14 Oktober 2010

Hukum Kejiranan Dalam Islam

Berikut ialah ringkasan dari buku Ustaz Emran yang bertajuk "Fiqh Kejiranan Menurut Sunnah" yang asalnya dicadangkan untuk dibuat satu perbahasan lengkap membahaskan isu kejiranan dalam Islam secara menyeluruh dan aspek-aspeknya namun memandangkan suasana Malaysia dan kurang motivasi beliau maka tidak diselesaikan dan cukuplah ringkasan ini buat manfaat orang awam).

HAK CIPTA TIDAK TERPELIHARA (NAK AMBIL POST KAT MANA-MANA PUN AMBILLAH sebab BUKAN ISU SENSITIF PUN tak payah MINTA IZIN).


Muqadimah

بسم الله الرحمن الرحيم

إن الحمد لله نحمده و نستعينه ونستغفره, ونعوذ بالله من شرور أنفسنا و سيئات أعما لنا من يهده الله فلا مضلَّ له ومن يضْلل فلا هاديه له, و أشهد أن لا َّاله إلا الله و حده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله.
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاَ تَمُوتُنَّ اِلاَّ وَاَنتُم مُّسلِمُونَ (آل عمران: 102)
ياَيُّهَا النَّاسُ اتَّقُوا رَبَّكُمُ الَّذِي خَلَقَكُم من نَّفسٍ وَاحِدَةٍ وَخَلَقَ مِنهَا زَوجَهَا وَبَثَّ مِنهُمَا رِجَالاً كَثِيراً وَنِسَاءً وَاتَّقُوا اللَّهَ الَّذِي تَسَاءلون به والأرحام إن الله كان عليكم رقيبا (النساء: 1)
ياَيُّهَا الَّذِينَ امَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَولاً سَدِيداً يُصلِح لَكُم اَعمَالَكُم وَيَغفِر لَكُم ذُنُوبَكُم وَمَن يُطِعِ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَد فَاز فوزا عظيما (الأحزاب:70).

أمِّا بعد:

Kedudukan jiran sangat penting dalam Islam namun dalam kepesatan teknologi dan kemodenan manusia hari ini ramai yang sudah melupakan hak jiran dan tanggungjawab di antara satu sama lain sebaliknya hanya mementingkan diri sendiri.

Kita lihat manusia hari ini sibuk membina rumah besar dan memasang pagar tinggi-tinggi dengan dinding tembok yang tebal sehingga memisahkan dirinya dari jiran sebelah dan hidup sendiri tanpa mempedulikan orang lain.

Marilah kita kembali kepada sunnah rasulullah dan ajaran Islam dalam menghidupkan masyarakat Islam dengan mengamalkan sunnah yang sudah semakin dilupakan iaitu menghidupkan semangat kejiranan.

Yang benar

emran ahmad Omar
San’a Yaman
(Jiran anda yang baik)



Jiran dalam Islam


Islam menitik beratkan hubungan harmoni dan persaudaraan di antara satu sama lain dan agama Islam ialah sebaik-baik agama yang menghubungkan pertalian dan kebaikan di antara sesama manusia.

Disebut di dalam hadith dari riwayat Ismail ibn Muhammad ibn Saad ibn Abi Waqas daripada bapanya daripada datuknya yang berkata telah bersabda rasulullah salallahualaihiwasalam :

اربع من السعادة, المراة الصالحة والمسكن الواسع والجار الصالح والمركب الهنيء واربع من الشقاوة الجار الشوء والمراةالسوء والمسكن الضيق والمركب السوء
“Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Disebut oleh baginda rasulullah bahawa memiliki jiran yang baik termasuk salah satu di antara tanda-tanda kebahagiaan dan memperolehi jiran yang jahat dan tidak baik termasuk tanda keburukkan dan derita. Islam merupakan agama yang sempurna dan lengkap dengan segala pertunjuk dalam pelbagai perkara termasuk dalam soal kemasyarakatan.

Manusia secara fitrah hidup bermasyarakat dan berkelompok kerana setiap orang harus saling memerlukan di antara satu sama lain dalam menjalani kehidupan. Tidak mungkin seorang manusia boleh hidup seorang diri tanpa perlu berurusan dengan orang lain selama dia tinggal dalam sebuah masyarakat.

Memiliki tempat tinggal termasuk di antara salah satu rezeki dan nikmat kerana padanya manusia tinggal dan huni serta menetap untuk melindungi diri dan meneruskan kehidupan dengan teratur dan selesa.

Tempat tinggal itu berbeza-beza menurut situasi dan keadaan seseorang ada yang mampu memiliki rumah yang mewah dan selesa dan ada yang hanya sekadar mampu menghuni rumah teres dan rumah beratapkan zink dan diperbuat dari kayu dan papan. Walaubagaimana sekalipun keadaan penempatan seseorang itu maka sudah menjadi lumrah dia tidak akan berseorangan sebaliknya pasti memiliki jiran baik bagaimana jenis keadaan rumah penempatannya.

Sekiranya dia seorang yang kaya dan menghuni di perumahan mewah maka jirannya ialah mereka yang mewah dan sekiranya dia miskin dan menetap di kampung maka jirannya terdiri di kalangan mereka yang sepertinya dan ada juga yang bercampur aduk.

Jiran muncul apabila penempatan itu dihuni oleh manusia yang lain yang juga tinggal berhampiran dengan rumah yang dihuni oleh kita. Maka Islam dalam memelihara hak sesama manusia serta memandu manusia untuk mencapai harmoni dan bahagia di dunia dan akhirat turut memasukkan asek-aspek penting yang memandu hubungan kejiranan supaya manusia dapat hidup dalam keadaan aman dan selesa serta mendapat kebahagiaan seperti yang disebut di dalam hadith tadi.


Maksud dan Jenis Jiran Dalam Islam

Allah swt telah berfirman :

وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah menghimpunkan sekali dalam ayat di atas perintah untuk beribadah kepada Allah dengan perintah untuk berlaku baik kepada hamba-hamba-Nya sebagai tanda Islam ini bukan sahaja menjalin hubungan dengan pencipta sebaliknya juga menyatukan manusia di dalam satu kewajipan untuk berlaku baik sesama manusia sebagai termasuk menunaikan ketaatan kepada Allah swt.

Allah menyebut (( وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى)) : iaitu yang bermaksud jiran yang padanya terdapat hubungan kekeluargaan atau pertalian darah. Ini merupakan pendapat yang disebut oleh Ali Ibn Talhah daripada Ibn Abbas ra manakala yang disebut dari riwayat Ikrimah dan Mujahid dan selain mereka yang mengatakan ianya ialah jiran muslim yang satu agama. Juga ada yang mengatakan dimaksudkan dengan ayat ini ialah jiran yang rumahnya berdekatan.

Allah menyebut juga ((وَالْجَارِ الْجُنُبِ )) : iaitu yang bermaksud lawan kepada ayat sebelumnya yang sebahagian ulama tafsir menyebut ianya ialah jiran yang tidak memiliki hubungan darah atau kekeluargaan seperti pendapat Ali ibn Talhah dari Ibn Abbas ra, juga yang mengatakan ianya bukan muslim seperti jiran yahudi dan nasrani seperti yang disebut dalam riwayat dari Ikrimah dan Mujahid dan yang lain mengatakan yang dimaksudkan ialah jiran yang berjauhan rumahnya.


Dan setiap makna dari tafsir di atas dapat dipakai dan memiliki kekuatan hujah masing-masing dan dapat dirangkumi sekaligus dalam maksud ayat.

(lihat tafsir Tabari m/s 175-180 Jilid 5, tafsir Qurtubi m/s 183 Jilid 5 dan Tafsir Ibn Katsir m/s 495 Jilid 1dan Tafsir Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Kesemua makna yang tersebut di atas menrangkumi makna jiran dan memiliki hak ke atas muslim yang beriman dengan Allah swt untuk berlaku baik kepada jiran baik yang beragama Islam atau bukan baik yang berhubungan darah atau yang tidak ada hubungan darah baik yang berdekatan rumah atau berjauhan.

Berkata Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra : “ Maksud nama jiran itu ialah merangkumi baik yang muslim atau yang kafir, baik yang beribadah atau yang fasiq, baik rakan atau musuh, baik yang asing atau yang senegeri, baik yang memberi manfaat atau mudharat serta baik yang mempunya kekeluargaan atau yang tidak ada hubungan atau juga yang berhampiran rumahnya atau yang jauh rumahnya dan kesemuanya memiliki hak dan kedudukan antara satu sama lain..”

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Kedudukan jiran itu berbeza-beza martabat dan kedudukan sekalipun masing-masing memiliki hak untuk berlaku baik dan dimuliakan dan hal ini jelas daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “ Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

Berkata Syeikh Dr Abd Aziz Ibn Fauzan ibn Soleh Al-Fauzan dalam kitabnya “Fiqh Ta’amul Ma’an Nas” bahawa kedudukan jiran itu terbahagi 3 jenis iaitu jiran yang muslim dan memiliki hubungan darah, jiran yang muslim yang tidak ada hubungan darah dan jiran yang kafir.

Demikian juga seperti yang disebut dalam kitab Tanbihul Ghafilin m/s 153 Jilid 1 dan Tafsir Al-Qurtubi m/s 183 Jilid 5 serta Fathul Bari m/s 441 Jilid 10 yang menyebut bahawa terbahagi jiran itu kepada 3 jenis seperti yang disebutkan di bawah :

1) Jiran yang muslim dan berhubungan darah – Mereka ini mempunyai tiga hak iaitu hak Islam, hak kekeluargaan dan hak kejiranan

2) Jiran yang muslim tanpa hubungan darah – Mereka ini mempunyai dua hak iaitu hak muslim dan hak kejiranan.

3) Jiran yang bukan Islam – Mereka ini mempunyai satu hak iaitu hak kejiranan.


Kedudukan Jiran Menurut keutamaan

Dapat disimpulkan dari ayat surah An-Nisa dan pelbagai hadith mengenai keutamaan jiran bahawa jiran itu memiliki kedudukan berbeza mengikut keadaannya antara satu sama lain seperti yang turut disebut oleh Al-Hafidz Imam Ibn Hajar ra

(lihat dalam Fathul Bari m/s 441 Jilid 10).

Berikut ialah susunan kedudukan jiran yang utama dan yang diatur menurut kedudukan yang lebih berhak diberi keutamaan berbanding yang selepasnya :

1) Jiran yang muslim yang paling dekat dengan pintu rumah

Berdasarkan hadith yang banyak menyebut perihal darjat jiran yang antaranya daripada riwayat Aisyah radiallahuanha yang berkata : “Wahai rasulullah, sesungguhnya aku ini memiliki dua jiran dan kepada yang mana satukah hendak aku berikan hadiah ? Maka baginda bersabda : “ Kepada yang lebih dekat dengan pintu rumah kamu”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2140)

2) Jiran muslim yang memiliki hubungan kekeluargaan

Allah berfirman :
وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى
“..jiran tetangga yang berhubungan dekat” (An-Nisa: 36).

Baginda rasulullah salallahualaihiwasalam juga bersabda : “Sedekah ke atas orang yang miskin itu pahalanya sedekah tetapi sedekah ke atas kaum kerabat baginya dua iaitu pahala sedekah dan dapat mengeratkan hubungan” .

(hadith sahih riwayat Nasaie no. 2582 dan Tirmidzi no. 658, Ibn Majah no. 1844 dan Ahmad 16276 serta Darimi dan Baihaqi juga Hakim dengan Isnad yang sahih, disahihkan oleh Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dan dihasankan oleh Tirmidzi).

3) Jiran muslim yang berilmu dan alim serta memiliki fadhilat

Allah berfirman :
يَرْفَعِ اللَّهُ الَّذِينَ ءَامَنُوا مِنْكُم وَالَّذِينَ أُوتُوْا العِلْمَ دَرَجَاتِ
“ Dan Allah mengangkat darjat orang yang beriman dan yang memiliki ilmu beberapa darjat dan Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui.” (Al-Mujadalah :11).

Juga dari riwayat yang dibawa oleh Imam Khatib Al-Baghdadi yang menyebut bahawa telah berkata Muhammad Al-Basri “ Diluaskan majlis (dberi penghormatan dalam majlis) kepada penghafaz Al-quran, ulama’ dan golongan tua dalam agama.”

(Lihat Khatib Al-Baghdadi dalam Jami’ Akhlaq Rawi wa Adab Sima’,m/s 393).

4) Jiran muslim yang soleh dan beribadah

Allah swt berfirman :
أَفَمَنْ كَانَ مُؤْمِنًا كَمَنْ كَانَ فَاسِقًا لاَ يَسْتَوُونَ
“ Apakah keadaan orang yang beriman itu sama halnya seperti orang yang fasiq ? Sungguh mereka tidak sama” (As-Sajadah : 18).

5) Jiran yang fasiq dan ahli maksiat

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “ Seorang muslim itu ialah saudara kepada muslim yang lain, tidaklah boleh dia menzaliminya dan menyerahkannya kepada musuh (untuk dianiayai)..”

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 2310 dan Muslim no. 2580)

6) Jiran yang kafir

Allah swt berfirman :
وَالْجَارِ الْجُنُبِ
“Dan Jiran tetangga yang berhubungan jauh” (An-Nisa : 36).

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).


Had Lingkungan Kejiranan

Menetapkan lingkungan jiran dan had jiran dalam sesuatu kawasan berbeza-beza menurut keadaan tertentu dan suasana. Bahkan menurut Al-Alusi dalam Kitabnya Ruhul Ma’ani Fi tafsiril Qur’an Al-Azim Wa Sab’ul Masani bahawa penetapan jiran ini dan lingkunganya seacra zahir kembali kepada uruf (adat setempat).

Ini pendapat yang agak tepat kerana dalam kaedah syarak menyebutkan setiap yang datang dari perintah syarak ialah mutlak dan sekiranya tidak ada penerangan jelas dari kaedah melaksanakannya juga tidak dapat dijelaskan dari pemahaman zahir bahasa maka dikembalikan kepada adat kebiasaan dalam melaksanakannya.

(sila lihat dalam Fathul Qadir oleh Syaukani m/s 743 Jilid 1).

Para ulama berbeza pendapat dalam menetapkan had lingkungan jiran disebabkan dalil yang wujud terlalu umum berdasarkan perkataan Khalifah Ali radiallahuanhu yang menyebut : “ Barangsiapa yang mendengar azan maka dialah jiran” . Bermaksud bahawa sesiapa yang dapat mendengar azan yang sama dalam satu kawasan tanpa pembesar suara maka dialah jiran.

Ada juga yang menetapkan bahawa jiran itu ialah yang berada dalam satu lingkungan yang dapat mendengar iqamah solat, sebahagian yang lain mengatakan pula jiran ialah mereka yang dapat besolat berjemaah pada waktu subuh dan Jumaat bersama-sama.

Manakala berdasarkan pendapat yang masyhur dari riwayat Aisyah ra dan para tabien seperti Hasan Al-Basri, Al-Auzaie dan Az-zuhri dan lain-lain ialah dalam lingkungan empat puluh buah rumah dari seluruh sisi penjuru.

(lihat dalam Tafsir Al-Qurtubi m/s 185 Jilid 5, Fathul Bari m/s 447 Jilid 10 dan Jami Ulum Wal Hikam 347 Jilid 1).

Kesimpulannya lingkungan kejiranan kembali kepada penakrifan umum dan adat setempat yang terpakai dalam sesuatu masyarakat kerana setiap kawasan berbeza adat dan budaya. Sekurang-kurang lingkungan dan jumlah bilangan jiran ialah 40 buah rumah dari segenap sisi penjuru dan selebih-lebihnya ialah yang terpakai dan diamalkan oleh masyarakat setempat.


Kepentingan Jiran dalam Islam

Allah swt menyebut di dalam Al-Qur’an :


وَاعْبُدُوا اللَّهَ وَلاَ تُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا وَبِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَالْجَارِ ذِي الْقُرْبَى وَالْجَارِ الْجُنُبِ وَالصَّاحِبِ بِالْجَنْبِ

“Sembahlah Allah dan janganlah mensyirikkan-Nya dengan sesuatu dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang miskin , jiran tetangga yang berhubungan dekat atau yang jauh dan rakan teman..” (An-Nisa : 36).

Allah memesan kepada hamba-hamba-Nya supaya menjalankan kewajipan menyembah-Nya dan juga dalam masa yang sama menjalankan kewajipan kepada sesama hamba-hamba yang lain. Bahkan di dalam kitab dan sunnah banyak sekali ayat-ayat dan hadith yang menyebut perintah menjalinkan hubungan sesama makhluk dan manusia dengan baik dan ihsan.

Adapun berkait soal jiran, di dalam Islam jiran menduduki kedudukan yang utama dan mulia disisi syarak dan perlu dipenuhi hak-hak dan kewajipan serta memuliakan mereka supaya tercapai salah satu kebahagiaan yang disebut di dalam hadith yang dinyatakan sebelum ini.

Diriwayatkan daripada Aisyah ra dan Ibn Umar ra daripada nabi salallahualaihiwasalam yang bersabda : “ Selalu Jibril memesan kepadaku (supaya berlaku baik) perihal jiran sehingga aku seolah-olah menyangka mereka dapat mewarisi (harta pusaka)” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5668 dan Muslim no. 2624).

Jelaslah bahawa perintah Jibril di atas menyuruh berlaku ihsan dan baik kepada jiran dan melayani mereka dengan baik tanpa mengira apakah muslim atau kafir dan apakah jahat atau baik.

Ini disebabkan daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

Juga baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Hadith di atas sangatlah besar pengertiannya apabila rasulullah menghimpunkan keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan berlaku baik kepada jiran sekaligus bermakna iman kepada Allah itu bukanlah hanya di lisan atau hati sebaliknya mencakupi urusan amal perbuatan dan cabang-cabangnya sangatlah banyak serta salah satu dari cabang iman itu ialah memuliakan jiran dan berlaku baik kepadanya.

Demikian Al-Imam Baihaqi ra memasukkan dalam kitabnya Syabul Iman (Cabang Keimanan) dan menyebut pada cabang yang ke 67 dari cabang iman itu berdasarkan hadith 70 lebih cabang iman bahawa termasuk menghormati dan memuliakan jiran itu ialah cabang iman.

Menyayangi jiran juga termasuk dari perintah Islam seperti dalam hadith nabi yang menyebut : “ Demi zat yang jiwaku berada dalam genggamannya tidaklah beriman seorang hamba itu sehingga dia mencintai jirannya atau saudaranya seperti mana dia mencintai dirinya sendiri” .

(hadith sahih riwayat Muslim no. 45).

Demikianlah disebut oleh baginda rasulullah bahawa hendaklah mencintai jiran dan memelihara hak mereka seperti mana kita mencintai diri kita sendiri dan mahu hak-hak kita dijagai dan dipelihara. Bahkan demikian itu merupakan kesempurnaan iman dan tanda sebagai seorang yang beriman kepada Allah.

Memenuhi Hak Jiran

Kejiranan ialah satu daripada fitrah manusia yang hidup dalam masyarakat dan Islam itu berada di antara pertengahan dalam banyak perkara dengan tidak berlebih dan berkurang. Menyentuh perihal jiran, Islam tidak membebani seseorang itu dengan sesuatu hal yang melampau sehingga dia perlu memelihara jirannya dengan mengabaikan hak dirinya sendiri sebaliknya juga sehingga tidak mengabaikan hak jirannya dengan mengutamakan dirinya sendiri sebaliknya berlaku tangungjawab ini secara saksama.

Berikut ialah di antara hak jiran yang wajar dipelihara :

1) Tidak menyakiti jiran dan memelihara keamanan dengan jiran

Menyakiti jiran ialah satu dosa yang besar dan menjadikan seseorang dimurkai oleh Allah swt. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah : “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka janganlah dia menyakiti jirannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5787 dan Muslim no. 47).


Perbuatan menyakiti jiran ini adalah dilarang baik dengan perbuatan, perkataan dan lisan juga dengan cara dan sikap yang ditunjukkan dan tidaklah menjadi seorang yang benar-benar beriman di sisi Allah bagi mereka yang bermusuhan dengan jirannya.

Daripada Abi Hurairah ra yang berkata telah bertanya kepada nabi salallahualaihiwasalam akan perihal seorang perempuan yang sesungguhnya dia itu berpuasa siang dan mendirikan solat malam tetapi menyakiti jirannya dengan lisannya maka dijawab oleh baginda : “ Tidak ada kebaikan baginya dan dia itu berada di neraka” dan ditanyakan kepada baginda akan perihal seorang perempuan yang lain yang bersolat sekadar yang wajib dan berpuasa ramadhan dan bersedekah tetapi tidak menyakiti jirannya maka dijawab : “Maka dia berada di syurga”.

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 9673 dan Ibn Hibban no. 5763 danBukhari dalam Adabul Mufrad no. 119 dan Hakim no, 7304 dengan sahih Isnad dan disepakati oleh Adz-zahabi).

2) Menghormati Jiran dan pengamalan mereka (kehidupan mereka) selama tidak membawa mudharat

Memuliakan jiran termasuk kewajipan dan menghormati mereka ialah perintah dari Allah serta termasuk salah satu tanda keimanan. Sekalipun jiran tersebut bukanlah beragama Islam maka menghormati dan tidak menganggu kehidupan dan pengamalan mereka misalnya ibadah mereka dalam agama mereka seperti yang dilakukan oleh orang-orang Cina dengan meletakkan tokong di luar rumah maka hendaklah dihormati selama tidak membawa bahaya dan mudharat.

Baginda rasulullah bersabda : “ Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah dia memuliakan jirannya” atau dalam riwayat yang lain menyebut “ hendaklah berlaku baik kepada jirannya”.

(hadith sahih riwayat Bukhari no.5673 dan Muslim no. 47,48).

Adapun bagi jiran yang beriman dan beragama Islam maka sekiranya jiran itu melakukan maksiat dan dosa serta kehidupannya tidak menuruti syariat Islam maka hendaklah didakwahkan dan berusaha dibimbing dengan nasihat dan teguran.

Sebaik-baik amal makruf dan mencegah mungkar itu ialah di dalam keluarga sendiri dan kemudian kepada jiran yang berdekatan. Menegur dan menasihati jiran dengan kebaikan dan kasih sayang, membimbing mereka kepada syariat Allah dan mencegah mereka dari melakukan maksiat ialah sebaik-baik dakwah dan cara memuliakan mereka.

3) Memberi layanan baik dan kasih sayang serta akhlak yang baik dalam muamalah dengan mereka

Islam mementingkan hubungan mesra dan layanan baik kepada jiran dan ini terlihat dari banyak panduan dari hadith baginda antaranya ialah daripada riwayat Abu Dzar ra yang menyebut telah bersabda rasulullah : “Wahai Aba Zar sekiranya engkau memasak maraq (sejenis makanan berkuah seperti sup) maka banyakkanlah kuahnya dan berikan kepada jiran engkau”.

(hadith sahih riwayat Muslim no. 2625).

Juga daripada riwayat Abdullah ibn Amru ibn As ra yang menyebut bahawa baginda rasulullah pernah menyembelih kambing lalu bersabda : ”Apakah kamu sudah memberikan hadiah sebahagian dari daging tadi kepada jiran kita yang merupakan si yahudi itu ?” diulang sebanyak tiga kali oleh baginda.

(hadith sahih riwayat Abu Daud no. 5152 dan Tirmidzi no. 1943 dengan menghasankannya dan Ahmad no. 6496).

4) Membantu dan menolong mereka apabila dalam kesusahan

Termasuk di antara hak dan kewajipan seseorang terhadap jirannya ialah membantu dan berusaha mengurangkan beban jirannya yang kesusahan sekadar mampunya.

Rasulullah bersabda : “Bukanlah orang yang beriman sekiranya dia kenyang seorang diri sedangkan jiran disebelahnya kelaparan” dan dalam riwayat lain menyebut “ Tidaklah beriman kepadaku orang yang kenyang sedangkan jirannya kelaparan disebelahnya dan dia mengetahui keadaan jirannya itu”

(hadith sahih riwayat Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 112 dan Baihaqi dalam Sunan Kubra no. 19452 dan Hakim no, 7307 dengan isnad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi dan berkata Hafidz Al-Munziri bahawa rijalnya siqah).

Islam menetapkan bahawa hendaklah jiran itu membantu sekadar mampu dirinya untuk meringankan beban dan tekanan yang dihadapi dari kesusahan oleh jirannya dan demikianlah Islam berusaha memberi pertunjuk sedapat mungkin ke arah mencapai bahagia.

5) Menjaga rahsia dan memelihara kepentingan mereka serta tidak berlaku khianat

Disebalik berusaha melakukan kebaikan kepada jiran dan membantu jiran maka seseorang itu juga harus berusaha mengelakkan dari mencederakan jirannya dan berlaku khianat serta membocorkan rahsia dan keaiban dari jirannya.

Hendaklah seorang yang beriman itu melindungi jirannya dari perkara yang membawa bahaya dan mudharat serta tidak menyerahkan mereka kepada musuhnya. Ini berdasarkan sabda baginda rasulullah yang menyebut : “Tidaklah masuk syurga orang yang tidak mengamankan jirannya dari sesuatu yang boleh membahayakannya” dan dalam riwayat lain “ orang yang tidak menyelamatkan jirannya dari sesuatu yang memudharatkannya” .

(hadith sahih riwayat Bukhari no. 5670 dan Muslim no. 46).

Memelihara jiran dari sesuatu yang bahaya, juga bermaksud tidak menyerahkan mereka kepada musuh dan membelot kepada mereka serta juga tidak membiarkan mereka tanpa amaran apabila adanya bahaya mendekati mereka.

Berlaku khianat kepada jiran boleh terjadi dengan cara membocorkan rahsia jiran yang boleh memalukan mereka, mencederakan maruah atau nyawa mereka dan harta benda mereka. Bahkan pelbagai cara boleh berlaku dan yang paling buruk dan jahat serta keji di sisi Allah ialah mengkhianati jiran dengan melakukan keburukkan kepada ahli keluarga mereka.

Sabda rasulullah : “Sesungguhnya seorang lelaki itu berzina dengan sepuluh orang wanita adalah lebih ringan baginya daripada berzina dengan isteri jirannya” demikian juga apabila ditanya tentang mencuri maka dijawab : “Mencurinya seseorang itu daripada sepuluh buah rumah lebih ringan baginya daripada mencuri dari rumah jirannya” .

(hadith sahih riwayat Ahmad no. 23905 dan Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 103 dan tibrani dan berkata Hafidz Al-Munziri perawinya siqah).


Kesimpulan

Hendaklah kita semua yang beriman kepada Allah dan rasul serta hari akhirat mentaati perintah agama dalam memuliakan jiran dan menunaikan hak-hak kejiranan sebaik dan semampu yang dapat diusahakan sebagai memenuhi kewajipan sebagai seorang yang beriman.
لاَ يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلاَّ وُسْعَهَا
“ Tidaklah Allah meletakkan tanggungjawab pada seseorang melainkan dengan sekadar kemampuannya” (Al-Baqarah : 286).

Hak kejiranan dan panduan yang diberikan oleh Islam tidak lain ialah untuk mencapai apa yang disebutkan sebagai salah satu daripada kebahagiaan dan keamanan dalam hidup.

Sabda rasulullah salallahualaihiwasalam : “Empat perkara daripada tanda kebahagiaan ialah perempuan yang solehah, tempat tinggal yang lapang dan jiran yang baik serta memiliki kenderaan yang selesa dan empat tanda daripada keburukkan (kesusahan atau derita) ialah memiliki jiran yang jahat, isteri yang tidak baik, serta tempat tinggal yang sempit dan kenderaan yang buruk” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban dalam sahihnya no. 4032 dan Abu Nuaim dalam Hilyatul Auliya no. 388 Jilid 8 dan isnad hadith ini sahih dengan menepati syarat Syaikhain diriwayatkan juga oleh Ahmad m/s 1445 Jilid 1 dan Hakim no. 2640 dan Bazzar serta Tibrani dengan lafaz yang hampir sama).

Jiran merupakan teman sekehidupan yang berada berhampiran dengan kehidupan kita seharian dan mereka mempengaruhi keselesaan dan persekitaran hidup diri kita dan ahli keluarga. Bagi yang mempunyai anak-anak, jiran dapat menjadi teman dan contoh kepada perkembangan anak-anak dan persekitaran yang terbentuk memberikan kesan kepada masa depan mereka.

Memiliki jiran yang beragama dan soleh dapat mempengaruhi kehidupan anak-anak dan memberikan contoh serta persekitaran yang selamat serta selesa kepada ahli keluarga. Juga dengan memenuhi tanggungjawab dan peranan sebagai jiran yang baik merupakan salah satu daripada tanda keimanan dan contoh kebaikan kepada diri sendiri dan keluarga.

Tidaklah bergelar muslim yang baik dan benar apabila seseorang itu memiliki nama terkenal dan berceramah atau melakukan dakwah tabligh ke masjid-masjid dan rumah orang lain sedangkan jirannya sendiri tidak didakwah dan kewajipan kepada ahli keluarga dan jiran yang berhampiran pun tidak dipenuhi.

Islam itu mementingkan hubungan kemanusiaan yang baik dan menghimpunkan di antara keimanan kepada Allah dan hari akhirat dengan kelakuan baik serta akhlak dan budi perkerti mulia terhadap insan dan hamba Allah yang lain.

Marilah kita bersama-sama menjadi jiran yang baik dan berdoa kepada Allah swt seperti sabda baginda : “Ya Allah berikanlah aku perlindungan dari jiran yang jahat di tempat tinggalku” .

(hadith sahih riwayat Ibn Hibban no. 1033 dan Abu ya’la no. 6536 dan Ibn Abi Syaibah no. 25421 dan Hakim no. 1951 denga sanad yang sahih dan disepakati oleh Adz-zahabi).


*******

p/s :
Semoga Artikel jiran ini menyejukkan sedikit ketegangan yang berlaku di kalangan umat Islam dan memahami hakikat ukhuwah Islamiyah tidak perlu kepada jemaah untuk mengajar tentang rukun ukhuwah sebaliknya cukup sunnah dan kitab Allah.

Saya akan bercuti untuk beberapa waktu jika keadaan mengizinkan untuk pergi berniaga bagi mencari wang untuk belanja pulang ke Malaysia jadi mungkin tidak menulis di web ini dan akan digantikan oleh pelajar atau rakan-rakan saya yang lain yang akan menulis bagi pihak saya..

insyaAllah.

Segala puji hanyalah bagi Allah

10 Oktober 2010

Menjaga Lidah Dari Berbicara Kecuali Dalam Hal Yang Baik

Allah ‘Azza wa Jalla berfirman:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَقُولُوا قَوْلًا سَدِيدًا {70} يُصْلِحْ لَكُمْ أَعْمَالَكُمْ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ وَمَن يُطِعْ اللَّهَ وَرَسُولَهُ فَقَدْ فَازَ فَوْزًا عَظِيمًا {71} [سورة الأحزاب].

“Hai orang-orang yang beriman bertaqwalah kalian kepada Allah dan ucapkanlah perkataan yang benar, nescaya Allah akan memperbaiki amalan kalian dan mengampuni dosa-dosa kalian, dan barangsiapa yang menta’ati Allah dan rasulNya maka sesungguhnya ia telah mendapat kemenangan yang amat besar”.

Dan firman Allah:

{يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيراً مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ وَاتَّقُوا اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ {12} [سورة الحجرات].

“Hai orang-orang yang beriman jauhilah banyak prasangka, sesungguhnya sebahagian prasangka itu dosa, dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain, dan jangan pula sebahagian kamu mengumpat sebahagian yang lainnya, sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang sudah mati?, maka tentulah kamu akan merasa jijik terhadapnya, dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah maha penerima taubat lagi maha penyayang”.

Juga firman Allah:

{وَلَقَدْ خَلَقْنَا الْإِنسَانَ وَنَعْلَمُ مَا تُوَسْوِسُ بِهِ نَفْسُهُ وَنَحْنُ أَقْرَبُ إِلَيْهِ مِنْ حَبْلِ الْوَرِيدِ {16} إِذْ يَتَلَقَّى الْمُتَلَقِّيَانِ عَنِ الْيَمِينِ وَعَنِ الشِّمَالِ قَعِيدٌ {17} مَا يَلْفِظُ مِن قَوْلٍ إِلَّا لَدَيْهِ رَقِيبٌ عَتِيدٌ {18} [سورة ق ].

“Dan sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dan kami mengetahui apa yang dibisikkan oleh hatinya, dan kami lebih dekat kepadanya dari pada urat lehernya, (iaitu) ketika dua orang malaikat mencatat amal perbuatannya, seorang duduk di sebelah kanan dan yang lainnya di sebelah kiri, tiada satu perkataan pun yang diucapkannya melainkan di sisinya ada malaikat yang siap mengawasi”.

Dan firman Allah lagi:

{وَالَّذِينَ يُؤْذُونَ الْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ بِغَيْرِ مَا اكْتَسَبُوا فَقَدِ احْتَمَلُوا بُهْتَانًا وَإِثْمًا مُّبِينًا {58} [سورة الأحزاب].

“Dan orang-orang yang menyakiti orang-orang mu’min dan mu’minat tanpa kesalahan yang mereka lakukan, maka sungguhnya mereka telah memikul kebohongan dan dosa yang nyata”.

Dalam shohih Imam Muslim, hadits no (2589) dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda:

((أَتَدْرُوْنَ مَا اْلغِيْبَةُ؟، قَالُوْا: اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَعْلَمُ، قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ، قِيْلَ: أَفَرَأَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِيْ مَا أَقُوْلُ؟، قَالَ: إِنْ كَانَ فِيْهِ مَا تَقُوْلُ فَقَدْ اغْتَبْتَهُ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيْهِ فَقَدْ بَهَتَّهُ)).

“Apakah kalian tahu apa itu ghibah (ngumpat)"?, para sahabat menjawab: Allah dan RasulNya yang lebih tahu, Rasulullah bersabda: Engkau menyebut tentang saudaramu sesuatu yang tidak disukainya, lalu beliau ditanya: bagaimana kalau hal yang aku ceritakan tersebut terbukti padanya?, beliau menjawab: jika terbukti padanya apa yang engkau sebut tersebut maka sesungguhnya engkau telah mengumpatnya, dan jikalau tidak terdapat padanya maka sesungguhnya engkau telah berbuat kebohongan tentangnya”.

Dan Allah ‘Azza wa Jalla telah berfirman:

{وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ إِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ أُولـئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً {36} [سورة الإسراء].

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak memiliki ilmu tentangnya, sesungguhnya pendengaran dan penglihatan serta hati, masing-masing itu akan diminta pertanggung jawabannya”.

Dan diriwayatkan dari Abu Hurairah r.a, ia berkata: telah bersabda Rasulullah S.a.w:

((إِنَّ اللهَ يَرْضَى لَكُمْ ثَلاَثاً وَيَكْرَهُ لَكُمْ ثَلاَثاً؛ يَرْضَى لَكُمْ أَنْ تَعْبدُوْهُ وَلاَ تُشْرِكُوْا بِهِ شَيْئاً، وَأَنْ تَعْتَصِمُوْا بِحَبْلِ اللهِ جَمِيْعاً وَلاَ تَتَفَرَّقُوْا، وَيَكْرَهُ لَكُمْ قِيْلَ وَقَالَ، وَكَثْرَةَ السُّؤَالِ، وَإِضَاعَةَ اْلمَالِ)) أخرجه مسلم (1715).

“Sesungguhnya Allah meredhai bagi kalian tiga perkara dan membenci untuk kalian tiga perkara; Ia meredhai bagi kalian bahawa kalian menyembahNya dan tidak menyekutukanNya dengan sesuatu apa pun, dan bahawa kalian berpegang teguh dengan tali (agama) Allah, dan jangan kalian berpecah-belah, dan Ia membenci untuk kalian suka membicarakan orang lain, dan banyak bertanya, dan menyia-nyiakan harta”. H.R : muslim, no (1715).

Dan diriwayatkan juga tentang tiga hal yang dibenci tersebut dalam shohih Bukhary, hadits no (2408) dan Imam Muslim.

06 Oktober 2010

Tujuan Menuntut Ilmu

"...(Allah) yang mengetahui apa yang ada di hadapan mereka dan apa yang ada di belakang mereka, sedang mereka tidak mengetahui sesuatu pun dari (kandungan) ilmu Allah melainkan apa yang Allah kehendaki (memberitahu kepadanya)." - Surah Al Baqarah 2 : 255

Pengenalan

Ilmu

Di dalam al-Quran ilmu dapat dimaksudkan dengan pelbagai makna, tetapi di sini cukuplah dengan membicarakan pengertian ilmu itu dalam Bahasa Melayu sahaja. Ilmu menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bererti ;

1. Pengetahuan dalam perkara dunia, akhirat, zahir, batin dan lain-lain.
2. Kajian dalam sesuatu perkara.
3. Hadirnya makna dalam diri seseorang.

Dari segi pemahaman yang mudah, ilmu bermaksud suatu pengetahuan yang merangkumi pengetahuan yang diperolehi melalui belajar atau proses dan aktiviti pembelajaran seperti pemerhatian, kajian, eksperimen dan sebagainya serta boleh juga diperolehi melalui pengalaman.

Ilmu juga merangkumi pengetahuan mengenai perkara yang berasaskan kebenaran, kebatilan, keraguan (bimbang atau bingung) dan syak (was-was).

Selain dari itu, ilmu juga berbentuk umum yang meliputi pengetahuan mengenai hal-hal keduniaan dan akhirat, iaitu ilmu fardhu ain dan fardhu kifayah.

Fardhu Ain: Ilmu yang wajib dipelajari seperti tauhid (mengesakan Allah yang Maha Agung), syariat (solat, mempelajari al-Quran atau mempelajari perintah dan larangan) dan tasauf (ilmu akhlak atau sifat-sifat terpuji dan sifat-sifat yang dikeji seperti adab berjiran, adab bergaul, adab selisih faham, adab makan, adab mandi dan lain-lain).

Keingkaran untuk mempelajari fardhu ain ini bagi setiap individu hukumnya adalah berdosa.

Fardhu Kifayah: Ilmu yang menjadi tanggungjawab sekumpulan tertentu bagi mewakili orang Islam, atau untuk mewakili masyarakat.

Andaikata tiada seorang pun di kalangan orang Islam yang mempelajarinya, maka semua ahli masyarakat berdosa. Contohnya, ahli tafsir, usahawan, saintis, doktor dan lain-lain.

Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Mencari ilmu adalah fardhu bagi setiap orang Islam." - Sahih - Ibnu Majah [0184]

Isi Perbicangan

Tujuan Menuntut Ilmu

01.Memperbaiki Diri

"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan); dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya." - Surah Al-'Ankabuut 29 : 69

Antara tujuan utama kita dalam menuntut ilmu adalah agar dapat memperbaiki diri.

Memperbaiki diri bermaksud berusaha bersungguh-sungguh untuk menambah ilmu pengetahuan serta membawa ibadah dan juga taraf kehidupan ke tempat yang lebih tinggi dari sebelumnya.

Dengan menuntut ilmu kita secara tidak langsung bukan sahaja mendapat petunjuk, malah dipimpin ke jalan yang lurus. InsyaAllah yang Maha Tinggi.

Contohnya, dengan menuntut ilmu kita dapat;

1. Mendapat keyakinan yang lebih dalam ibadah.
2. Solat terasa lebih khusyuk dari sebelumnya.
3. Peningkatan kerjaya.

Pelbagai lagi nikmat yang akan kita perolehi dalam usaha memperbaiki diri, malah tidak terhitung dan cukuplah tiga contoh di atas. Sekiranya kita memahami ayat di atas (Surah Al-'Ankabuut [29] : 69) nikmat terbesar adalah mendapat pertolongan dan bantuan Allah yang Maha Agung. Pertolongan dan bantuan siapakah yang lebih besar dari itu?

02.Mensyukuri Nikmat Allah yang Maha Agung

"Dan sesungguhnya Kami telah mengurniakan ilmu pengetahuan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman; dan mereka berdua bersyukur dengan berkata: "Segala puji tertentu bagi Allah yang dengan limpah kurnia-Nya memberi kami kelebihan mengatasi kebanyakan hamba-hamba-Nya yang beriman." - Surah An-Naml 27 : 15

Walaupun ayat berkenaan tentang ilmu yang diberikan kepada Nabi Daud as dan Nabi Sulaiman as, namun lafaznya umum.

Antara nikmat terbesar yang dikurniakan kepada manusia adalah nikmat akal untuk belajar dan memahami ilmu dalam menjalani kehidupan di dunia dan persediaan untuk akhirat.

Maka antara tujuan kita dalam usaha menuntut ilmu adalah sebagai tanda syukur atas segala macam nikmat-Nya.

Dengan ilmulah kita mengenal cara melaksanakan ibadah dan kategorinya; dan dengan ilmu jugalah kita mengenal kebaikan dan kejahatan; dan dengan ilmu juga kita mengetahui tentang dunia dan akhirat. Maka wajiblah kita bersyukur atas nikmat yang tak terhingga ini, iaitu nikmat akal dan ilmu pengetahuan.

"Allah memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturan yang ditentukan-Nya). Dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. Dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya." - Surah Al-Baqarah [2] : 269

Khalifah Umar bin Abdul Aziz : "Barangsiapa beramal tanpa ilmu, maka yang rosak lebih banyak daripada yang benar."

03.Menegakkan Agama Islam

"Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam agama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah)." - Surah At-Taubah [9] : 122

Menegakkan agama Islam bermaksud memuliakan, mengamalkan perintah dan larangannya, melaksanakan hukum-hukumnya, dan menyebarkannya dengan cara; melalui umat Islam yang beriman, beramal soleh dan bertamadun; iaitu berpendidikan, mampu memerintah, adil dan mampu memikul tanggungjawab sebagai hamba dan khalifah Allah yang Maha Tinggi di muka bumi.

Ia merangkumi pembangunan diri, keluarga, masyarakat dan negara serta meliputi aspek jasmani, rohani, emosi dan intelek berdasarkan prinsip Islam berpandukan al-Quran dan as-Sunnah.

Di dalam tafsir Ibn Katsir, antaranya diterangkan mengenai ayat di atas (Surah At-Taubah [9] : 122) sebagai dua tugas yang terpadu.

Sebahagian pergi berperang, sebahagian lagi menuntut ilmu. Ini menunjukkan tingginya darjat orang yang menuntut ilmu hingga disamakan dengan orang yang pergi berjihad. Walau bagaimanapun, tidaklah bermaksud hendak meremehkan jihad menentang orang-orang yang memerangi Islam.

Persoalannya, bagaimana ilmu itu boleh menegakkan Agama Islam? Di sini, kita melihat dari segi faktor semasa sahaja.

Antaranya, kita perlu ubah persepsi kita mengenai contoh fardhu kifayah.

Rasanya sejak dari kanak-kanak, kemudian dewasa hingga tua kita dihadapkan dengan contoh ini; iaitu mengaitkan contoh fardhu kifayah hanyalah - pengurus jenazah atau orang memandikan, mengafankan dan segala perihal tentang jenazah.

Sebenarnya yang termasuk dalam fardhu kifayah itu antaranya adalah; ahli tafsir, usahawan, saintis, ahli fizik, pakar kimia, doktor, pakar komputer, pakar enjin, arkitek dan lain-lain. Mungkin kita melihat seperti remeh, tetapi inilah yang secara tidak sengaja telah tertanam dalam akal fikiran kira sebelum ini.

Akhirnya kita menganggap fardhu kifayah adalah perkara yang mudah dan memandang ringan padanya, akibatnya umat Islam (Malaysia khususnya) kekurangan tenaga pakar dan mahir dalam pelbagai bidang.

Sekiranya umat Islam ketandusan para ilmuwan ini, maka siapakah yang ingin menghormati orang Islam?

Apalagi Agama Islam. Bukankah Allah yang Maha Agung telah berfirman;

"...nescaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat..." - Surah Al-Mujaadalah 58 : 11

Dr. Wahbah al-Zuhaily dalam tafsirnya mengenai ayat ini berkata, 'Darjat orang mukmin melebihi darjat orang bukan mukmin. Darjat orang berilmu melebihi darjat orang yang tidak berilmu.'

Di dalam ayat yang lain Allah yang Maha Tinggi berfirman;

"...Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang yang berakallah yang dapat menerima pelajaran." - Surah Az- Zumar [39] : 9

Tentulah tidak sama antara orang yang pakar dan tidak pakar. Perkataan orang yang pakar lebih dipercayai.

Contohnya dalam pembinaan sebuah bangunan, kita mahu mempercayai cakap arkitek atau buruh binaan?

Begitu juga dalam menegakkan agama Islam, tentulah orang yang berilmu lebih didengari percakapannya berbanding dengan orang yang kurang ilmunya.

Maksudnya orang Islam yang mempunyai kepakaran dan kemahiran yang tinggi, secara automatik memberi impak kehormatan kepada Islam itu sendiri; iaitu agama Islam dan penganutnya akan dihormati dan dipandang tinggi oleh orang bukan Islam, secara tidak langsung Islam dapat ditegakkan.

"Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam telah berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" Pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; maka Kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang." - Surah As-Saff [61] :14

04.Berfikir Dengan Adil

Berfikir bermaksud menggunakan akal untuk menyelesaikan sesuatu, manakala adil pula bermaksud meletakkan sesuatu perkara sesuai pada tempatnya.

Ramai yang berpendapat adil bermaksud sama rata, ini adalah pemahaman yang salah. Jadi, berfikir dengan adil bermaksud menggunakan akal dalam mempertimbangkan sesuatu perkara agar bertepatan dan bersesuaian pada tempatnya.

"Maka apakah orang-orang yang menunjuki kepada kebenaran itu lebih berhak diikuti ataukah orang yang tidak dapat memberi petunjuk kecuali (bila) diberi petunjuk? Mengapa kamu (berbuat demikian)? Bagaimanakah kamu mengambil keputusan?" - Surah Yunus [10] : 35-36

Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan saja. Sesungguhnya persangkaan itu tidak sedikitpun berguna untuk mencapai kebenaran.

Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka kerjakan.

Dengan adanya ilmu, kita dapat membuat dan melaksanakan keputusan, ibadah, pekerjaan dan lain-lain hal berkaitan kehidupan dengan lebih bijak, tepat dan teratur; iaitu mengutamakan yang lebih penting dari yang penting. Antara beberapa contoh;

* Mengutamakan mempelajari fardhu ain dari fardhu kifayah.
* Mengutamakan amal yang bermanfaat dari yang kurang bermanfaat seperti, memilih beramal dengan sedikit tetapi berterusan daripada beramal dengan banyak tetapi setahun sekali.
* Mengutamakan mengajar atau menyuruh anak-anak kecil bersolat dari berpuasa kerana biasanya orang yang tidak meninggalkan solat pasti berpuasa (yang berkemampuan) dan orang yang berpuasa belum tentu penuh solatnya. Sesuai dengan firman Allah yang Maha Tinggi dalam,

".....Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar...." - Surah Al 'Ankabuut [29] : 45

* Mengutamakan ibadah fardhu dari ibadah sunat dan mengutamakan sunat yang mu'akkad; iaitu sunat yang dituntut seperti mengutamakan solat rawatib mu'akkad, solat tahajjud daripada solat terawih, solat sunat musafir dan lain-lain.
* Mengutamakan mencintai Rasulullah saw daripada orang lain.

"Dari Anas bin Malik r.a : Rasulullah saw bersabda, "Belum sempurna iman seseorang kamu sebelum ia mencintaiku melebihi daripada cintanya kepada anaknya, kepada bapanya dan kepada manusia semuanya". - Sahih Muslim [0035]

Ini hanya sebahagian contoh sahaja, banyak lagi perkara-perkara yang perlukan pertimbangan akal yang adil dalam menjalani kehidupan di dunia ini.

"Mereka bertanya kepadamu (Wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: "Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia tetapi dosa keduanya lebih besar daripada manfaatnya..." - Surah Al-Baqarah [2] : 219

Ayat di atas sebagai contoh mengapa kita perlu berfikir dengan adil, ini adalah perkara yang sangat-sangat penting.

Antara Kesan atau Kelebihan Menuntut Ilmu

01.Doa cepat dimakbulkan

"Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu pengetahuan dari Kitab Allah: "Aku akan membawakannya kepadamu dalam sekelip mata!" Setelah Nabi Sulaiman melihat singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: "Ini ialah dari limpah kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak mengenangkan nikmat pemberianNya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada Allah), kerana sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya lagi Maha Pemurah." - Surah An-Naml [27] : 40

Umum mengetahui ayat di atas mengenai pemindahan singgahsana Ratu Balqis ke istana Nabi Sulaiman a.s. Malah jin 'Ifrit juga tidak dapat menandingi kehebatan orang yang berilmu. Perlu diingat, kisah ini hanya berlaku pada zaman Nabi Sulaiman a.s.

Bukanlah bermakna kita perlu belajar ilmu yang dapat mengubah 'KLCC' ke tempat lain sekelip mata, ini hanya contoh betapa hebatnya orang berilmu kerana doanya dimakbulkan dengan cepat, insyaAllah yang Maha Berkuasa. Zaman ini, jika ada seseorang berkata dapat mengubah sesuatu bangunan dalam sekelip mata ke tempat lain, itu adalah sihir.

02.Dinaikkan darjat

"...Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan." - Surah Al-Mujaadalah [58] : 11

Contoh yang paling mudah antaranya;

* Peniaga yang mempelbagaikan jualannya dan kreatif, lebih banyak keuntungan dari peniaga yang menjual satu jenis barangan sahaja.
* Pekerja yang berilmu (mempunyai ijazah dan sebagainya) lebih tinggi gajinya dari pekerja yang kurang ilmunya.
* Pelajar yang tekun belajar, lebih pandai dari pelajar yang malas belajar.
* Guru dihormati oleh pelajarnya. Mereka yang tidak menghormati gurunya tergolong dalam orang yang jahil.

03.Tidak tersesat

"..dan agar orang-orang yang telah diberi ilmu, meyakini bahawasanya Al Quran itulah yang hak dari Tuhan-mu lalu mereka beriman dan tunduk hati mereka kepadanya dan sesungguhnya Allah adalah Pemberi Petunjuk bagi orang-orang yang beriman kepada jalan yang lurus." - Surah Al-Hajj [22] : 54

04.Dikurniakan nikmat kesabaran

"Berkatalah orang-orang yang dianugerahi ilmu: "Kecelakaan yang besarlah bagimu, pahala Allah adalah lebih baik bagi orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan tidak diperoleh pahala itu, kecuali oleh orang-orang yang sabar." - Surah Al-Qasas [28] : 80

05.Dipermudahkan ke syurga

"Abu Hurairah r.a : Rasulullah saw bersabda, "Siapa saja yang menempuh perjalanan untuk mencari ilmu, maka Allah akan memberikan kepadanya kemudahan jalan menuju syurga." - Sahih, At-Tirmidzi [2646]

Banyak lagi kelebihan-kelebihan orang-orang yang berilmu pengetahuan yang disebut di dalam Al-Quran dan hadis.

Antara Halangan-Halangan Menuntut Ilmu

Diantara halangan yang menyebabkan ramai orang yang ambil remeh dalam hal menuntut ilmu, diringkaskan seperti berikut;

01.Anggap Diri Sudah Cukup

"Maka tatkala datang kepada mereka rasul-rasul (yang diutus kepada) mereka dengan membawa keterangan-keterangan, mereka merasa senang dengan pengetahuan yang ada pada mereka dan mereka dikepung oleh azab Allah yang selalu mereka perolok-olokkan itu." - Surah Al-Mu'min [40] : 83

Menganggap segala pengetahuan mereka lebih banyak dari orang lain dan tak perlu menuntut ilmu lagi. Hal ini hanyalah satu kesombongan dari hasutan syaitan.

02. Sibuk

"Demi Masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." - Surah Al-'Asr [103] : 1-3

Kesibukan adalah apabila kita tidak pandai menghargai masa. Semua manusia akan mengalami kerugian kecuali empat sifat di atas, iaitu;

1. Iman - Memahami dan melaksanakan rukun iman.
2. Amal soleh - Mentaati dan melaksanakan hukum-hukum, perintah dan larangan Allah yang Maha Agung.
3. Nasihat kebenaran - Memberi pengajaran, bimbingan atau mengajak kepada kebaikan dan menjauhi serta mencegah kemungkaran.
4. Menasihati agar bersifat sabar - Bersabar atau redha pada qada' dan qadar.

Kita tidak ketahui akan perkara-perkara di atas kecuali dengan menuntut ilmu.

03.Lalai

Lalai terbahagi kepada dua, namun berkaitan iaitu;

* Urusan di dunia - Membuat perkara-perkara yang tidak bermanfaat pada diri dan masyarakat.

"Ketahuilah, bahawa sesungguhnya kehidupan dunia ini hanyalah permainan dan suatu yang melalaikan, perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berbangga-bangga tentang banyaknya harta dan anak,...." - Al-Hadiid [57] : 20

* Urusan menghadapi akhirat - Tidak mengingati mati lalu menjadi malas untuk beribadah, apalagi untuk menuntut ilmu.

".....Dan sesungguhnya kebanyakan di antara manusia benar-benar ingkar akan pertemuan dengan Tuhannya." - Surah Ar-Ruum [30] : 8

Antara Akibat Jahil

01.Mengikut hawa nafsu

"Kemudian Kami jadikan kamu berada di atas suatu syariat (peraturan) dari urusan (agama itu), maka ikutilah syariat itu dan janganlah kamu ikuti hawa nafsu orang-orang yang tidak mengetahui." - Surah Al-Jaatsiyah [45] : 18

Orang yang jahil hanya mengikut hawa nafsu sahaja dalam berfikir dan menganggap akal dan ilmu pengetahuannya lebih hebat dari syariat, lalu melanggar segala macam hukum dari al-Quran dan al-hadis.

02.Menjadi zalim dan tersesat

"Tetapi orang-orang yang zalim, mengikuti hawa nafsunya tanpa ilmu pengetahuan; maka siapakah yang akan menunjuki orang yang telah disesatkan Allah? Dan tiadalah bagi mereka seorang penolongpun." - Surah Ar-Ruum [30] : 29

Setelah mereka (orang-orang yang jahil) ini melanggar segala macam syariat, maka mereka terdedah kepada kesesatan dan seterusnya berbuat kezaliman; iaitu menyesatkan orang lain dan meruntuhkan akhlak masyarakat yang terikut-ikut dengan mereka, akibatnya berlaku ketidakharmonian dalam masyarakat.

03.Cenderung menjadi pengikut syaitan

"Di antara manusia ada orang yang membantah tentang Allah tanpa ilmu pengetahuan dan mengikuti setiap syaitan yang jahat,..." - Surah Al-Hajj [22] : 3

Mereka yang tidak berilmu seringkali bercakap perkara yang mereka agak-agak sahaja terutamanya dalam hal agama yang boleh membawa kepada kekufuran tanpa mereka sedari. Perkataan yang mereka keluarkan tidak lain, kecuali mengikuti hawa nafsu yang dibisikkan oleh syaitan sahaja.

Sekiranya kita ragu-ragu tentang sesuatu perkara atau ingat-ingat lupa, janganlah berkata-kata untuk berbangga diri atau berasa malu cakap tidak tahu, tanyalah kepada orang yang berilmu.

"....maka tanyakanlah olehmu kepada orang-orang yang berilmu, jika kamu tiada mengetahui." - Al Anbiyaa' [21] : 7

Kesimpulan

Islam didasari dengan ilmu. Tidak ada satu pun permasalahan kecuali diajar dalam Agama Islam bagi mereka yang mahu menggunakan akal dan menuntut ilmu.

"Allah menerangkan (kepada sekalian makhluk-Nya dengan dalil-dalil dan bukti), bahawasanya tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang sentiasa mentadbirkan (seluruh alam) dengan keadilan, dan malaikat-malaikat serta orang-orang yang berilmu (mengakui dan menegaskan juga yang demikian); tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana." - Ali 'Imran [3] : 18

Hanya dengan ilmulah kita dapat mempertabatkan umat Islam dan menjaga kemuliaan Islam, yang kini dimana-mana pun umat Islam diperbudak-budakkan dan agama Islam diperlekehkan.

"Sungguh telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mukmin." - At Taubah [9] : 128

Marilah kita mencontohi sikap para Nabi 'alaihi salam; iaitu berasa sedih akan penderitaan masyarakat Islam sekarang yang ditendang dan dipermainkan sesuka hati. Moga-moga Allah yang Maha Penyayang memenangkan kita ke atas musuh-musuh Islam.

Namun perlu diingat setinggi mana ilmu kita, tidak dapat kita mengatasi mukjizat para Nabi as dan setiap yang mengetahui, ada lagi yang lebih mengetahui.

Marilah kita merenung ayat di bawah, luasnya ilmu Allah yang Maha Tinggi tidak terhingga. Allah yang Maha Agung berfirman dalam;

"Katakanlah: Sekiranya lautan menjadi tinta untuk (menulis) kalimat-kalimat Tuhanku, sungguh habislah lautan itu sebelum habis (ditulis) kalimat-kalimat Tuhanku, meskipun Kami datangkan tambahan sebanyak itu (pula).." - Surah Al-Kahfi [18] : 109

"Dan seandainya pohon-pohon di bumi menjadi pena dan laut (menjadi tinta), ditambahkan kepadanya tujuh laut (lagi) sesudah (kering)nya, nescaya tidak akan habis-habisnya (dituliskan) kalimat Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana." - Surah Luqman [31] : 27

Rujukan:
Al-Quran terjemahan
Tafsir Ibn Katsir dan Tafsir Al-Munir
Kitab-kitab hadis sahih
Krisis Dalam Pendidikan Islam [Dr. S.S Husain dan Dr. S.A Ashraf ]
Ihya' Ulumuddin [Imam Al-Ghazali]
Ilmu Mantik [Ustaz Ab. Latif Muda dan Dr. Rosmawati Ali @ Mat Zin]
Berfikir [Harun Yahya]
Fiqh Keutamaan [Dr. Yusuf Al-Qardhawi]
Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri [Za'ba]

Mencipta Masa Depan

Memang mudah terlintas maksud turutan perkataan tersebut di dalam minda kita.

Namun adakah ia sama dengan pemikiran orang lain?

Sudah tentu ianya berbeza dan sering bercanggah antara satu sama lain.

Dalam pada itu sebenarnya telah wujud persamaan antara perbezaan pemikiran tadi.

Walau bagaimanapun mungkin anda boleh bersetuju dengan saya sekiranya saya mengatakan maksud yang sebenar bagi perkataan-perkataan tersebut adalah dengan satu perkataan iaitu cita-cita.

Cita-cita membawa maksud harapan dan impian yang cuba direalitikan oleh setiap insan yang bergelar manusia pada masa hadapan.

Ada bermacam cita-cita yang boleh kita impikan.

Doktor, guru, arkitek, usahawan berjaya, kerani, dan banyak lagi pekerjaan yang sering kita impikan.

Namun begitu, ada juga manusia yang bercita-cita sesuatu perkara yang negatif contohnya merompak, melepak, menganggur, menyemak tepi kaki lima, kutu rayau, sekadar berfoya-foya, raja judi, perogol dan sebagainya.

Semua yang disenaraikan ini adalah berkaitan dengan cita-cita makhluk yang bergelar manusia.

Cita-citalah yang mempengaruhi seseorang manusia itu untuk belajar.

Sebagai contoh, seseorang itu mempunyai keinginan untuk menjadi seorang guru.

Walau bagaimanapun, syarat untuk menjadi seorang guru mesti memiliki kelulusan sekurang-kurangnya ijazah sarjana muda. Untuk memiliki ijazah sarjana muda pula kita harus melanjutkan pelajaran ke universiti terlebih dahulu.

Seseorang itu juga perlu menghabiskan pelajarannya di peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dahulu sebelum dapat melanjutkan pelajaran ke universiti.

Begitulah selanjutnya sejak daripada peringkat tadika lagi.

Sememangnya ada turutan tersebut dalam meniti kehidupan.

Namun, adakah turutan itu terasa kelazatannya? Kelazatan di sini bermaksud sejauh mana kita berusaha menempuh hidup yang diimpikan itu.

Sesungguhnya impian tidak semestinya tercapai.

Namun ia tidak mustahil untuk dicapai. Hanya fikiran yang menentukan keberjayaan kita memperoleh apa yang kita inginkan pada masa depan.

Di dalam liku-liku hidup ini, berusahalah mengikut landasan dan keperluan yang betul.

Bukan sahaja kita akan memperoleh impian yang sekian lama kita simpan, kita juga akan memperoleh kenikmatan dan juga kebahagiaan di dalam hidup ini.

Namun, sebagai manusia sudah pasti ada yang membataskannya.

Pastikan ia mengikut landasan syariat yang betul dan tidak menyeleweng supaya hidup bermasyarakat sentiasa dalam keadaan seimbang dan harmoni senantiasa.

InsyaAllah...