31 Disember 2010

Sifat Manusia

Hadith :
Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya:
“Sekiranya anak Adam memiliki satu lembah daripada harta, nescaya ia mahu yang kedua dan sekiranya ia mempunyai dua lembah nescaya ia mahu yang ketiga. Tidak akan memenuhi perut anak Adam melainkan tanah dan Allah sentiasa menerima taubat orang yang bertaubat.”

Riwayat Ahmad



Huraian
i) Manusia secara semulajadinya bersifat tamak dan dengki terhadap kelebihan orang lain.
ii) Kedua-dua sifat ini membawa kerugian kerana ia akan melahirkan individu yang tidak bersyukur sehingga hubungan dalam masyarakat menjadi rosak akibat daripada berlakunya pergaduhan dan persengketaan sesama sendiri.
iii) Selaku umat Islam kita dituntut untuk sentiasa bersyukur kepada Allah kerana dengan bersyukur hati kita akan tenang dan redha di samping mempercayai bahawa rezeki itu terletak di tangan Tuhan. Kita wajib berusaha sedangkan yang menentukannya adalah Allah S.W.T. Bahkan Allah telah berjanji bahawa rezeki orang yang bersyukur akan ditambah sebaliknya pula bagi orang kufur (tidak bersyukur).
iv) Lawan kepada sikap tamak itu adalah bersikap sederhana iaitu menolak keterlaluan di mana kita dituntut agar bersederhana dalam menetapkan sesuatu peraturan, perbelanjaan dan sebagainya tetapi mestilah menyeimbangkannya terutama dalam memenuhi tuntutan keduniaan dan tuntutan akhirat.

13 Disember 2010

Tanggungjawab Suami Terhadap Keluarga

Hadith :
Al-Aswad bin Yazid berkata, aku bertanya kepada Aishah r.a, “Apakah yang dilakukan oleh Nabi s.a.w. di rumahnya? Aishah menjawab” Beliau membuat tugas keluarganya, iaitu membantu kerja keluarganya, maka apabila masuk waktu sembahyang beliau pun keluar untuk bersembahyang”.

Riwayat Al-Bukhari


Huraian
1. Kaum lelaki digalakkan membantu dalam kerja-kerja rumah tangga di samping tidak mengabaikan ibadat dan peranannya di dalam masyarakat.
2. Contoh pemimpin yang baik ialah mereka yang dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap keluarga (rumah tangga) dan negara dengan baik dan sempurna.
3. Keluarga yang bahagia akan terhasil apabila suami dan isteri dapat melaksanakan tugas dan peranan masing-masing dengan penuh tanggungjawab dan saling membantu dalam urusan harian tanpa mengabaikan kewajipan kepada Allah S.W.T.

Keutamaan Ilmu Dalam Memberikan Fatwa

Hadith :

Nabi s.a.w bersabda: "Sesiapa yang memberi fatwa dengan tidak berdasarkan ilmu akan dilaknat oleh Malaikat langit dan bumi."

Ali r.a

Huraian
Pengajaran hadith:
i) Memberikan fatwa mengenai sesuatu masalah agama hendaklah berdasarkan ilmu pengetahuan yang berkaitan. Jika tidak, ia pasti akan membawa penyelewengan dalam hukum-hukum syarak.
ii) Orang yang mengambil mudah dalam hal sebegini sehingga melakukan kesalahan dalam memberikan fatwa akan dimurkai Allah dan dilaknat oleh malaikat-Nya.