setahun dirasakan sebulan, sebulan dirasakan seperti seminggu, seminggu dirasakan seperti sehari, sehari dirasakan seperti satu jam dan satu jam dirasakan seperti satu petikan api”. (riwayat al-Tirmizi)

Hadis 24: Peperangan Demi Peperangan Berlaku

Daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah saw bersabd: “Hari kiamat tidak akan terjadi sehingga melimpah ruah harta benda, timbul fitnah (ujian kepada keimanan) dan banyak berlaku al-Harj”. Sahabat bertanya: “Apakah al-Harj itu hai Rasulullah”. Nabi saw menjawab: “Peperangan demi peperangan demi peperangan”. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis 23: Golongan Ruwaibidhah (Pemimpin Yang Jahil)

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun kamarau yang panjang. Pada waktu itu orang yang berdusta dikatakan benar dan orang yang benar dikatakan berdusta. Orang khianat akan disuruh memegang amanah dan orang yang amanah dikatakan pengkhianat. Orang yang berpeluang bercakap hanyalah golongan Ruwaibidhah. Sahabat bertanya: “Apakah Ruwaibidhah itu hai Rasulullah?”. Nabi saw menjawab: “Orang yang kerdil dan sebenarnya hina dan tidak mengerti urusan orang ramai”. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis 22: Orang Berpegang Dengan Agama Seperti Pegang Bara Api

Daripada Anas bin Malik r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Akan datang kepada umatku suatu zaman di mana orang yang berpegang kepada agamanya laksana menggenggam bara api”. (riwayat al-Tirmizi)

Hadis 21: Ahli Ibadat Yang Jahil Dan Ulama Yang Fasiq

Daripada Anas r.a berkata: “Bersabda Rasulullah saw: “Terjadi di akhir zaman ahli ibadat yang jahil dan ulama yang fasiq”. (ditakhrij oleh Ibnu Adi dalam al-Kamil)

Hadis 20: Hamba Menjadi Tuan Dan Banyak Bangunan Tinggi

Daripada Umar al-Khattab r.a (dalam sebuah hadis yang panjang). Kemudian Jibril bertanya Rasulullah saw: “Khabarkan kepadaku tentang hari kiamat”. Lalu Nabi saw menjawab: “Orang yang bertanya lebih mengetahui daripada orang yang ditanya”. Maka Jibril berkata: “Kalu begitu khabarkan kapadaku tanda-tandanya”. Lalu Nabi saw menjawab: “ Hamba akan melahirkan tuannya, engkau melihat orang berjalan tanpa kasut dan orang yang bertelanjang lagi miskin yang hanya mengembala kambing berlumba-lumba untuk membuat binaan”. (riwayat Muslim)

28 Julai 2010

Hadis 19: Sedikit Lelaki, Ramai Perempuan Dan Banyak Berlaku Zina

Daripada Anas bin r.a berkata: “Akan aku ceritakan kepada kamu sebuah hadis yang tidak ada orang lain yang akan menceritakannya setelah aku. Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Di antara tanda kiamat ialah sedikit ilmu, banyak kejahilan, berlaku banyak perzinaan, ramai kaum perempuan dan sedikit kamu lelaki sehingga nantinya seorang lelaki akan mengurus 50 orang perempuan”. (riwayat Bukhari/Muslim)

Hadis 18: Orang Meminum Arab Tetapi Tidak Menamakannya Arak

Daripada Abu Malik as-Sya’ari r.a bahawa di mendengar Rasulullah saw bersabda: “Sesungguhnya ada sebahagian dari umatku yang akan meminum arak dan mereka menamakannya dengan nama yang lain. (Mereka meminum) sambil dialunkan dengan bunyi muzik dan suara artis-artis. Allah swt akan menenggelamkan mereka ke dalam bumi (dengan gempa) dan Allah swt akan mengubah mereka kera atau babi”. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis 17: Harta Riba Wujud Di Merata Tempat

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Akan tiba suatu zaman tiada seorangpun terkecuali daripada memakan harta riba. Kalau ia tidak memakan secara langsung, ia akan terkena juga debu-debunya”. (riwayat Ibnu Majah)

Hadis 16: Zaman Di Mana Orang Tak Peduli Dari Mana Dapat Harta

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Bersabda Rasulullah saw: “Akan datang suatu zaman seseorang tidak memperdulikan dari mana ia mendapatkan harta, apakah dari sumber yang halal ataupun haram”. (riwayat al-Nisa’)

hadis 15: Dua Golongan Yang Akan Menjadi Penghuni Neraka

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Ada dua golongan yang akan menjadi penghuni neraka yang belum lagi aku melihat mereka. Pertama, golongan penguasa yang mempunyai cemeti yang bagaikan ekor lembu digunakan untuk memukul orang. Kedua, perempuan yang berpakaian tetapi bertelanjang, berlenggang lenggok ketika berjalan serta menghayun-hayunkan bahu. Kepala (sanggul) mereka bagaikan bonggul unta senget. Kedua-dua golongan ini tidak akan masuk syurga dan tidak akan dapat mencium bau wanginya. Sesungguhnya bauan syurga itu sudah dapat dihidu walaupun sangat jauh perjalanannya”. (riwayat Muslim)

Hadis 14: Di Manakah Punca Kebinasaan Seseorang

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Rasululah saw bersabda: “Akan datang suatu masa di mana orang yang beriman tidak akan dapat menyelamatkan imannya kecuali ia lari menyelamatkannya dari satu puncak bukit ke satu puncak bukit yang lain dan dari satu lubang ke satu lubang yang lain. Maka apabila zaman itu telah berlaku, segala keperluan kehidupan tidak dapat dicapai kecuali menempuh dengan kemurkaan Allah swt. Pada ketika itu, seseorang itu binasa (hancur) kerana terlalu menurut kehendak isteri dan anak-anaknya. Jika ia tidak mempunyai isteri dan anak, dia akan hancur disebabkan terlalu menurut kehendak kedua ibubapanya. Dan jika orang tuanya sudah tiada, dia akan hancur binasa kerana terlalu menurut kehendak kaum kerabatnya(adik beradik) atau kerana terlalu menurut kehendak jirannya. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah saw, apakah maksud perkataanmu itu (kebinasaan seseoran disebabkan isteri, anak-anak, ibubapa, saudara mara dan juga jirannya)”. Nabi saw bersabda: “Mereka akan mencela dan mengaibkannya kerana kesempitan hidupnya, oleh itu dia terpaksa melayan kehendak mereka sehingga menlibatkan diri ke dalam jurang-jurang kebinasaan yang menghancurkan dirinya”. (riwayat Baihaqi)

Hadis 13: Orang Baik Berkurang Yang Jahat Bertambah

Daripada Aisyah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Tidak akan berlaku hari kiamat sehingga anak seseorang menjadi punca kemarahan ibubapanya dan hujan akan menjadi panas (hujan sedikit menyebabkan semakin panas), bertambah ramai orang yang tercela dan berkurangan orang yang baik. Anak-anak menjadi berani melawan orang-orang tua dan orang yang jahat berani melawan orang yang baik”. (riwayat Tobrani)

Hadis 12: Sifat Amanah Akan Hilang Sedikit Demi Sedikit

Daripada Huzaifah bin al-Yamamah berkata: “Rasulullah saw pernah memberitahu kami dua buah hadis (mengenai dua kejadian yang akan berlaku). Yang pertama sudah saya lihat dan yang kedua saya menanti-nantikannya. Rasulullah saw memberitahu bahawa amanah itu turun ke dalam lubuk hati orang-orang tertentu. Kamudiaan turunlah al-Quran. Maka orang-orang itu mengetahuinya melalui panduan al-Quran dan as-Sunnah. Seterusnya Rasulullah saw menceritakan kepada kami tentang hilangnya amanah dengan sabdanya: “Seseorang itu bila ia tertidur, lalu diambillah amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti bekas yang ringan sahaja. Kemudian ia tertidur lagi, lalu diambil lagi amanah itu dari dalam hatinya, maka tinggallah bekasnya seperti lepuh di tangan (kesan kerja berat di tangan seperti menggunakan kapak atau cangkul) jadi seperti bara api yang kau giliskan dengan kakimu dan kamu melihat ia meninggi padahal tiada apa-apa”. Ketika Rasulullah saw menceritakan hadis ini, dia (Huzaifah) mengambil sebiji batu kecil lalu mengiliskannya dengan kakinya. Pagi-pagi lagi sudah ramai orang berniaga, tapi hampir sahaja tiada seorangpun yang suka menunaikan amanah sehingga dikatakan ada seorang di kalangan bani fulan (di kampung tertentu) yang sangat memegang amanah, sangat dipercayai dan orang ramai berkata: “Orang itu sangat tekun dan jujur dalam perkerjaan serta sangat pandai, padahal di dalam hatinya sudah tiada lagi keimanan sekalipun hanya seberat timbangan biji sawi”. Maka sesungguhnya telah sampai masanya, sayapun tidak pasti siapakah di antara kamu yang boleh saya berurus niaga. Jika ia seorang Islam, maka agamanyalah yang dapat mengembalikannya kepadaku (menahannya dari khianat). Jika ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pihak yang bertugaslah yang dapat mengembalikannya kepadaku (maksudnya jika ia seorang Nasrani atau Yahudi, maka pemerintahlah yang dapat membantuku mendapatkan semula hak-hakku daripadanya). Adapun pada hari ini, saya tidak pernah berniaga dengan kamu semua kecuali dengan orang-orang yang tertentu sahaja”. (riwayat Bukhari/Muslim)

14 Julai 2010

Hadis 11: Rasuah Berleluasa

Daripada Muazd bin Jabal r.a berkata: “Aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda: “ambillah pemberian itu selama mana ia masih sebagai pemberian, tetapi apabila ia telah menjadi rasuah dalam pandangan agama maka jangan kamu mengambilnya. Namun kenyataannya kamu tidak akan dapat meninggalkan rasuah itu kerana kamu takut fakir dan kamu sangat berhajat untuk mengambilnya”. (riwayat Tobrani dan Abu Nuaim)

Hadis 10: Bahaya Kemewahan

Daipada Ali bin Abi Talib r.a berkata: “Bahawa kami sedang duduk di dalam masjid bersama Rasullulah saw. Tiba-tiba datang Mus’ab bin Umair r.a dan tiada di atas badannya kecuali hanya sehelai selendang bertampal dengan kulit. Apabila Rasulullah saw melihat kepadanya, Baginda menangis dan menitis air mata kerana mengenangkan kemewahan Mus’ab ketika berada di Mekkah dahulu dan melihat nasib Mus’ab sekarang (sebagai seorang muhajirin yang terpaksa meninggalkan harta kekayaan dan kemewahan di Mekkah. Kemudian Nabi saw bersabda: “Bagaimanakah keadaan kamu pada suatu hari nanti. Pergi di waktu pagi dengan satu pakaian dan pergi di waktu petang dengan pakaian yang lain pula. Dan bila diangkat satu hidangan, diletakkan pula dengan satu hidangan yang lain. Kamu menutupi (menghias) rumah kamu seperti mana kamu memasang kelambu ka’bah”. Maka jawab sahabat: “wahai Rasulullah, tentunya di waktu itu kami lebih baik daripada hari ini. Kami akan memberikan tumpuan kepada hal-hal ibadah sahaja dan tidak usah mencari rezeki”. Lalu Rasulullah saw bersabda: “Tidak! Keadaan kamu di hari ini adalah lebih baik daripada keadaan kamu di hari itu”. (riwayat Tirmizi)

Hadis 9: Islam Kembali Dagang

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Bersabda Rasulullah saw: “Islam mula tersebar dalam keadaan dagang (asing) dan ia akan kembali asing pula. Maka beruntunglah orang-orang yang asing”. (riwayat Muslim)

13 Julai 2010

Hadis 8: Penyakit Umat-umat Dahulu

Daripada Abu Hurairah r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Umatku akan ditimpa penyakit-penyakit yang pernah menimpa umat-umat dahulu”. Sahabat bertanya: “Apakah penyakit umat-umat terdahulu itu?”. Nabi saw menjawab: “Penyakit-penyakit itu ialah: terlalu banyak berseronok, terlalu mewah, menghimpun harta sebanyak mungkin, tipu menipu dalam merebut harta benda dunia, saling memarahi, hasut menghasut sehingga terjadi zalim menzalimi”. (riwayat Hakim)

Hadis 7: Golongan Yang Sentiasa Menang

Daripada Mughirah bin Syu’bah r.a berkata: “Rasulullah saw bersabda: “Sentiasa di kalangan kamu ada orang yang berjaya (dalam perjuangan mereka) sehinggalah sampai suatu saat yang dikehendaki oleh Allah swt. Mereka sentiasa berjaya”. (riwayat Bukhari)

Hadis 6: Golongan Anti Hadis

Daripada Miqdam bin Ma’dikariba r.a berkata: “Bahawa Rasulullah saw bersabda: “Hampir tiba suatu masa di masa seorang lelaki sedang duduk bersandar di atas katilnya, lalu disampaikan kepadanya sebuah hadis daripada hadisku, lalu dia berkata: “Pegangan kami dan kamu hanya kitabullah (al-Quran) sahaja. Apa yang dihalalkan oleh al-Quran kami halalkan dan apa yang diharamkan olehnya kami haramkan” (Kemudian Nabi saw melanjutkan sabdanya: “Padahal apa yang diharamkan oleh Rasulullah saw samalah hukumnya dengan apa yang diharamkan oleh Allah swt”. (riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)

12 Julai 2010

Hadis 5: Umat Islam Mengikuti Langkah-langkah Yahudi dan Nasrani.

Daripada Abu Sa’id al-Khudri r.a berkata: “Bahawa Rasulullah saw bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: “Ya Rasulullah! Apakah Yahudi dan Nasrani yang kau maksdukan?” Nabi saw menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka”. (riwayat Muslim)

Hadis 4: Ilmu Agama Akan Beransur-ansur Hilang

Daripada Abdullah bin Amr bin ‘Ash r.a berkata: “Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: “Bahawa Allah swt tidak mencabut (menghilangkan) ilmu itu sekaligus dari (dada) manusia. Tetapi Allah swt menghilangkan ilmu itu dengan mematikan alim ulama. Maka apabila sudah tiada alim ulama, orang ramai akan memilih orang-orang yang jahil sebagai pemimpin mereka. Maka apabila pemimpin yang jahil itu ditanya, mereka akan berfatwa tanpa ilmu pengetahuan. Mereka sesat dan menyesatkan orang lain. (riwayat Muslim)

10 Julai 2010

Petikan hadis 40 tentang akhir zaman

Hadis 3: Seluruh Dunia Datang Mengerumuni Dunia Islam

Daripada Tsauban r.berkata: " Rasulullah saw bersabda: "Hampir tiba suatu masa di mana bangsa-bangsa dari seluruh dunia akan datang mengerumuni kamu bagaikan orang-orang yang hendak makan mengerumuni talam hidangan mereka". Maka salah seorang sahabat bertanya: "Apakah kerana kami sedikit pada ketika itu" Nabi saw menjawab: "Bahkan kamu pada hari itu banyak sekali, tetapi kamu umpama buih di waktu banjir. Allah swt akan mencabut rasa gerun terhadap kamu dari hati musuh-musuh kamu dan Allah swt akan mencampakkan ke dalam hati kamu penyakit 'wahan'". Seorang sahabat bertanya: "Apakah wahan itu hai Rasulullah?". Nabi saw menjawab: "Cinta dunia dan takut pada mati". (riwayat Abu Daud)

01 Julai 2010

Petikan hadis 40 tentang akhir zaman

Hadis 2: Kenapa Dunia Islam Menjadi Sasaran Permusuhan

Daripada Ummul Mukminin, Zainab binti Jahsyi (isteri Rasulullah saw), beliau berkata: "(Pada suatu hari) Rasulullah saw masuk ke rumahnya dengan keadaan cemas sambil bersabda, La ila ha illallah, celaka bagi bangsa Arab dari kejahatan(malapertaka) yang sudah hampir menimpa mereka. Pada hari ini telah terbuka dinding Ya'juj dan Ma'juj seperti ini (Baginda menunjukkan hujung ibu jari dan hujung jari telunjuk dengan isyarat seperti bulatan. Saya bertanya: "Ya Rasulullah saw, apakah kami akan binasa sedangkan di kalangan kami masih ada orang-orang yang soleh?" Lalu Nabi saw bersabda: "Ya, jikalau kejahatan sudah terlalu banyak".(riwayat Bukhari/Muslim)

Petikan hadis 40 tentang akhir zaman

Hadis 1: Takwa dan Perpaduan Asas Keselamatan

Daripada Abi Najih 'Irbadh bin Sariyah r.a berkata: "Rasulullah s.a.w telah menasihati kami dengan satu nasihat yang menggetarkan hati kami dan menitiskan airmata kami ketika mendengarnya. Lalu kami berkata: "Ya Rasulullah! seolah-olah ini adalah nasihat yang terakhir sekali, maka berilah pesanan kepada kami. Lalu baginda pun bersabda: "Aku berwasiat akan kamu supaya sentiasa bertakwa kepada Allah dan mendengar serta taat (kepada pemimpin) sekalipun yang memimpin kamu itu hanya seorang hamba. Sesungguhnya sesiapa yang panjang umurnya daripada kamu pasti ia akan melihat perselisihan yang banyak. Maka hendaklah kamu berpegang teguh dengan sunnahku dan sunnah para khulafa ar-Rasyidin al-Mahdiyiin (khalifah-khalifah yang mengetahui kebenaran dan mendapat pimpinan ke jalan yang benar) dan gigitlah sunnah-sunnah ini dengan gigi geraham dan jauhilah perkara-perkara baru (bid'ah) yang diada-adakan kerana sesungguhnya tiap-tiap bid'ah itu adalah sesat.(riwayat Abu Daud/Tirmizi).